DOHA: Deklarasi Doha, yang dikeluarkan dalam Sidang Puncak Dialog Kerjasama Asia Ketiga, dengan tumpuan kepada ‘Diplomasi Sukan’, menekankan gencatan senjata segera dan menyeluruh di Jaluran Gaza.
Sidang dua hari berakhir 3 Oktober di Qatar itu turut menggesa akses tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah yang masih dilanda perang itu.
Sidang puncak itu dirasmikan oleh ketua negara dan pemerintah dari negara anggota Dialog Kerjasama Asia, termasuk Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Para pemimpin melahirkan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin meruncing di Gaza.
Mereka turut menyeru gencatan senjata menyeluruh dan pembebasan segera serta tanpa syarat semua tahanan Israel dan Palestin berdasarkan persetujuan bersama.
Perang meletus di Gaza selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Israel melancarkan serangan balas dan berterusan di Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 41,000 orang dan memusnahkan hampir keseluruan wilayah Palestin.
Perang selama lebih setahun itu juga menyebabkan penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta orang terpaksa hidup berpindah-randah demi menyelamatkan diri, menghadapi masalah kebuluran dek kurangnya bantuan kemanusiaan yang diburukkan lagi oleh masalah penyakit berjangkit.
Rundingan selama berbulan-bulan masih gagal menghasilkan persetujuan gencatan senjata bagi menamatkan perang atau membebaskan saki-baki tebusan yang ditahan Hamas itu..
Mereka mengulangi sokongan kuat terhadap keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menekankan kepentingan mencapai penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan bagi isu Palestin.
Deklarasi itu menekankan peri perlunya kerjasama dan dialog dalam memupuk keamanan dan kestabilan dalam kalangan negara anggota Dialog Kerjasama Asia, dengan tujuan mencapai pertumbuhan terangkum dan pembangunan mampan seperti yang dicerminkan dalam Visi 2030 bagi Kerjasama Asia.
Selain itu, mereka menekankan kepentingan sukan dalam melibatkan belia dengan mempromosikan acara sukan belia antarabangsa merentas pelbagai disiplin.
Mereka juga menegaskan penubuhan program pertukaran budaya yang menghubungkan kegiatan sukan dengan komponen pendidikan bagi meningkatkan pemahaman dan persahabatan antara budaya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg