Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel terus bedil sekolah di Gaza, 29 terbunuh

Empat sekolah yang jadi tempat perlindungan mangsa perang Palestin, diserang dalam empat hari
Jul 10, 2024 | 3:32 PM
Kanak-kanak Palestin melihat kerosakan yang berlaku di sekolah kelolaan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran pengeboman tentera Israel di kawasan Nuseirat, tengah Gaza, pada 9 Julai.
Kanak-kanak Palestin melihat kerosakan yang berlaku di sekolah kelolaan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran pengeboman tentera Israel di kawasan Nuseirat, tengah Gaza, pada 9 Julai. - Foto AFP

GAZA: Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh pada 9 Julai dalam satu serangan ke atas sebuah sekolah yang digunakan untuk melindungi mereka yang kehilangan tempat tinggal di Gaza – kejadian keempat seumpama itu dalam empat hari.

Sumber Palestin menyatakan Hamas, kumpulan yang mentadbir Gaza, menyalahkan Israel atas kematian tersebut.

Tentera Israel menyatakan mereka melakukan serangan di kawasan itu dan sedang menelitinya.

Ia juga mengaku melakukan tiga lagi serangan sejak 6 Julai ke atas sekolah di Gaza yang digunakan sebagai tempat perlindungan.

Serangan terkini itu mengena pintu masuk ke sekolah Al-Awda di Abasan, kata sumber di hospital Nasser di bandar berhampiran selatan Khan Younis – tempat mangsa dihantar – sambil menambah bahawa 29 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Pejabat media yang dikendalikan Hamas menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat” itu dan turut memberikan angka kematian seramai 29 orang, dengan majoriti mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

“Kami sedang duduk di pintu masuk ke sekolah... tiba-tiba dan tanpa amaran, roket ditembak ke arah kami,” kata seorang saksi, Encik Mohammed Sukkar, ketika menyingkap serangan tersebut.

Tentera Israel berkata tentera udara menggunakan “peluru tepat” untuk menyerang “pengganas daripada sayap tentera Hamas” berhampiran sekolah itu.

“Insiden itu dalam penelitian kami,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Pegawai di Gaza berkata sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan awal ke atas sekolah-sekolah.

Israel berkata ketiga-tiga serangan ke atas sekolah-sekolah tersebut menyasarkan militan yang bersembunyi di situ.

Pada 6 Julai, Israel menyerang sekolah Al-Jawni yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nuseirat, tengah Gaza, membunuh 16 orang, lapor kementerian kesihatan.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan 2,000 pelarian berlindung di sekolah tersebut ketika serangan berlaku.

Pada esoknya, serangan ke atas sekolah Holy Family di Bandar Gaza membunuh empat orang, lapor agensi pertahanan awam Gaza.

Pemilik sekolah itu, Cik Patriarchate Latin, berkata beratus-ratus orang memenuhi pekarangan sekolah tersebut pada masa itu.

Sebuah lagi sekolah yang dikendalikan UNRWA di Nuseirat diserang pada 7 Julai. Sebuah hospital tempatan berkata beberapa orang dibawa ke sana untuk rawatan.

Israel mendakwa ia menyasarkan “beberapa pengganas” yang menggunakan sekolah itu untuk perlindungan.

Hamas menafikan dakwaan Israel bahawa ia menggunakan sekolah, hospital dan kemudahan awam lain untuk tujuan ketenteraan.

Menurut UNRWA, lebih 500 orang telah terbunuh di sekolah dan tempat perlindungan lain yang dikendalikannya di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober.

Ia menyusuli serangan Hamas di selatan Israel yang membunuh lebih 1,400 orang dan menjadikan 240 sebagai tebusan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg