Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel terus gempur Beirut, sasar pengganti pemimpin Hezbollah

Israel mahu penduduk selatan Lebanon segera kosongkan lebih 20 kampung dan bandar di Nabatiyeh
Oct 4, 2024 | 2:05 PM
Tentera Israel terus melancarkan pengeboman sengit pada 3 Oktober di selatan Beirut dengan serangan disasarkan terhadap pengganti pemimpin Hezbollah di Lebanon, Encik Hashem Safieddine.
Tentera Israel terus melancarkan pengeboman sengit pada 3 Oktober di selatan Beirut dengan serangan disasarkan terhadap pengganti pemimpin Hezbollah di Lebanon, Encik Hashem Safieddine. - Foto REUTERS

BEIRUT: Tentera Israel melancarkan kempen pengeboman sengit terhadap kubu bawah tanah berhampiran Beirut awal 4 Oktober dengan sasaran ditujukan terhadap Encik Hashem Safieddine, sepupu dan juga pengganti pemimpin Hezbollah yang dibunuh, Encik Hassan Nasrallah.

Menurut pegawai Israel yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, jet-jet pejuang Israel mengebom tempat mesyuarat pemimpin kanan Hezbollah yang berlangsung di luar ibu negara Lebanon.

Pengeboman itu adalah antara yang paling sengit di kawasan tersebut sejak perang bermula Oktober lalu, lapor agensi berita pemerintah Lebanon.

Satu siri letupan kuat menggegarkan kawasan berhampiran Dahiya, kawasan berpenduduk padat di selatan Beirut yang merupakan markas Hezbollah.

Tidak segera diketahui nasib para pemimpin Hezbollah, termasuk Encik Safieddine.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan pada 3 Oktober terhadap penduduk di 20 lagi bandar dan kampung di selatan Lebanon, Nabatiyeh.

Kesemua itu menandakan potensi pengembangan serangan Israel ke atas Hezbollah apabila angka kematian akibat pengeboman Israel di Beirut meningkat kepada sembilan orang.

Perang kelihatannya semakin meruncing apabila Israel menimbang kemungkinan menyerang Iran, yang menyokong Hamas dan Hezbollah.

Ini selepas Teheran meluncurkan 200 peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober sebagai tindak balas susulan pembunuhan Encik Nasrallah pada 27 September; pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh; dan seorang komander Iran.

Israel, dengan bantuan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis, telah memintas kebanyakan peluru berpandu Iran itu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Teheran “membuat kesilapan besar dan perlu menanggung akibatnya”.

Iran telah memberi amaran kepada Amerika ia bakal menyerang balik jika Israel bertindak balas.

“Sekiranya mana-mana negara memberikan bantuan kepada penceroboh, ia juga akan dianggap sebagai rakan jenayah dan sasaran yang sah,” kata kedutaan Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata pada 2 Oktober beliau akan menentang serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran dan Israel harus bertindak balas secara “berkadar”.

Tetapi pada 3 Oktober, ketika ditanya sama ada negaranya akan menyokong Israel dalam serangan ke atas kemudahan minyak Iran, beliau berkata: “Kami sedang membincangkan perkara itu.”

Kenyataannya itu menjejas pasaran minyak, menyebabkan harganya melonjak.

Tentera Lebanon berkata pada 3 Oktober bahawa buat kali pertama sejak perang bermula, ia telah berbalas tembakan dengan tentera Israel selepas salah seorang askarnya terbunuh oleh tembakan Israel.

Walaupun pertembungan itu nampaknya terkawal, pertempuran itu merupakan perkembangan yang berpotensi berbahaya.

Angkatan bersenjata Lebanon disokong dan dibiayai oleh Amerika dan setia kepada Lebanon, bukan Hezbollah yang disokong Iran dan tidak terlibat secara aktif dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Tentera Israel berkata ia menyerang Hezbollah untuk menghalangnya daripada menembak roket dan dron ke utara Israel supaya 60,000 warga Israel yang telah dipindahkan boleh kembali.

Hezbollah mula menyasarkan Israel utara dengan lebih intensif hampir setahun lalu, sebagai menyokong Hamas selepas ia menyerang Israel pada 7 Oktober 2023 dan mencetuskan perang di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg