BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah menolak usulan supaya mengurangkan desakan untuk mengekalkan tentera di kawasan sempadan Gaza selatan sebagai pertimbangan untuk mencapai perjanjian gencatan senjata.
Menurutnya, adalah penting bagi Israel mengawal Koridor Philadelphi yang merupakan talian hayat utama kumpulan Hamas.
Koridor Philadelphi – yang terletak di pinggir selatan Jaluran Gaza dan bersempadan dengan Mesir – menjadi titik penting dalam usaha mencapai perjanjian senjata bagi menghentikan pertempuran di Gaza dan mengembalikan tebusan Israel yang masih ditahan Hamas.
Hamas telah menolak sebarang kehadiran tentera Israel di kawasan sempadan itu manakala Encik Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak akan meninggalkan koridor berkenaan.
Beliau mendakwa tentera Israel telah menjumpai berpuluh-puluh terowong yang telah digunakan Hamas untuk menyeludup senjata dan peluru ke Gaza.
Encik Netanyahu berkata koridor itu penting untuk memastikan Hamas tidak mendapat bekalan senjata melalui terowong-terowong di sana.
“Ini adalah oksigen Hamas,” katanya pada sidang akhbar di Baitulmakdis pada 2 September.
“Paksi kejahatan memerlukan Koridor Philadelphi dan atas sebab itulah kami mesti mengawalnya.
“Hamas menegaskan atas sebab itu kami tidak seharusnya berada di sana tetapi saya bertegas bahawa kami mesti berada di sana,” katanya.
Menurutnya, jika Israel menarik diri dari koridor tersebut, tekanan antarabangsa akan menyukarkan pihaknya untuk kembali ke sana.
Pendirian Encik Netanyahu mengenai rundingan senjata yang telah berterusan tanpa perjanjian dicapai telah mengecewakan sekutunya termasuk Amerika Syarikat dan menambah keretakan dengan menteri pertahanannya sendiri, Encik Yoav Gallant.
Pada 1 September, Encik Gallant, yang telah bertelagah dengan Encik Netanyahu dan menteri-menteri lain, menggesa Kabinet supaya membatalkan keputusan untuk mengekalkan tentera di Koridor Philadelphi demi mencapai kesepakatan dan membawa pulang tebusan.
Ditanya sama ada beliau akan memecat menteri pertahanannya, Encik Netanyahu berkata mereka boleh terus bekerjasama “selagi ada kepercayaan”.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata Encik Netanyahu tidak melakukan apa-apa untuk mencapai perjanjian tebusan – isu yang semakin mendesak berikutan penemuan mayat enam tebusan Israel pada 1 September di Gaza.
Pembunuhan tebusan telah menarik ratusan ribu rakyat Israel ke jalan raya pada 1 September untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi mendesak perjanjian gencatan senjata.
Keluarga dan kebanyakan orang menyalahkan Encik Netanyahu dengan menyatakan para tebusan Israel boleh dipulangkan hidup-hidup jika perjanjian dicapai dengan Hamas bagi menamatkan perang yang sudah berterusan sepanjang 11 bulan itu.
Ditanya mengenai komen Presiden Biden, Encik Netanyahu berkata tekanan harus dikenakan kepada Hamas, dan bukan Israel, terutamanya selepas pembunuhan tebusan yang menurutnya telah ditembak di belakang kepala oleh kumpulan itu.
Pemimpin pembangkang Israel, Encik Yair Lapid, menyifatkan komen Encik Netanyahu, dalam sidang akhbar sebagai “putaran politik yang tidak berasas” dan bertujuan untuk memastikan kelangsungan politiknya sendiri. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg