Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepentingan Koridor Philadelphi, Netzarim dalam rundingan tebusan Israel-Hamas

Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim adalah dua isu utama dalam rundingan libat Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat
Sep 16, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berpendirian bahawa Israel tidak akan menarik diri dari Koridor Philadelphi di selatan Jaluran Gaza dan Koridor Netzarim yang membelah tengah Gaza yang menjadi dua isu utama dalam rundingan yang disokong oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berpendirian bahawa Israel tidak akan menarik diri dari Koridor Philadelphi di selatan Jaluran Gaza dan Koridor Netzarim yang membelah tengah Gaza yang menjadi dua isu utama dalam rundingan yang disokong oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat. - Foto EPA-EFE

GAZA: Rundingan antara Israel dengan Hamas mengenai pembebasan tebusan dilaporkan mengalami kebuntuan, terutama berkaitan dua lokasi strategik yang sangat penting, iaitu Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim.

Kedua-dua kawasan itu berada di sepanjang sempadan Gaza dan telah lama menjadi elemen penting dalam strategi keselamatan Israel.

Sejarah dan Kepentingan Koridor Philadelphi

Koridor Philadelphi merupakan jalur tanah sempit sepanjang 14 kilometer yang memisahkan Gaza dari Gurun Sinai di Mesir.

Kawasan itu menjadi penting kepada keselamatan Israel sejak 1979, apabila ia menjadi sebahagian daripada perjanjian damai antara Israel dengan Mesir.

Perjanjian itu menetapkan sempadan baru antara Israel dengan Mesir, namun turut menyebabkan pembahagian bandar Rafah di Gaza, yang kini terletak di kedua-dua belah sempadan.

Israel kemudian menarik diri dari Gaza pada 2005 dan menandatangani Perjanjian Philadelphi dengan Mesir.

Perjanjian itu menghendaki Mesir dan Penguasa Palestin untuk menjaga keselamatan di sepanjang sempadan bagi mengelakkan penyeludupan senjata ke Gaza.

Namun, perjanjian itu tidak pernah mendapat kelulusan rasmi dari Knesset (Parlimen Israel), dan isu keselamatan di kawasan tersebut terus menjadi kontroversi.

Kepentingan strategik Koridor Philadelphi terletak pada fungsinya sebagai sempadan dan zon penampan, mengawal aliran barang dan senjata ke dalam dan keluar dari Gaza.

Selepas Hamas mengambil alih Gaza, kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan kegiatan ketenteraan di kawasan itu semakin memuncak.

Mesir mula mengambil langkah-langkah ketat, termasuk memusnahkan rumah-rumah di sepanjang sempadan untuk mewujudkan zon penampan yang lebih luas.

Selain itu, Koridor Philadelphi turut menempatkan Pintu Masuk Rafah, satu-satunya laluan keluar masuk dari Gaza ke Mesir, yang menjadi sumber bantuan kemanusiaan utama semasa perang antara Israel dengan Hamas.

Keadaan di kawasan itu semakin tegang apabila Israel mula menempatkan tentera di Koridor Philadelphi dan kawasan Pintu Masuk Rafah, yang sepatutnya berada di bawah kawalan Mesir.

Sejarah dan Kepentingan Koridor Netzarim

Koridor Netzarim adalah jalur tanah sepanjang lapan kilometer yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan bekas lokasi Pintu Masuk Karni di timur laut Gaza.

Pada mulanya, koridor itu ialah penempatan Netzarim, sebuah kawasan penempatan Israel yang wujud sejak 1972 sebelum ia ditinggalkan semasa proses ‘Disengagement’ atau pengunduran pada 2005.

Walaupun koridor itu pada asalnya hanya dilihat sebagai kawasan penempatan terpencil, ia kemudian dikenal pasti mempunyai nilai strategik yang tinggi.

Lokasinya yang hanya beberapa kilometer di selatan Bandar Gaza menjadikannya sebagai penghalang yang ideal antara bandar terbesar di Gaza dengan kawasan lain di selatan.

Semasa Operasi ‘Cast Lead’ pada 2008, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengambil alih kawalan ke atas Koridor Netzarim, membolehkan tentera Israel memecah Gaza kepada dua bahagian.

Strategi itu diulangi dalam perang semasa antara Israel dengan Hamas, yang menyaksikan Israel menempatkan beberapa pangkalan tentera di kawasan tersebut.

Langkah itu membolehkan IDF mengawal pergerakan antara Gaza Utara dengan Gaza Tengah, serta memudahkan operasi ketenteraan mereka di kedua-dua bahagian koridor tersebut.

Selain daripada kepentingan ketenteraan, Koridor Netzarim juga penting dalam mengawal aliran bekalan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza Utara.

Tentera Israel yang ditempatkan di koridor itu juga bertujuan menghalang Hamas daripada menyusun semula kekuatan mereka di utara Gaza.

Implikasi Rundingan Tebusan

Dalam rundingan tebusan antara Israel dengan Hamas, kedua-dua pihak nampaknya enggan bertolak ansur mengenai kawalan ke atas Koridor Philadelphi dan Netzarim.

Israel menegaskan bahawa mereka perlu mengekalkan kawalan ke atas kedua-dua koridor itu untuk memastikan keselamatan negara dan menghalang Hamas daripada memperolehi semula senjata.

Kawalan ke atas koridor itu juga penting bagi Israel untuk menjalankan serangan ke atas sasaran Hamas di seluruh Gaza.

Sebaliknya, Hamas menuntut Israel untuk keluar sepenuhnya dari kedua-dua koridor itu sebagai sebahagian daripada perjanjian pembebasan tebusan.

Tuntutan itu menjadi salah satu halangan utama dalam mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak.

Dalam konteks ini, kawalan ke atas Koridor Philadelphi dan Netzarim bukan sekadar isu strategik, malah menjadi titik tolak utama dalam rundingan yang kompleks dan tegang antara Israel dengan Hamas.

Bagaimana isu itu akan diselesaikan akan mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan serantau dan masa depan konflik Israel-Palestin.

Ketegangan di Gaza semakin memuncak dengan tindakan Israel yang berkeras mengekalkan kawalan ketenteraan di Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim, walaupun rundingan gencatan senjata sedang berjalan.

Langkah itu bertujuan menghalang kemasukan senjata dan kumpulan Hamas ke utara Gaza, terutama jika orang awam dibenarkan pulang ke kawasan tersebut.

Dalam perbincangan yang melibatkan Israel, Mesir, dan Amerika Syarikat pada akhir Ogos, Israel mengemukakan tuntutan yang dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh cengkamannya di kawasan sempadan Gaza.

Mereka mahu membatalkan Perjanjian Philadelphia dan meminda syarat-syarat keselamatan sempadan Mesir, padang pasir Negev dan Gaza agar diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Israel.

Projek pembangunan empat pos ketenteraan di Koridor Netzarim yang baru dimulakan oleh Israel menunjukkan kesungguhan rejim tersebut dalam memastikan kehadiran tentera mereka di kawasan itu.

Begitu juga di Rafah, di mana Israel telah membina jalan baru di sepanjang Koridor Philadelphi.

Keputusan kabinet Israel untuk mengekalkan tentera di dua koridor itu juga dijadikan syarat penting dalam rundingan pembebasan tahanan.

Namun, keputusan itu tidak sebulat suara.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, yang dipengaruhi oleh desakan keluarga tahanan, menentang syarat itu.

Beliau berpendapat bahawa pengunduran tentera dari Koridor Philadelphi mungkin menjadi titik permulaan untuk menyelamatkan para tahanan yang masih berada di Gaza.

Tindakan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, terus dikecam oleh masyarakat sivil Israel, yang menuduhnya sebagai penghalang utama kepada rundingan gencatan senjata.

Bagi mereka, keengganan Encik Netanyahu untuk menarik balik tentera dari Gaza bukan sahaja menggagalkan usaha perdamaian, malah menunjukkan kegagalan kepimpinannya dalam menangani krisis tersebut.

Dengan tindakan Encik Netanyahu itu, peluang untuk mencapai gencatan senjata semakin tipis.

Serangan yang berterusan hanya meningkatkan jumlah korban di Gaza, sementara kepentingan politik terus dimainkan di pentas sejagat. – Agensi berita.

Ketegangan di Gaza semakin memuncak dengan tindakan Israel yang berkeras mengekalkan kawalan ketenteraan di Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim, walaupun rundingan gencatan senjata sedang berjalan. Langkah itu bertujuan menghalang kemasukan senjata dan kumpulan Hamas ke utara Gaza, terutama jika orang awam dibenarkan pulang ke kawasan tersebut.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg