GAZA: Israel meningkatkan serangan yang menyasarkan pemimpin politik dan komander Hamas di Gaza, sedang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendesak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya meneruskan pelaksanaan pelan gencatan senjata yang diusahakan Washington.

Serangan terbaru Israel pada 26 November mengorbankan seorang anggota kanan Biro Politik Hamas, Encik Khaled Abu Nada, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan dalam pentadbiran Hamas di Gaza.

Hamas dalam satu kenyataan berkata serangan terhadap kediaman Encik Abu Nada di tengah Gaza itu turut mengorbankan isterinya.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa pembunuhan Encik Abu Nada akan menjejas operasi kewangan Hamas serta keupayaan kumpulan itu merangka dasar ekonomi.

Hamas pula mengecam serangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai sebahagian daripada dasar pembunuhan sistematik yang dilaksanakan Israel terhadap pemimpin kumpulan itu.

“Menyasarkan kediaman orang awam merupakan pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang dan prinsip kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan Hamas.

Sejak perjanjian gencatan senjata ditandatangani lebih setahun lalu, Israel terus melancarkan serangan hampir setiap hari di Gaza dengan alasan menyasarkan anggota Hamas.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 1,600 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dan operasi ketenteraan Israel sepanjang tempoh tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel meningkatkan serangannya terhadap kepimpinan Hamas, termasuk pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalaman wilayah itu.

Pada 25 November, Israel membunuh Encik Muhammad Abu Al-Aouf, ketua pasukan keselamatan dalaman Hamas di utara Gaza.

Sehari sebelumnya, tentera Israel membunuh Encik Naeem Muhammad Abu Nahal, yang mengetuai pasukan keselamatan dalaman Hamas di seluruh Gaza.

IDF mendakwa serangan tersebut memberi tamparan hebat terhadap keupayaan kepimpinan Hamas, meskipun kumpulan itu masih mempunyai pengaruh kukuh di kawasan Gaza yang tidak diduduki tentera Israel.

Israel turut meningkatkan serangan terhadap anggota kumpulan Jihad Islam Palestin dan sayap tentera Hamas.

Tentera Israel mendakwa individu yang disasarkan terlibat dalam usaha merancang serangan terhadap anggota tenteranya dan orang awam Israel, selain membina semula keupayaan ketenteraan kumpulan bersenjata Palestin.

Menurut IDF, tindakan tersebut merupakan pelanggaran sistematik terhadap perjanjian gencatan senjata.

Hamas pula menyalahkan Israel dan Lembaga Keamanan yang disokong Amerika atas kegagalan menghentikan serangan berterusan di Gaza.

Kumpulan itu mendakwa lembaga berkenaan memikul tanggungjawab politik dan moral kerana gagal mengambil tindakan untuk menghentikan serangan Israel.

Lembaga Keamanan itu ditubuhkan oleh pentadbiran Encik Trump dengan sokongan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu melaksanakan pelan gencatan senjata Gaza yang ditandatangani pada Oktober 2025.

Bagaimanapun, pelaksanaan pelan tersebut tergendala hanya beberapa minggu selepas diperkenalkan, sedang sebahagian besar Gaza masih musnah akibat perang.

Di tengah-tengah peningkatan serangan tersebut, Washington dilaporkan semakin mendesak pemerintah Israel supaya memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian gencatan senjata.

Pada 24 November, Encik Netanyahu mengadakan perbualan telefon dengan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, yang memainkan peranan penting dalam merangka perjanjian gencatan senjata Gaza.

Menurut laporan portal berita Axios, Encik Kushner menggesa Encik Netanyahu supaya melaksanakan komitmen Israel di bawah pelan tersebut, termasuk menghentikan serangan dan memulakan pengunduran tentera Israel yang kini menguasai lebih separuh wilayah Gaza.

Namun, Encik Netanyahu enggan meneruskan pelaksanaan pelan damai 20 perkara yang dikemukakan pentadbiran Encik Trump selagi Hamas tidak menyerahkan semua senjatanya.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari zon keselamatan yang dikuasainya sehingga Hamas dilumpuhkan sepenuhnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Israel bersedia meluaskan lagi kawasan yang didudukinya di Gaza.

Hamas pula enggan meletakkan senjata secara sepihak, sebaliknya menegaskan bahawa proses pelucutan senjata hanya boleh dilakukan seiring dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah Palestin itu.

Dalam wawancara bersama majalah New York, Encik Kushner memberi amaran bahawa Israel berdepan risiko semakin dipulaukan masyarakat antarabangsa sekiranya terus dengan pendekatan ketenteraannya sekarang.

Menurut beliau, Israel berada di persimpangan penting dalam menentukan masa depannya selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Israel, katanya, mempunyai peluang untuk menjadi sebuah negara yang lebih selamat dan lebih diterima masyarakat antarabangsa, atau meneruskan pendekatan sekarang yang berisiko menyebabkan negara itu semakin tersisih.

Dalam wawancara berasingan, Encik Kushner mengakui bahawa Encik Netanyahu tidak selalu memudahkan usaha pentadbiran Encik Trump untuk memajukan pelan damai Gaza.

Namun, Encik Netanyahu belum menunjukkan kesediaan untuk berkompromi, khususnya sedang sekutu berhaluan kanan dalam pemerintahannya mendesak supaya serangan terhadap Gaza dipertingkat serta menggalakkan penghijrahan penduduk Palestin keluar dari wilayah tersebut.

Encik Kushner turut menggesa Israel supaya mencontohi pendekatan negara-negara Arab di Teluk yang memberi penekanan terhadap kerjasama ekonomi dan hubungan diplomatik.

“Israel perlu meninggalkan pemikiran yang sentiasa tertumpu pada peperangan dan memberi tumpuan kepada diplomasi ekonomi,” katanya dalam satu wawancara podcast pada 25 November. – Agensi berita