TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada Isnin berkata gencatan senjata dalam perang Israel terhadap Hamas “tidak akan berlaku” ketika peperangan masuk hari ke-25 pada Selasa.
Israel berkata tenteranya memerangi Hamas di Gaza semalaman dan menyerang 300 sasaran selepas Encik Netanyahu menolak gencatan senjata yang disifatkannya sebagai tanda tunduk kepada militan Hamas.
“Askar membunuh mereka dan mengarahkan tentera udara melakukan serangan masa nyata ke atas sasaran dan infrastruktur,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Pada malam keempat operasi darat di dalam utara wilayah Palestin, dilaporkan beberapa pertembungan yang menyaksikan pasukan Israel melepaskan peluru berpandu anti kereta kebal dan tembakan senjata automatik.
“Serangan udara membabitkan 300 sasaran termasuk tapak pelancaran peluru berpandu dalam kawasan tentera di terowong milik Hamas,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa bantuan didapati tidak mencukupi bagi memenuhi “keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya” di Gaza.
Dalam taklimat kepada akhbar asing, Encik Netanyahu berkata bahawa gencatan senjata adalah sama dengan menyerah kepada Hamas, yang telah membunuh 1,400 orang dan menculik lebih 230 sebagai tebusan dalam serangan pada 7 Oktober.
Peperangan Israel-Palestin bermula selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.
Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jalur Gaza, yang diperintah oleh Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.
Tindakan tentera Israel telah membunuh lebih 8,000 orang di Gaza.
“Gesaan untuk gencatan senjata ialah seruan agar Israel menyerah kepada Hamas, menyerah kepada keganasan... ini tidak akan berlaku,” katanya sambil berikrar Israel akan “berjuang sehingga pertempuran ini dimenangi”.
Sekutu Israel, Amerika Syarikat juga menolak gagasan gencatan senjata.
“Kami tidak percaya bahawa gencatan senjata adalah jawapan yang betul sekarang,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara. Encik John Kirby, sambil menambah bahawa “usaha menyalurkan bantuan ke Gaza harus dipertimbangkan sebaliknya.
Operasi ketenteraan yang semakin giat dijalankan Israel telah meningkatkan ketakutan secara mendadak bagi 2.4 juta penduduk Gaza.
Kementerian Kesihatan yang dikawal Hamas mendakwa lebih 8,300 telah terbunuh.
Sementara itu, ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin memberitahu mesyuarat tergempar PBB pada Isnin bahawa “gencatan senjata kemanusiaan segera kini menjadi masalah hidup dan mati bagi berjuta-juta,” dan Israel mengenakan “hukuman kolektif” terhadap rakyat Palestin dan memaksa perpindahan orang awam di Gaza.
Terdahulu pada Isnin, Israel telah meluaskan serangan ketenteraannya dengan kereta kebal dan jentolak berperisai dilihat berpusing di atas pasir, dan penembak tepat mengambil kedudukan di dalam bangunan kediaman yang dikosongkan.
Rakaman yang dikeluarkan oleh tentera Israel juga menunjukkan serangan udara turut memusnahkan jalan dan merobohkan bangunan.
Tentera darat Israel yang disokong bedilan kuat dari udara dan artileri, telah menyerang lebih 600 sasaran dalam masa 24 jam, meningkat daripada 450 yang dilaporkan oleh tentera sehari sebelumnya.
Hamas pula mendakwa ia telah menembak peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah dua kenderaan perisai Israel dan bahawa “bedilan penentangan itu telah menghalang” tentera Israel daripada bertapak di Jalur Gaza.
Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas yang memerintah Gaza, berkata pasukannya bertempur awal Selasa apabila tentera Zionis menyerbu paksi selatan Gaza, dengan menggunakan mesingan malah menyasarkan empat kenderaan menggunakan peluru berpandu al-Yassin 105 atau peluru berpandu anti kereta kebal keluaran tempatan.
Agensi Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan pertempuran itu dan tiada maklum balas daripada tentera Israel. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg