Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tolak syarat gencatan senjata Hamas supaya henti perang, berundur daripada Gaza

Jun 1, 2025 | 2:46 PM
Gambar yang diambil daripada Hospital Ahli Arab menunjukkan asap berkepul-kepul ke ruang udara selepas serangan udara  Israel di kawasan kejiranan Daraj di bandar Gaza pada 31 Mei 2025.
Gambar yang diambil daripada Hospital Ahli Arab menunjukkan asap berkepul-kepul ke ruang udara selepas serangan udara Israel di kawasan kejiranan Daraj di bandar Gaza pada 31 Mei 2025. - Foto: AFP

KAHIRAH/ BAITULMAKDIS: Hamas pada 30 Mei menyatakan pihaknya mahu meminda beberapa cadangan gencatan senjata sementara yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, utusan khas Presiden Donald Trump ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, menyifatkan maklum balas kumpulan itu sebagai ‘sama sekali tidak boleh diterima’.

Hamas bersedia membebaskan 10 tebusan hidup serta menyerahkan mayat 18 lagi tebusan sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel.

Namun, Hamas tetap menegaskan tuntutan agar perang dihentikan sepenuhnya dan tentera Israel berundur dari Gaza, namun syarat itu ditolak Israel.

Seorang pegawai Hamas menyifatkan maklum balas itu sebagai ‘positif’ tetapi memerlukan sedikit pindaan, tanpa memperincikan perubahan yang diminta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pemerintahnya bersetuju dengan cadangan Encik Witkoff, namun Hamas terus menolak.

“Israel akan terus berusaha membawa pulang semua tebusan dan menewaskan Hamas,” katanya.

Cadangan itu termasuk gencatan senjata selama 60 hari dan pertukaran 28 daripada 58 tebusan dengan lebih 1,200 tahanan Palestin, selain kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pegawai kanan Hamas, Encik Basem Naim, menafikan kumpulan itu menolak cadangan berkenaan, tetapi menuduh Israel tidak mematuhi apa yang sudah dipersetujui dan mendakwa Encik Witkoff berat sebelah terhadap Israel.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan memberitahu Reuters bahawa Hamas mahu pembebasan tebusan dilakukan dalam tiga fasa sepanjang tempoh 60 hari dan pengagihan bantuan yang lebih meluas.

Mereka juga menuntut jaminan cadangan itu akan membawa kepada gencatan senjata yang kekal.

Israel sebelum ini menolak tuntutan Hamas dan sebaliknya mahukan kumpulan pejuang itu meletakkan senjata serta Hamas dibubarkan sebagai kuasa tentera dan pentadbiran, selain pembebasan semua baki 58 tebusan.

Presiden Trump, sebelum ini, melahirkan keyakinan bahawa persetujuan gencatan senjata semakin hampir, dengan Rumah Putih turut mengesahkan Israel sudah bersetuju dengan syarat terkini.

Namun, Encik Witkoff menyatakan maklum balas Hamas hanya membantutkan proses rundingan.

Beliau juga menggesa Hamas supaya menerima kerangka cadangan gencatan senjata sebagai asas untuk rundingan tidak langsung yang boleh dimulakan segera minggu ini.

Dalam satu perkembangan lain, tentera Israel pada 30 Mei mengesahkan telah membunuh Encik Mohammad Sinwar, ketua Hamas di Gaza, dalam serangan udara pada 13 Mei.

Beliau adalah adik kepada Encik Yahya Sinwar, pemimpin kanan Hamas yang terbunuh dalam serangan Israel pada Oktober 2023. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg