Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael tutup lintasan Tebing Barat, Gaza sempena ulang tahun serangan 7 Oktober
Israel tutup lintasan Tebing Barat, Gaza sempena ulang tahun serangan 7 Oktober
BAITULMAKDIS: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengarahkan penutupan menyeluruh lintasan di Tebing Barat yang diduduki dan Jaluran Gaza dari 5 hingga 7 Oktober, ketika Israel memperingati ulang tahun ketiga serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Penutupan itu dilaksanakan ketika tentera Israel turut memperketat kawalan keselamatan di beberapa kawasan Tebing Barat, melancarkan operasi penahanan serta menutup sejumlah jalan utama.
Encik Katz berkata penutupan di Tebing Barat akan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan saranan tentera dan penilaian keselamatan terkini.
Menurut laporan Jerusalem Post, arahan itu turut merangkumi penutupan lintasan di sekitar Bethlehem sepanjang tempoh tiga hari tersebut.
Orang ramai secara umumnya tidak dibenarkan melalui lintasan berkenaan kecuali dalam keadaan luar biasa dan selepas mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Israel.
Bagaimanapun, petugas perubatan dan kesihatan yang menjalankan perkhidmatan penting akan terus dibenarkan melaluinya.
Langkah keselamatan itu dilaksanakan ketika Israel memperingati tiga tahun serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.
Bendera di Parlimen Israel, Knesset, dan kediaman Presiden diturunkan separuh tiang sebagai sebahagian acara memperingati mangsa serangan tersebut.
Israel menetapkan hari peringatan kebangsaan dua hari selepas perayaan Yahudi Simhat Torah, iaitu hari serangan Hamas berlaku pada 2023.
Pada masa sama, langkah keselamatan diperketat di sekitar Ramallah dan Al-Bireh pada pagi 4 oktober dengan tentera Israel menutup beberapa jalan serta laluan masuk ke kawasan berkenaan, menurut agensi berita Palestin, Wafa.
Tentera Israel turut melancarkan serbuan dan operasi penahanan di beberapa kawasan Tebing Barat sejak awal pagi.
Pejabat Media Tahanan Palestin berkata sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin ditahan dalam operasi tersebut, termasuk seorang wartawan lelaki dan seorang wartawan wanita.
Ketegangan turut meningkat susulan beberapa serangan penedatang haram Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka.
Di kampung Umm Safa, barat laut Ramallah, jentolak yang dikendalikan peneroka Israel dilaporkan mula membersihkan tanah pertanian di bahagian utara kampung itu.
Menurut laporan Palestin, kerja tersebut bertujuan memperluaskan sebuah penempatan yang dibangunkan pada 2024 di kawasan Jabal Al-Ras.
Di wilayah Nablus pula, seorang petani Palestin diserang pedatang haram ketika sedang memetik buah zaitun di kawasan Mahfuriya di Aqraba, selatan Nablus.
Pendatang haram dilaporkan memukul petani itu sebelum mengambil hasil tuaian zaitun serta peralatan pertaniannya.
Kejadian itu berlaku ketika petani Palestin berdepan kesukaran semakin besar untuk menjalankan musim menuai zaitun tahun ini susulan peningkatan serangan peneroka.
Rakyat Palestin mendakwa serangan sedemikian sering berlaku ketika tentera Israel berada berhampiran kawasan terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan petani yang cuba memasuki tanah pertanian mereka.
Zaitun merupakan antara tanaman utama bagi banyak keluarga Palestin dan musim menuai menjadi sumber pendapatan penting kepada masyarakat luar bandar di Tebing Barat.
Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan 2,051 serangan oleh tentera dan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin, tanah serta harta benda mereka sepanjang bulan lalu.
Menurut suruhanjaya itu, tentera Israel bertanggungjawab terhadap 1,404 kejadian, manakala 647 lagi dikaitkan dengan peneroka.
Suruhanjaya berkenaan menyifatkan angka tersebut sebagai sebahagian peningkatan tekanan terhadap masyarakat Palestin dan keupayaan mereka untuk terus tinggal serta mengusahakan tanah masing-masing.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Bangladesh, Cik Sarah Cooke, berkata serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 tidak boleh dijadikan alasan bagi tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
“Kami mengutuk serangan pengganas Hamas pada 7 Oktober dan menyokong keselamatan Israel. Tetapi perkara ini tidak boleh menjadi alasan bagi tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat, di mana terlalu ramai orang telah terbunuh,” katanya ketika berucap pada forum Bay of Bengal Conversation.
Ketika sekatan dan operasi keselamatan diperketat di Tebing Barat, serangan di Gaza juga berterusan.
Seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di barat Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 4 Oktober.
Menurut sumber perubatan, seorang lagi mangsa cedera parah selepas sebuah dron Israel menyerang kawasan barat laut Khan Younis.
Tentera Israel turut melancarkan bedilan meriam ke beberapa kawasan di timur Bandar Gaza.
Perkembangan terbaru itu menunjukkan ketegangan terus berlarutan di wilayah Palestin ketika Israel memperingati ulang tahun serangan 7 Oktober, dengan kawalan keselamatan dipertingkat di Tebing Barat dan lintasan Gaza ketika operasi ketenteraan serta keganasan di kedua-dua wilayah terus berlaku. - Agensi berita