Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel pertimbang ambil alih Tebing Barat sebelum pengiktirafan negara Palestin

Sep 1, 2025 | 4:37 PM
Yahudi, ilhak, Palestin
Penduduk Israel membina rumah-rumah baru di selatan bandar Hebron, Tebing Barat, yang ditawan Israel dalam perang Asia Barat 1967. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel sedang mempertimbangkan pengilhakan Tebing Barat yang didudukinya sebagai tindak balas terhadap Perancis dan beberapa negara lain yang bersedia mengiktiraf sebuah negara Palestin.

Menurut tiga pegawai Israel yang mengesahkan perkara itu, idea berkenaan akan dibincangkan lebih lanjut sebelum dilaksanakan.

Menurut seorang menteri kanan, peluasan kedaulatan Israel ke Tebing Barat iaitu pengilhakan ke atas wilayah yang ditawan dalam perang Asia Barat 1967, dimasukkan dalam agenda mesyuarat Kabinet keselamatan.

Mesyuarat Kabinet keselamatan dipengerusikan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, itu dijangka turut menumpukan kepada perang di Gaza.

Setakat ini, masih belum jelas di mana dan bila langkah itu akan dilaksanakan, sama ada hanya di penempatan Israel atau sebahagiannya atau di kawasan tertentu Tebing Barat seperti Lembah Jordan.

Turut dibincangkan, sama ada sebarang tindakan konkrit yang berkemungkinan membabitkan proses perundangan panjang, akan menyusul selepas perbincangan.

Sebarang langkah ke arah pengilhakan Tebing Barat dijangka mengundang kecaman meluas daripada Palestin, yang menuntut wilayah itu bagi sebuah negara masa depan mereka serta negara Arab dan Barat.

Malah, pendirian Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengenai isu berkenaan juga tidak jelas.

Jurucakap Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, tidak memberi maklum balas berhubung sama ada beliau membincangkan perkara itu dengan rakan sejawatnya dari Amerika, Encik Marco Rubio, ketika lawatan ke Washington minggu lalu.

Setakat ini, pejabat Encik Netanyahu juga belum memberi maklum balas sama ada perdana menterinya itu menyokong langkah pengilhakan itu dan sekiranya benar, lokasi tepat yang dimaksudkan.

Terdahulu, janji Encik Netanyahu untuk mengilhakkan penempatan Yahudi dan Lembah Jordan dibatalkan pada 2020 bagi memberi laluan kepada usaha menjalin hubungan dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menerusi Perjanjian Abraham yang diusahakan Encik Trump dalam penggal pertamanya.

Sehingga kini juga, Pejabat Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Israel yang berdepan kritikan antarabangsa yang semakin hebat berhubung perang di Gaza, berang dengan janji Perancis, Britain, Australia dan Canada untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada sidang puncak pertemuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September ini. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg