BAITULMAKDIS: Tentera Israel mengumumkan pada 16 Jun mereka akan menghentikan sementara pertempuran di sekitar laluan selatan Gaza setiap hari bagi membolehkan penghantaran bantuan dijalankan.
Pengumuman langkah “henti sejenak kegiatan ketenteraan taktikal” pada waktu siang di kawasan Rafah itu dibuat sehari selepas lapan askar Israel terbunuh dalam letupan di selatan Gaza pada 15 Jun, manakala tiga lagi askar Israel maut dalam kejadian lain, yang dianggap sebagai antara kehilangan besar bagi tentera Israel dalam perangnya menentang Hamas.
“(Langkah) henti sejenak kegiatan ketenteraan tempatan dan taktikal bagi tujuan kemanusiaan akan berlangsung dari 8 pagi hingga 7 malam setiap hari... di sepanjang jalan dari lintasan Kerem Shalom ke Salah al-Din dan kemudian ke arah utara,” kata tentera Israel menerusi satu kenyataan.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan bantuan telah berulang kali memberi amaran tentang kekurangan makanan dan keperluan lain yang teruk di Jaluran Gaza, diburukkan lagi dengan sekatan akses darat dan penutupan lintasan utama Rafah dengan Mesir sejak tentera Israel merampasnya pada awal Mei.
Israel telah lama mempertahankan usahanya untuk membenarkan bantuan masuk ke Gaza, termasuk melalui sempadan Kerem Shalom berhampiran Rafah, menyalahkan kumpulan militan kerana merompak bekalan dan pekerja kemanusiaan kerana gagal mengagihkannya kepada orang awam.
Wartawan AFP di Gaza berkata tiada laporan mengenai serangan, tembakan atau pertempuran pada pagi 16 Jun, walaupun tentera Israel menegaskan dalam satu kenyataan bahawa “tiada pemberhentian pertempuran di selatan Jaluran Gaza”.
Amerika Syarikat, telah mendesak Israel dan Hamas untuk bersetuju dengan rancangan gencatan senjata yang telah ditetapkan oleh Presiden, Encik Joe Biden, mengenakan sekatan terhadap sebuah kumpulan pelampau Israel pada 14 Jun kerana menyekat dan menyerang konvoi bantuan dalam perjalanan ke Gaza.
Perang itu meletus selepas Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,400 orang dan menjadikan lebih 250 orang sebagai tebusan, berdasarkan kiraan Israel.
Sejak itu, serangan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh, kata Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg