TEL AVIV: Tentera Israel mengumumkan langkah pertama operasi untuk menawan dan menguasai sepenuhnya Bandar Gaza pada 20 Ogos.
ia telah mengerahkan puluhan ribu tentera simpanan sedang pemerintah negara itu menimbangkan cadangan gencatan senjata baru.
“Kami telah memulakan operasi awal dan peringkat pertama serangan ke atas Bandar Gaza dan kini tentera berada di pinggir Bandar Gaza,” kata jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin.
Seorang pegawai tentera yang memberi taklimat kepada pemberita sebelum ini pada 20 Ogos berkata askar simpanan tidak akan melaporkan diri untuk bertugas sehingga September.
Ini bagi memberi pengantara sedikit masa untuk merapatkan jurang antara Hamas dengan Israel dalam rundingan gencatan senjata.
Tetapi selepas tentera Israel bertempur dengan kumpulan Hamas di Gaza pada 20 Ogos, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pemimpin Israel itu mahu mempercepat garis masa untuk menguasai kubu kuat Hamas itu.
Ia di samping mengalahkan kumpulan militan yang mencetuskan konflik dengan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Kenyataan Israel itu memberi isyarat bahawa Israel mahu meneruskan rancangannya untuk merampas pusat bandar terbesar Gaza di sebalik kritikan antarabangsa terhadap operasi yang mungkin memaksa pemindahan lebih ramai penduduk Palestin.
Jeneral Defrin berkata tentera sudah beroperasi di pinggir Bandar Gaza, dan Hamas kini menjadi pasukan yang diserang dengan teruk.
“Kami akan memperhebat serangan ke atas Hamas di Bandar Gaza, kubu kuat pejuang pertubuhan pengganas itu,” kata jurucakap itu.
Tentera Israel telah mengerahkan puluhan ribu tentera simpanan pada 20 Ogos sebagai persediaan untuk serangan yang dijangka dilancarkan ke atas Bandar Gaza.
Hamas, dalam satu kenyataan di Telegram, menuduh Encik Netanyahu menghalang perjanjian gencatan senjata untuk meneruskan “perang kejam terhadap orang awam yang tidak bersalah di Bandar Gaza”.
“Ketidakpedulian Netanyahu terhadap cadangan pengantara... membuktikan bahawa beliau adalah penghalang sebenar mana-mana perjanjian,” tegas kenyataan itu.
Kabinet keselamatan Israel, yang dipengerusikan oleh Encik Netanyahu, meluluskan rancangan pada Ogos untuk memperluas kempen di Gaza dengan tujuan menawan Bandar Gaza.
Tentera Israel pernah melancarkan perang bandar yang sengit dengan Hamas pada peringkat awal perang.
Israel kini menguasai kira-kira 75 peratus Jaluran Gaza.
Ramai sekutu terdekat Israel telah menggesa pemerintah agar menimbang semula rancangan serangan itu.
Bagaimanapun, Encik Netanyahu berada di bawah tekanan daripada beberapa anggota sayap kanan dalam gabungannya untuk menolak gencatan senjata sementara, dan meneruskan perang serta meneruskan penaklukan wilayah itu.
Malah, seorang anggota sayap kanan, Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, menyatakan kelulusan muktamad pada 20 Ogos bagi projek penempatan di Tebing Barat, yang akan memadamkan sebarang prospek mewujudkan negara Palestin.
Peperangan di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, apabila Hamas menyerang penduduk Israel di selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan 251 tebusan, berdasarkan angka Israel.
Lebih 60,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan balas dan berterusan Israel di Gaza sejak itu, lapor pegawai kesihatan Gaza.
Dalam pada itu, Hamas telah menerima cadangan yang dikemukakan oleh pengantara Arab bagi gencatan senjata selama 60 hari yang akan melibatkan pembebasan sebilangan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di Israel.
Pemerintah Israel pula berpendirian tegas bahawa kesemua baki 50 tebusan mesti dibebaskan, sedang ia mengkaji cadangan gencatan senjata baru itu.
Ramai rakyat Gaza dan pemimpin asing bimbang serangan ke atas Bandar Gaza akan menyebabkan angka kematian yang besar.
Namun, Israel berkata ia akan mengarahkan orang awam meninggalkan zon pertempuran sebelum sebarang serangan bermula. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg