GAZA: Tentera Israel pada 14 Ogos mengumumkan mereka telah meluluskan kerangka operasi baru untuk melancarkan serangan lebih luas di Jaluran Gaza, sekali gus meningkatkan kebimbangan antarabangsa terhadap kesan kemanusiaan yang semakin buruk selepas 22 bulan perang.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Kabinet Keselamatan Israel mengarahkan penguasaan penuh ke atas Bandar Gaza, kota terbesar di wilayah itu yang kini menjadi tempat perlindungan ribuan penduduk yang melarikan diri daripada serangan terdahulu.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, telah “meluluskan kerangka utama bagi pelan operasi IDF di Jaluran Gaza”, dengan tumpuan pada kubu Hamas, khususnya lokasi dipercayai menempatkan tebusan Israel yang diculik pada 7 Oktober 2023.
“Konsep utama untuk pelan peringkat seterusnya di Jaluran Gaza telah dibentangkan dan diluluskan, selaras dengan arahan kepimpinan politik,” katanya tanpa mendedahkan garis masa pelaksanaan.
Di Gaza, Pengarah Pejabat Media Pemerintah Hamas, Encik Ismail Al-Thawabta, memberitahu agensi berita, AFP, bahawa “tentera Israel terus melakukan pencerobohan agresif di bandar Gaza.”
“Serangan ini satu peningkatan berbahaya yang bertujuan memaksa realiti baru di lapangan melalui bumi yang hangus dan kemusnahan penuh harta benda awam,” katanya.
Penduduk tempatan turut menggambarkan keadaan tegang.
Encik Sabah Fatoum, 51 tahun, yang tinggal di khemah di Tal al-Hawa, berkata melalui telefon:
“Letupan sangat dahsyat. Banyak serangan udara dan kereta kebal mara di selatan Tal al-Hawa, dengan dron berlegar di atas kepala kami.”
Di kejiranan Zeitoun, Encik Abu Ahmed Abbas, 46 tahun, berkata kereta kebal telah mara ke bahagian tenggara sejak beberapa hari lalu, memusnahkan rumah-rumah.
“Serangan udara sangat kuat, dan kadang-kadang disertai bedilan artileri sejak 10 Ogos,” ujarnya.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, melaporkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh di seluruh wilayah pada 13 Ogos akibat serangan Israel.
Rakaman AFP pada 12 Ogos menunjukkan penduduk di Zeitoun dan Asqoola meninggalkan kawasan mereka dengan menaiki kereta sorong, van dan motosikal, mengangkut barangan seadanya.
“Saya tidak bawa tilam atau apa-apa, kami hanya lari dari maut. Sekarang kami melarikan diri dan tidak tahu ke mana hendak pergi,” kata pelarian Palestin, Cik Fidaa Saad.
Rancangan Israel untuk memperluas serangan ke Bandar Gaza berlaku ketika rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan berhadapan kebuntuan sejak Julai.
Perkembangan itu mencetuskan penentangan antarabangsa dan bantahan dalam negara.
Peningkatan operasi ketenteraan itu turut ditentang keluarga tebusan dan kumpulan hak asasi manusia, yang menegaskan lebih banyak pertempuran hanya akan meningkatkan risiko terhadap nyawa tebusan
Di Tel Aviv pada 12 Ogos, bekas juruterbang tentera udara Israel berhimpun menuntut perang ditamatkan.
“Perang dan peluasan ini hanya akan menyebabkan kematian tebusan, kematian lebih ramai askar Israel, dan kematian lebih ramai penduduk awam Palestin di Gaza,” kata bekas juruterbang, Encik Guy Poran.
Pertubuhan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran meluas sedang berlaku di Gaza – tempat Israel mengurangkan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 235 orang, termasuk 106 kanak-kanak, meninggal dunia akibat kelaparan sejak perang bermula, kebanyakannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 12 Ogos mengulangi gesaan supaya rakyat Palestin “dibenarkan” meninggalkan Gaza.
“Kami tidak menghalau mereka, tetapi kami membenarkan mereka keluar,” katanya kepada saluran i24NEWS, kenyataan yang mengundang kebimbangan mengenai pengusiran paksa.
Sementara itu, Kabinet Keselamatan Israel menggariskan lima prinsip untuk menamatkan konflik di Gaza.
Ia termasuk Hamas mesti dilucutkan senjata, semua tebusan dibebaskan, Gaza dimusnahkan, Israel memegang kawalan keselamatan mutlak, dan pentadbiran sivil yang aman diwujudkan tanpa penglibatan Israel.
Pentadbiran itu, menurut mereka, tidak boleh mengajar keganasan kepada kanak-kanak, tidak membayar “pengganas”, dan tidak melancarkan serangan ke atas Israel.
Jeneral Eyal Zamir, yang sebelum ini beberapa kali berbeza pendapat dengan Kabinet Keselamatan, bimbang pelan itu boleh membahayakan nyawa tebusan dan membebankan tentera.
“Kita berdepan soal nyawa, kematian dan pertahanan negara. Kita melakukannya dengan memandang mata askar dan rakyat negara ini,” katanya, sambil mendakwa IDF kini “menghampiri peringkat akhir” perang menentang Hamas.
Encik Netanyahu kemudian menulis di wadah X, memberi amaran bahawa jika Jeneral Zamir tidak bersetuju dengan pelan itu, beliau boleh meletakkan jawatan.
Sejak serangan 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel, lebih 61,700 penduduk Gaza terbunuh akibat serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg