JOHOR BAHRU: Semua isu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya hujung Jun.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri juga kekal komited meningkatkan kesalinghubungan Johor, terutama dalam menambah baik perkhidmatan di kedua-dua kompleks CIQ berkenaan.
“Kami sedar dengan menangani isu yang membelenggu sejak sekian lama ini, ia dapat membantu meningkatkan imej Johor dan Malaysia, selain membuat kehidupan orang ramai yang berulang-alik setiap hari lebih mudah.
“Dengan jaminan daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, saya berbesar hati memaklumkan kepada semua pelabur bahawa masalah akan dapat diatasi menjelang hujung bulan ini.
“Ini bukti Johor mendengar suara rakyat dan industrinya,” katanya semasa berucap di Forum Perniagaan dan Pelaburan Johor di Johor Bahru pada Khamis.
Datuk Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen mereka untuk mengurangkan kesesakan di sempadan yang membawa perkembangan positif kepada Johor.
Laluan Tambak Johor-Singapura kini antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Singapura setiap hari.
“Tambak ini menjadi tumpuan utama saya kerana saya telah turun padang untuk memantau keadaannya dengan kerap,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu berkata kerajaan sedang melaksanakan Sistem Transit Rapid (RTS Link) untuk meningkatkan lagi hubungan Johor Bahru-Singapura.
“Ini adalah projek yang berupaya mengubah keadaan, yang dijangka siap menjelang 2026 dan dianggarkan boleh menampung 150,000 pengguna sehari.
“Untuk melengkapkan RTS Link, sistem Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) akan siap menjelang 2025. IMBRT akan mempunyai hubungan yang luas dengan laluan dari sini (Johor Bahru) ke Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.
“Ini satu lagi pengubah keadaan yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi Johor,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg