Isu imigresen bayangi serangan ke atas wakil rakyat Ilhan Omar di Minneapolis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu imigresen bayangi serangan ke atas wakil rakyat Ilhan Omar di Minneapolis

Jan 28, 2026 | 4:47 PM

Isu imigresen bayangi serangan ke atas wakil rakyat Ilhan Omar di Minneapolis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Wakil Rakyat Amerika Syarikat, Ilhan Omar (Demokrat–Minnesota) (kanan), bertindak balas selepas disembur bahan yang tidak dikenal pasti oleh seorang lelaki ketika beliau menganjurkan sesi town hall di Minneapolis, Minnesota, pada 27 Januari 2026.
Wakil Rakyat Amerika Syarikat, Ilhan Omar (Demokrat–Minnesota) (kanan), bertindak balas selepas disembur bahan yang tidak dikenal pasti oleh seorang lelaki ketika beliau menganjurkan sesi town hall di Minneapolis, Minnesota, pada 27 Januari 2026. - Foto AFP

MINNEAPOLIS: Seorang lelaki menyerbu ke arah podium dan menyembur wakil rakyat Amerika Syarikat, Cik Ilhan Omar, dengan cecair berbau kuat semasa satu sesi pertemuan awam di Minneapolis pada 27 Januari sebelum ditahan oleh anggota keselamatan.

SInsiden itu berlaku semasa sesi taklimat umum atau town hall bersama penduduk setempat yang diadakan oleh Cik Omar, Ahli Kongres Parti Demokrat yang mewakili sebahagian kawasan Minneapolis. Lelaki berkenaan, yang duduk di barisan hadapan tepat di hadapan podium, tiba-tiba bangun ketika Cik Omar sedang berucap dan berlari ke arah mimbar.

Menurut saksi di lokasi, lelaki itu menggunakan sejenis picagari untuk menyembur baju Cik Omar dengan bahan cecair yang berbau kuat seperti cuka. Ketika lelaki itu terundur ke belakang sambil menunjuk ke arah Cik Omar, seorang pegawai keselamatan bertindak pantas menahannya, menjatuhkan suspek ke lantai, menggari tangannya dan mengeluarkannya dari dewan.

Jeritan dan reaksi terkejut kedengaran dalam kalangan hadirin, termasuk laungan “Oh Tuhan” dan “Dia menyembur sesuatu!”. Seorang wanita dalam kalangan hadirin kelihatan hampir menangis akibat kejadian tersebut.

Polis Minneapolis mengesahkan lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Anthony J. Kazmierczak, 55 tahun, dan ditahan atas syak melakukan serangan. Menurut pihak polis, satu pasukan forensik turut dipanggil bagi menjalankan analisis di lokasi kejadian.

Sesi pertemuan awam itu diadakan bagi membincangkan operasi berterusan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di bandar tersebut. Cik Omar, yang sering menjadi sasaran kritikan Presiden Donald Trump, mengadakan sesi itu di kawasan parlimennya sendiri.

Beberapa jam sebelum insiden tersebut, Presiden Trump mengkritik Cik Omar dalam satu perhimpunan di Iowa dan mengulangi kenyataan berbaur hasutan mengenai negara kelahiran Cik Omar, Somalia. Beliau mendakwa pendatang “perlu membuktikan mereka mencintai negara ini” dan menyindir, “tidak seperti Ilhan Omar”.

Serangan itu berlaku sejurus selepas Cik Omar menyatakan pendiriannya secara terbuka terhadap dasar imigresen.“Kita mesti memansuhkan ICE sepenuhnya dan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, mesti meletak jawatan atau berdepan pemecatan,” katanya.

Kenyataan tersebut selari dengan gesaan beberapa penggubal undang-undang Demokrat yang menuntut Cik Kristi Noem berundur atau dipecat susulan insiden tembakan oleh ejen imigresen persekutuan yang mengorbankan dua nyawa di Minneapolis awal bulan ini.

Walaupun jelas kelihatan terkejut selepas diserang, Cik Omar bertegas kepada kakitangan dan pasukan keselamatannya bahawa beliau mahu meneruskan sesi tersebut. Beliau meminta tisu dan berkata: “Beri saya 10 minit. Saya merayu. Tolong jangan biarkan mereka merampas pentas ini.”

Cik Omar kemudian kembali berhadapan dengan hadirin dan menyampaikan mesej ketabahan. “Inilah kenyataan yang tidak difahami oleh mereka yang bertindak dengan keganasan,” katanya. “Kita kuat sebagai rakyat Minnesota, dan kita akan kekal tabah menghadapi apa sahaja yang mereka lemparkan.”

Seorang hadirin kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Cik Omar kerana meneruskan sesi walaupun seluruh dewan masih terkesan dengan kejadian itu. “Saya belajar sejak kecil untuk tidak tunduk kepada ugutan,” kata Cik Omar.

Kira-kira sejam selepas sesi tersebut, Cik Omar memuat naik kenyataan di media sosial bahawa beliau berada dalam keadaan baik dan berterima kasih kepada penyokongnya.

“Saya terselamat, insiden kecil ini tidak akan menghalang saya daripada menjalankan tugas,” katanya. “Saya tidak akan membiarkan pembuli menang.”

Polis Capitol Amerika Syarikat, yang menyiasat ancaman terhadap penggubal undang-undang, menyifatkan serangan itu sebagai “tidak boleh diterima” dan berjanji tindakan tegas akan diambil.

“Kami bekerjasama dengan rakan persekutuan bagi memastikan lelaki ini dikenakan pertuduhan paling serius untuk menghalang keganasan seperti ini daripada berulang,” menurut kenyataan agensi itu.

Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial, mencetuskan kecaman meluas. Datuk Bandar Minneapolis, Encik Jacob Frey, mengutuk serangan tersebut dan menegaskan bahawa “keganasan dan intimidasi tidak mempunyai tempat di bandar ini”.

Sementara itu, Ahli Kongres Republikan dari South Carolina, Cik Nancy Mace, yang sering berbeza pendapat dengan Cik Omar, turut mengecam insiden itu. “Walaupun saya sangat tidak bersetuju dengan pendiriannya, tiada wakil rakyat yang sepatutnya berdepan serangan fizikal,” katanya. “Ini bukan nilai yang kita junjung sebagai sebuah negara.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg