BANGKOK: Jabatan Penjara Thailand memberi perkembangan terkini mengenai keadaan bilionair dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang kini menjalani hukuman penjara setahun selepas diperintah Mahkamah Agung pada 9 September lalu.
Leftenan Kolonel Polis Shane Kanjanapach, Timbalan Ketua Pengarah merangkap jurucakap Jabatan Penjara, berkata Encik Thaksin kini menjalani tempoh kuarantin selama lima hari sebelum pihak penjara menentukan tugasan berdasarkan kemahiran dan minat setiap banduan.
“Dalam kes Thaksin, beliau mungkin diminta mengajar bahasa, sekali gus menyumbang kepada aktiviti penjara dan membantu pemulihan rakan banduan lain,” katanya pada 11 September.
Mahkamah Agung Thailand pada 9 September mengarahkan Encik Thaksin Shinawatra, dipenjara serta-merta untuk menjalani hukuman setahun. Mahkamah memutuskan hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul dan kini tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital.
Menurut Leftenan Kolonel Shane, keadaan fizikal dan mental Encik Thaksin dilaporkan normal. Sepanjang kuarantin, beliau dikatakan menikmati rutin harian mudah dengan memulakan pagi dengan dua biji telur rebus dan secawan kopi, selain dapat tidur dengan lena.
“Setakat ini, beliau tidak membuat sebarang permintaan khas dan telah ditempatkan di bilik kuarantin bersama banduan warga emas lain, yang dianggap sesuai,” jelas Leftenan Kolonel Shane.
Setakat ini, lawatan masih belum dibenarkan, termasuk oleh peguamnya sendiri. Hanya senarai sehingga 10 orang yang ditetapkan Encik Thaksin terdiri daripada isteri, anak-anak dan ahli keluarga terdekat akan dibenarkan, selaras dengan peraturan penjara.
Peguam Encik Thaksin, Encik Winyat Chatmontree, mengakui beliau belum dapat bertemu anak guamnya. “Saya dimaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan sihat dan bersemangat. Saya dijadualkan bertemu beliau pada 15 September,” katanya.
Sumber dari Jabatan Penjara pula mendedahkan bahawa Thaksin sudah mula menyesuaikan diri di Penjara Pusat Klong Prem. “Pada malam kedua, beliau tidur nyenyak tanpa menunjukkan keresahan atau tanda kemurungan. Beliau juga mematuhi arahan pegawai penjara dan bekerjasama dengan baik,” kata sumber itu.
Bagi menjaga keselamatan, penjara menugaskan banduan berkelakuan baik sebagai “pengasuh” bagi memantau Encik Thaksin. Mereka diberi latihan asas pertolongan cemas dan sokongan lain dalam penjara.
Sebagai tokoh ekonomi, terdapat cadangan agar Thaksin dibenarkan menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti awam, termasuk seminar akademik atau acara pesta buku.
Namun sumber menegaskan, sebarang tugasan awam perlu diluluskan Jabatan Penjara. “Contohnya, penyanyi Seksan Sukpimai atau Sek Loso pernah dibenarkan membuat persembahan konsert sebagai khidmat masyarakat. Tetapi setiap projek mesti mendapat kelulusan rasmi,” jelasnya.
Soal kemungkinan Thaksin dibebaskan awal juga menjadi perhatian. Menurut peraturan, kelayakan parol ditentukan berdasarkan tahap kelakuan:
Cemerlang: mesti berbaki tidak lebih ⅓ daripada tempoh hukuman (bagi Encik Thaksin, kira-kira empat bulan).
Sangat baik: mesti berbaki tidak lebih ¼ (tiga bulan).
Baik: mesti berbaki tidak lebih ⅕ (dua bulan 15 hari).
Sumber berkata, Encik Thaksin pada awalnya diklasifikasikan sebagai “sederhana”. Penilaian semula kelakuan akan dibuat pada Disember ini.
Beliau juga boleh dipertimbangkan untuk parol khas memandangkan usianya melebihi 70 tahun dan berpotensi mengalami masalah kesihatan. “Dalam kes khas, beliau mesti menjalani sekurang-kurangnya separuh tempoh hukuman, iaitu enam bulan,” tambah sumber itu.
Bagi parol biasa, jawatankuasa penjara akan mengemukakan pandangan kepada ketua penjara, sebelum dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara untuk pertimbangan akhir. Jika dipersetujui, keputusan itu akan dibawa ke jawatankuasa kelulusan. Untuk kes khas, kelulusan Menteri Kehakiman diperlukan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg