BANGKOK: Tiga helai selimut untuk tidur, kawasan mandi terbuka, makanan hambar dan risiko keganasan yang berterusan.
Inilah keadaan di dalam penjara keselamatan maksimum di ibu negara Thailand tempat bekas perdana menteri berusia 76 tahun, Encik Thaksin Shinawatra, dipenjara, menurut dua individu yang mengetahui keadaan fasiliti itu.
Pernah menjadi salah seorang lelaki terkaya dan paling berkuasa di Thailand, Encik Thaksin pada 9 September diperintahkan Mahkamah Agung untuk menjalani hukuman penjara setahun setelah mendapati bilionair itu secara salah menghabiskan masa di hospital bagi menggantikan hukuman penjara.
Hukuman awalnya lapan tahun kerana konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa ketika menjadi perdana menteri dari 2001-2006 telah diringankan kepada setahun, selepas pulangan dari buangan sendiri pada Ogos 2023.
Beliau dibebaskan dengan parol pada Februari 2024, selepas hanya enam bulan ditahan, yang keseluruhannya menjalani hukuman di sayap VIP sebuah hospital privet.
Sejak itu, beliau tinggal di sebuah rumah agam berpagar tinggi di pinggir bandar Bangkok, sering bergerak dengan kereta Mercedes-Maybach hitam dan perak, serta terbang ke luar negara menggunakan jet peribadi.
Sejam selepas mahkamah membuat keputusan, Encik Thaksin ditempatkan dalam sebuah van, diiringi pegawai Jabatan Penjara. Selepas pemeriksaan perubatan, beliau dipindahkan ke Penjara Klong Prem.
Fasiliti itu, yang menempatkan kira-kira 6,500 banduan, pernah memenjarakan tokoh politik terkenal Thailand dan seorang mogul media. Viktor Bout, seorang pedagang senjata antarabangsa yang digelar “merchant of death”, juga pernah menjadi banduan di situ.
“Ia kehidupan yang sangat menyedihkan. Ketika pertama kali masuk, saya hanya menangis,” kata Encik Somyot Pruksakasemsuk, seorang aktivis dan editor majalah yang menjalani lebih tujuh tahun penjara atas tuduhan lese majeste, termasuk di Klong Prem. “Keadaannya sangat tegang. Ia bukan tempat yang mesra.”
Reuters tidak dapat mengesahkan secara tepat bahagian mana dalam Penjara Klong Prem, sebuah fasiliti besar di utara Bangkok, tempat Thaksin ditempatkan serta bagaimana keadaan kehidupannya setiap hari. Jabatan Penjara tidak segera menjawab e-mel dari Reuters.
Encik Winyat Chatmontree, peguam bekas perdana menteri itu, berkata Encik Thaksin kini menjalani kuarantin lima hari, di mana beliau tidak dapat bertemu atau berhubung secara langsung dengan anak guamnya.
Keterangan Encik Somyot tentang penjara itu disahkan oleh seorang bekas pegawai Jabatan Penjara, yang pernah bekerja di seluruh penjara Thailand termasuk Klong Prem selama sedekad, tetapi meminta agar tidak dinamakan kerana isu sensitif.
Penjara itu dibahagikan kepada 11 zon, termasuk kawasan kuarantin tempat Encik Thaksin mula-mula dibawa, bahagian berasingan bagi mereka yang menjalani hukuman lebih atau kurang daripada 50 tahun, serta zon khas untuk banduan berisiko tinggi, menurut Jabatan Penjara.
“Thaksin akan dikelompokkan bersama banduan politik warga emas, bukan pembunuh atau pengedar dadah,” kata bekas pegawai itu, menjelaskan bahawa bergantung pada pengelompokan, beliau boleh ditempatkan di bilik besar dengan hanya beberapa rakan sebilik atau di bilik kecil bersama sehingga 25 orang.
“Semua banduan, tanpa mengira umur, tidur di lantai bersebelahan antara satu sama lain.”
Makanan yang dihidangkan sangat hambar, kata Encik Somyot, tetapi yang lebih mengerikan ialah kemudahan mandi - sebuah tab air besar berbentuk segi empat di mana banduan berkumpul dalam keadaan bogel.
“Masa mandi berisiko untuk diserang atau dibunuh,” katanya, menggambarkan keadaan di dalam penjara. “Banduan boleh memulakan pergaduhan dan ia boleh menjadi serius.”
Banduan dibenarkan keluar dari sel pada waktu siang untuk bertemu ahli keluarga atau peguam mereka, menurut kenyataan jabatan itu pada 10 September.
Pihak berkuasa penjara akan memberi perhatian khusus terhadap keselamatan Encik Thaksin, memandangkan profil politiknya, sejarah peribadi, dan banduan lain, kata Encik Somyot dan bekas pegawai itu.
“Thaksin boleh berdepan permusuhan daripada pemisah yang marah dengan dasar pemberontakan beliau serta pengedar dadah atau ahli keluarga mereka yang dipenjara atau terbunuh semasa pentadbirannya,” kata bekas pegawai itu.
Memandangkan pengaruh Encik Thaksin, beliau juga mungkin menarik banduan lain yang bertindak sebagai pengawal peribadi dan penyokong, lalu menjadi apa yang dikenali sebagai “somdet” atau “orang besar” dalam istilah penjara Thailand, kata kedua-duanya.
Tidak jelas berapa lama Encik Thaksin akhirnya akan menghabiskan masa di penjara, kerana beliau layak menjalani tahanan di luar penjara termasuk tahanan rumah, menurut sumber dalam Jabatan Penjara.
Namun, ia tetap keputusan yang sukar diterima, sebagaimana yang dialami Encik Somyot.
“Anda kehilangan kebebasan, anda kehilangan keselesaan, anda kehilangan kehidupan dari segi politik dan reputasi,” katanya. “Anda harus belajar menerima kehilangan itu.”
Banduan biasanya diberikan tiga helai selimut: satu digunakan sebagai tilam, satu lagi digulung menjadi bantal dan yang ketiga untuk selimut diri, kata jabatan itu.
“Jika mereka berlembut, penjara mungkin beri empat selimut,” kata Encik Somyot. “Tetapi ini cara tidur yang menyeksakan.” - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg