Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jakarta akan pilih gabenor baru dalam ujian terhadap Prabowo

Nov 27, 2024 | 2:37 PM
Penduduk Indonesia keluar mengundi dalam pilihan raya wilayah yang diadakan serentak pada 27 November.
Penduduk Indonesia keluar mengundi dalam pilihan raya wilayah yang diadakan serentak pada 27 November. - Foto AFP

JAKARTA: Pengundi di Jakarta memilih gabenor seterusnya pada 27 November, dalam satu ujian awal terhadap Presiden Prabowo Subianto selepas beliau mula memegang tampuk pemerintahan pada Oktober.

Pilihan raya itu menemukan calon Encik Prabowo, mantan Gabenor Jawa Barat, Encik Ridwan Kamil, menentang pilihan pembangkang, bekas setiausaha Kabinet, Encik Pramono Anung, untuk menguasai ibu kota itu, sebuah metropolis yang menyumbang kira-kira satu perlima daripada keluaran ekonomi negara.

Calon yang menang akan menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kesesakan lalu lintas, pencemaran dan hakikat bahawa bandar yang mempunyai lebih 11 juta penduduk itu benar-benar tenggelam.

Gabenor baru itu mungkin berdepan detik penentu dalam sejarah Jakarta, apabila ia melepaskan tugasnya sebagai pusat pemerintah Indonesia kepada sebuah ibu kota baru yang sedang dibina, dikenali sebagai Nusantara, di Kalimantan.

Pertandingan masih terbuka luas. Tinjauan pendapat terkini menunjukkan Encik Ridwan ketinggalan di belakang Encik Pramono buat kali pertama, tetapi kira-kira satu perempat pengundi masih belum memutuskan siapa yang akan mereka pilih.

Kedua-dua calon teratas itu dijangka tidak akan mendapat lebih 50 peratus undi. Keputusan awal bermula petang 27 November.

Pertandingan di Jakarta itu adalah pilihan raya tempatan paling menonjol, yang turut menyaksikan pilihan raya daerah di 37 wilayah di seluruh Indonesia.

Ia juga merupakan salah satu peluang pertama pengundi untuk mendaftarkan tahap sokongan mereka kepada Encik Prabowo, selepas beliau menjadi presiden kelapan Indonesia pada akhir Oktober berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya pada Februari 2024.

Encik Prabowo, yang bersekutu dengan pendahulunya, Encik Joko Widodo, atau Jokowi, sedang berusaha mengukuhkan kuasa selepas membentuk pemerintah campuran yang menguasai kira-kira 80 peratus kerusi Parlimen Indonesia.

Mantan jeneral itu menetapkan sasaran bercita-cita tinggi – mencapai pertumbuhan tahunan 8 peratus dalam beberapa tahun akan datang dan melaksanakan program makan tengah hari percuma bernilai AS$30 bilion ($40.4 bilion) buat murid sekolah.

Menguasai Pulau Jawa dan Jakarta sebagai bandar terbesarnya adalah kunci kejayaan dasar tersebut, kerana lebih separuh penduduk negara itu tinggal di sana.

Jika calon Encik Prabowo kalah di Jakarta dan Jawa Tengah, pelabur mungkin menjual saham Indonesia, kata Encik Lionel Priyadi, pakar strategi makro di Mega Capital Indonesia, sebuah broker berpangkalan di Jakarta.

Kekalahan juga boleh “menyebabkan pelaksanaan program Encik Prabowo menjadi lebih rumit kerana tentangan politik yang lebih kuat”, kata Encik Priyadi.

Dalam beberapa minggu lalu, calon Gabenor Jakarta telah membentangkan visi mereka untuk bandar besar yang kekal sebagai kuasa ekonomi di Asia Tenggara itu.

Encik Ridwan telah berjanji akan mengurangkan kerenah birokrasi dengan menarik lebih ramai pelabur, membina Disneyland di luar pantai Jakarta dan meneruskan projek tebus guna tanah.

Encik Pramono, yang disokong pembangkang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, telah berikrar akan melabur dalam melatih tenaga kerja Jakarta, memulakan dana AS$3 bilion untuk membiayai projek di bandar itu dan meneruskan rancangan membina tembok laut gergasi bagi menangani masalah banjir. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg