Topik diikuti
Pergi ke BHkuJakarta kecam Israel pasang sepanduk propaganda di runtuhan Hospital Indonesia di Gaza
Jakarta kecam Israel pasang sepanduk propaganda di runtuhan Hospital Indonesia di Gaza
Jakarta kecam Israel pasang sepanduk propaganda di runtuhan Hospital Indonesia di Gaza
JAKARTA: Indonesia mengecam tindakan tentera Israel yang memasang sepanduk propaganda ketenteraan di atas runtuhan Hospital Indonesia di utara Gaza, yang disifatkan sebagai satu tindakan provokatif dan menghina kemudahan kemanusiaan.
Dalam kenyataan di wadah X pada 22 April, Kementerian Luar Indonesia menegaskan bantahan keras terhadap tindakan tersebut.
“Indonesia mengecam dan membantah sekeras-kerasnya pemasangan sepanduk ‘Rising Lion’ oleh tentera Israel di atas runtuhan Hospital Indonesia di Gaza,” ujar kenyataan itu.
Kementerian itu menegaskan bahawa penggunaan simbol ketenteraan di tapak hospital yang musnah, khususnya yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan tertentu, adalah tindakan yang tidak boleh dibenarkan.
“Penggunaan simbol dan propaganda ketenteraan di lokasi hospital adalah sangat provokatif dan tidak boleh dipertahankan,” tambah kenyataan tersebut.
Indonesia turut menegaskan bahawa Hospital Indonesia di Gaza merupakan kemudahan awam yang dibina khusus untuk memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin.
Menurut kementerian tersebut, walaupun hospital tersebut kini dalam keadaan runtuh, ia tetap tidak wajar dijadikan lokasi propaganda atau intimidasi ketenteraan.
“Tindakan ini merupakan satu penghinaan terhadap kemudahan kemanusiaan yang dibina hasil perpaduan rakyat Indonesia untuk rakyat Palestin,” katanya.
Indonesia turut mengingatkan bahawa hospital dan semua kemudahan perubatan perlu dihormati serta dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pemerintah Indonesia menggesa Israel agar menghentikan segala tindakan yang melanggar perlindungan prasarana awam dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Hospital Indonesia mengalami kerosakan teruk semasa operasi ketenteraan Israel di Gaza dari Oktober 2023 hingga gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025.
Pengarah hospital, Dr Marwan Al-Sultan, turut terkorban bersama keluarganya selepas kediamannya diserang pada Julai 2025.
Menurut laporan media, sepanduk ‘Rising Lion’ yang dipasang di atas bangunan itu juga merupakan nama kod operasi ketenteraan Israel terhadap Iran pada Jun 2025.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dengan Hamas telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, keadaan di sekitar hospital masih belum selamat sepenuhnya.
Sukarelawan tempatan daripada Jawatankuasa Kecemasan Perubatan (MER-C) melaporkan tentera Israel masih berada di sekitar kompleks hospital.
“Saya hanya boleh masuk dari arah selatan kerana kehadiran kereta kebal Israel dan tembakan yang masih berlaku,” kata seorang sukarelawan.
Beliau turut menyifatkan keadaan hospital rosak teruk, dengan dinding berlubang besar dan barangan bertaburan akibat serangan. – Agensi berita.
