SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jakarta masuk era baru di bawah Gabenor Pramono

Jakarta masuk era baru di bawah Gabenor Pramono

Mar 17, 2025 | 5:30 AM

Jakarta masuk era baru di bawah Gabenor Pramono

Encik Pramono Anung mengadakan lawatan ke Rusun Tanah Tinggi di Johar Baru, Jakarta, untuk menemui pengundi semasa berkempen bagi pemilihan Gabenor Jakarta pada Februari 2024.
Encik Pramono Anung mengadakan lawatan ke Rusun Tanah Tinggi di Johar Baru, Jakarta, untuk menemui pengundi semasa berkempen bagi pemilihan Gabenor Jakarta pada Februari 2024. - Foto INSTAGRAM PRAM.DOEL

JAKARTA: Jakarta kini memasuki fasa kepimpinan baru di bawah Gabenor Pramono Anung, seorang tokoh politik daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang disenangi pelbagai pihak.

Encik Pramono bersama timbalannya, Encik Rano Karno, mengangkat sumpah pada 20 Februari dalam majlis pelantikan terbesar dalam sejarah Indonesia, melibatkan 961 pemimpin daerah.

Di tengah-tengah harapan tinggi rakyat, Encik Pramono memulakan pentadbirannya dengan ikrar meneruskan legasi gabenor lalu dan membawa Jakarta ke tahap lebih baik.

“Saya memerlukan sokongan semua pihak untuk menjadikan Jakarta sebuah kota yang dipuji.

“Para pendahulu saya telah meninggalkan warisan luar biasa, dan saya ingin memperbaikinya serta membangunkan Jakarta ke arah lebih baik,” katanya dalam ucapan pertamanya di Balai Kota Jakarta selepas majlis peralihan kuasa daripada pemangku gabenor sebelumnya, Encik Teguh Setyabudi.

Sebagai sebuah ibu kota dengan lebih 11 juta penduduk, Jakarta terus berdepan pelbagai cabaran, termasuk kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan banjir yang kerap berlaku.

Bagi Cik Ocha, 23 tahun, seorang pengguna pengangkutan awam yang lahir dan dibesarkan di Jakarta, isu prasarana masih belum ditangani sepenuhnya.

“Saya nampak ada perkembangan seperti laluan pejalan kaki lebih luas dan sistem pengangkutan awam semakin bersepadu, tetapi masih belum cukup,” katanya, merujuk kepada banyak laluan pejalan kaki yang sering dihalang gerai penjaja dan motosikal.

Cik Meirizka, 26 tahun, yang berasal dari Banjarmasin tetapi telah menetap di Kemang, Jakarta Selatan, selama tiga tahun, turut meluahkan kebimbangannya.

“Saya harap kesesakan dan masalah banjir dapat dikurangkan. Walaupun saya bukan pengundi di sini, sebagai penduduk Jakarta, saya tetap mahukan seorang gabenor cekap,” ujarnya.

Encik Pramono dan Encik Rano semasa berkempen berjanji akan membangunkan lebih banyak kolam takungan air, mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dan melaksana rancangan sarapan percuma bagi pelajar.

Ia merupakan satu inisiatif berasingan daripada program makanan berkhasiat percuma pemerintah pusat yang dipelopori Presiden Prabowo Subianto.

Kepimpinan Pramono: Politik Bakal Lebih Stabil?

Penganalisis politik melihat Encik Pramono sebagai seorang pemimpin yang mampu merapatkan jurang antara Jakarta dengan pemerintah pusat.

Ia tidak seperti pendahulunya, Encik Anies Baswedan, yang sering bertelagah dengan Presiden ketika itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Sepanjang pentadbirannya, Encik Anies sering berbeza pendapat dengan pemerintah pusat, terutama dalam isu sekatan Covid-19 pada 2020.

Namun, Encik Pramono, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Kabinet Encik Jokowi selama dua penggal, dijangka mampu menguruskan hubungan lebih baik dengan pemerintah pusat.

Menurut penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Arya Fernandes, Encik Pramono juga mempunyai hubungan baik dengan Presiden Prabowo, walaupun berasal dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang kini menjadi pembangkang.

“Tidak ada masalah antara Pramono dengan Prabowo. Saya yakin mereka akan bekerjasama untuk membangunkan Jakarta selepas ia kehilangan status sebagai ibu negara,” katanya.

Encik Prabowo dan pentadbiran pusat sebelum ini merancang pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur, bagi menghurai isu kepadatan penduduk dan cabaran pembandaran Jakarta.

“Pembangunan Jakarta sebagai kota sejagat memerlukan sinergi antara pemerintah pusat dengan pemerintah tempatan,” tambah Encik Arya.

Dilema Politik: Kepatuhan pada Pemerintah Pusat atau Autonomi?

Kejayaan Encik Pramono turut bergantung pada sejauh mana beliau dapat mengimbangi kepentingan politik PDI-P dan tuntutan pemerintah pusat yang diketuai Encik Prabowo daripada Parti Gerindra.

Ketua PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, menegaskan bahawa Encik Pramono dan Encik Rano perlu mengikut arahan Presiden Prabowo kerana gabenor juga berperanan sebagai wakil pemerintah pusat di wilayah masing-masing.

“Ibu Megawati menekankan bahawa seorang gabenor juga merupakan wakil pemerintah pusat.

“Oleh itu, beliau menasihatkan kami supaya tidak mengabaikan arahan presiden,” kata Encik Rano dalam satu kenyataan media.

Pernyataan itu mencerminkan dilema politik yang bakal dihadapi Encik Pramono – sama ada beliau akan menjadi pemimpin yang setia kepada pemerintah pusat atau kekal sebagai suara yang memperjuangkan agenda PDI-P.

Cabaran Masa Depan Jakarta: Prasarana, Kesihatan dan Alam Sekitar

Selain isu prasarana dan hubungan politik, satu lagi cabaran utama bagi Encik Pramono ialah menjadikan Jakarta bandar berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam.

Kawasan pantai utara Jakarta semakin tenggelam, dengan kajian menunjukkan bandar itu mungkin kehilangan sebahagian wilayahnya akibat peningkatan paras air laut jika langkah pencegahan tidak diambil segera.

Encik Pramono menyedari cabaran itu dan berjanji akan meneruskan projek penahanan air laut serta meningkatkan kapasiti sistem saliran bandar bagi mengurangkan kesan banjir.

Namun, menurut penganalisis Badan Riset dan Inovasi Nasional (Brin), Encik Wasisto Raharjo Jati, Jakarta di bawah kepimpinan Encik Pramono dijangka lebih bersedia bertolak-ansur, selari dan seiring dengan dasar pemerintah pusat, berbanding pentadbiran sebelumnya.

“Jakarta akan lebih selaras dengan pemerintah pusat kerana hubungan baik Pramono dengan Prabowo, Jokowi dan Megawati,” katanya.

Walaupun Encik Pramono memulakan pentadbirannya dengan sokongan politik kukuh, kejayaan beliau tetap bergantung pada keupayaannya menangani isu birokrasi, memastikan projek pembangunan berjalan lancar, dan menjadikan Jakarta lebih mesra penduduk.

Rakyat seperti Cik Ocha dan Cik Meirizka mengharapkan lebih daripada sekadar janji politik.

“Saya harap Pramono benar-benar akan meningkatkan kemudahan awam seperti taman dan laluan pejalan kaki. Jika tidak, semua pelan pembangunan hanya akan menjadi sia-sia,” kata Cik Ocha. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg