Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Setiausaha Kabinet Pramono menang pilihan raya Gabenor Jakarta

Dec 9, 2024 | 11:58 AM
Calon Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (kiri), dan calon Timbalan Gabenor, Encik Rano Karno, melambai kepada wartawan semasa sidang media pilihan raya pemerintah daerah di Jakarta pada 27 November.
Calon Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (kiri), dan calon Timbalan Gabenor, Encik Rano Karno, melambai kepada wartawan semasa sidang media pilihan raya pemerintah daerah di Jakarta pada 27 November. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Mantan Setiausaha Kabinet Indonesia, Encik Pramono Anung, memperoleh lebih 50 peratus undi dalam pilihan raya Gabenor Jakarta pada 27 November, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) pada 8 Disember.

Keputusan rasmi mengesahkan beliau mengalahkan pesaing terdekatnya, mantan Gabenor Jawa Barat, Encik Ridwan Kamil, yang disokong tujuh penyandang parti politik.

Bagaimanapun, Pengerusi KPU cawangan Jakarta, Encik Wahyu Dinata, menjelaskan pengumuman itu tidak mengesahkan kemenangan Encik Pramono.

Pengesahan akhir mesti menunggu hingga sembarang pertikaian pilihan raya diselesaikan oleh Mahkamah Perlembagaan.

“Gabenor dan Naib Gabenor baru akan dilantik selepas fasa proses pemilihan seterusnya, bergantung kepada sama ada terdapat saman yang difailkan dengan Mahkamah Perlembagaan,” kata Encik Wahyu.

Encik Pramono, calon Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), menerima 2.18 juta undi, melepasi 50 peratus dengan kelebihan 2,925 undi untuk memperoleh kemenangan mutlak. Beliau meraih 50.07 peratus undi.

Encik Ridwan memperoleh 1.71 juta undi, manakala calon bebas, Encik Dharma Pongrekun, di tempat ketiga dengan 459,230 undi.

Pasukan kempen Encik Ridwan menimbulkan bantahan terhadap keputusan di beberapa daerah.

Jika mereka berjaya membuktikannya dan kemudian membatalkan beberapa ribu undi, mereka boleh memaksa pilihan raya diadakan sekali lagi.

Rakyat Indonesia keluar mengundi untuk memilih 37 gabenor, 93 wali kota atau datuk bandar dan 415 bupati atau ketua daerah pada 27 November.

Pilihan raya serentak itu berlangsung lebih sebulan selepas pelantikan Encik Prabowo sebagai Presiden pada 20 Oktober.

Beberapa wilayah penting seperti Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur, Jawa Tengah, Sumatera Utara dan Bali muncul sebagai medan pertempuran utama dalam perebutan kuasa antara dua blok besar itu.

Kecuali Jakarta, calon-calon yang disokong Encik Prabowo dan mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, mencatat kemenangan besar di banyak wilayah utama.

Jakarta, sebagai ibu kota dan pusat politik serta ekonomi, menjadi simbol penting yang mampu mengubah naratif politik nasional.

Namun, calon yang menang di Jakarta akan menghadapi pelbagai cabaran, termasuk isu kesesakan lalu lintas, pencemaran dan hakikat bahawa bandar yang mempunyai lebih 11 juta penduduk itu sedang tenggelam.

Encik Pramono, yang disokong pembangkang PDI-P, berikrar akan melabur dalam melatih tenaga kerja Jakarta, memulakan dana AS$3 bilion ($4.03 bilion) untuk membiayai pelbagai projek di bandar itu dan meneruskan rancangan membina tembok laut gergasi bagi menangani masalah banjir. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg