TANGERANG, Jakarta: Kebakaran besar di puat pelupusan sampah Jatiwaringin di Tangerang, memasuki hari kelapan pada 7 Julai dengan operasi pemadaman masih diteruskan, manakala pihak berkuasa mula menyiasat kemungkinan unsur khianat atau kecuaian manusia menjadi punca kejadian.

Asap tebal yang masih menyelubungi kawasan perumahan berhampiran turut memaksa puluhan penduduk terus berlindung di pusat pemindahan sementara akibat masalah kesihatan dan pencemaran udara.

Tinjauan di lokasi pada tengah hari 7 Julai mendapati kepulan asap masih keluar dari beberapa bahagian timbunan sampah yang terbakar, sebelum ditiup angin ke kawasan penempatan penduduk di sebelah barat tapak pelupusan itu.

Petugas gabungan terus menjalankan operasi pemadaman melalui laluan darat dengan bantuan anggota bomba dan pasukan Manggala Agni, selain menggunakan helikopter pemadam kebakaran udara menggugurkan air milik Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) untuk menyiram sisa titik api dari udara.

Menurut BNPB, sekurang-kurangnya sembilan trak tangki air dan empat helikopter dikerahkan bagi mengawal kebakaran yang memusnahkan kira-kira 33 hektar kawasan tapak pelupusan berkenaan.

Kebakaran yang bermula sejak 30 Jun lalu itu pada awalnya dipercayai berpunca daripada cuaca panas melampau semasa musim kemarau yang mencetuskan pembakaran gas metana di bawah timbunan sampah.

Bagaimanapun, pihak penyiasat kini turut meneliti laporan mengenai aktiviti pembakaran terbuka berskala kecil di sekitar kawasan tersebut sebelum kebakaran besar berlaku.

Ketua Polis Tangerang, Pesuruhjaya Kanan Andi Muhammad Indra Waspada Amirullah, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kebakaran berpunca daripada unsur khianat atau kecuaian.

“Kami sedang mengumpulkan bukti dan keterangan. Siasatan dimulakan selepas menerima laporan daripada orang awam,” katanya sebelum ini.

Pusat pelupusan Jatiwaringin yang beroperasi secara terbuka sejak 1993 menerima antara 400,000 hingga 900,000 tan sampah setiap tahun, dengan sebahagian besar tidak diurus secara sempurna sehingga menyebabkan pengumpulan gas metana yang mudah terbakar.

Kejadian itu turut menjejaskan kesihatan penduduk sekitar apabila sekurang-kurangnya 154 orang dilaporkan mengalami jangkitan saluran pernafasan akut akibat pendedahan kepada asap toksik.

Pada kemuncak kejadian, lebih 200 penduduk dipindahkan sementara, manakala sehingga 6 Julai, seramai 28 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan di Kantor Desa Tanjakan Mekar.

Pihak berkuasa berkata jumlah mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan boleh berubah bergantung kepada keadaan asap di kawasan sekitar.

Kebakaran berpanjangan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap krisis pengurusan sampah di Indonesia yang masih bergantung kepada lebih 300 tapak pelupusan terbuka di seluruh negara.

Musim kemarau dan fenomena El Niño yang menyebabkan cuaca lebih panas serta kering dipercayai meningkatkan risiko pembentukan gas metana dan kebakaran di tapak pelupusan yang tidak diurus dengan baik.

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Mohammad Jumhur Hidayat, menggesa semua pemerintah daerah memperketat langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko kebakaran tapak pelupusan.

“Saya meminta semua bupati dan wali kota yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sampah supaya sentiasa berwaspada menghadapi El Niño dan musim kemarau berpanjangan.

“Pastikan semua aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran dihentikan, selain memastikan bekalan air serta peralatan pemadaman mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Julai.

Indonesia sebelum ini turut berdepan situasi sama semasa fenomena El Nino pada 2023 apabila sebanyak 46 kebakaran tapak pelupusan direkodkan di seluruh negara.

Antara lokasi yang terjejas ketika itu termasuk tapak pelupusan Sarimukti di Bandung Barat, Nambo di Bogor, Jatibarang di Semarang dan Putri Cempo di Surakarta.

Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata pemerintah daerah kini diarahkan menyemak semula pelan tindak balas kecemasan masing-masing serta segera memohon bantuan pemerintah pusat sekiranya kemampuan tempatan tidak mencukupi.

“Pemerintah pusat bersedia menyediakan anggota tambahan, bantuan dana kecemasan dan peralatan pemadaman jika diperlukan,” katanya.

Sementara itu, pertubuhan alam sekitar Walhi menyifatkan kebakaran di Tangerang sebagai bukti kegagalan struktur pengurusan sampah di Indonesia yang masih lemah dan terlalu bergantung kepada tapak pelupusan terbuka.

Menurut Walhi, langkah kecemasan semata-mata tidak mencukupi sekiranya pemerintah gagal mengurangkan penghasilan sampah dari punca serta melaksanakan pengasingan dan pemprosesan sisa secara lebih sistematik.

“Tanpa pengurangan sampah di peringkat awal dan pengurusan sisa organik yang baik bagi mengelakkan pembentukan gas metana, risiko bencana seperti ini akan terus berlaku pada bila-bila masa,” menurut kenyataan pertubuhan itu.- Agensi berita