Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemarau buruk di Indonesia cetus kebimbangan bekalan air dan makanan
Kemarau buruk di Indonesia cetus kebimbangan bekalan air dan makanan
Pemerintah bagaimanapun jamin bekalan beras cukup hingga 2027
Kemarau buruk di Indonesia cetus kebimbangan bekalan air dan makanan
JAKARTA: Semakin banyak kawasan di Indonesia menghadapi kekurangan air ketika kemarau akibat El Nino, dengan pihak berkuasa memberi amaran hujan berpanjangan di bawah paras biasa boleh memburukkan krisis.
Ribuan keluarga tidak menerima hujan selama berminggu-minggu, mendorong Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menggesa pentadbiran wilayah memperkukuh persiapan terhadap kemarau, kekurangan air bersih serta kebakaran hutan dan tanah terbuka.
Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, dalam satu kenyataan pada 3 Julai turut menggesa orang ramai menjimatkan air dan mengelakkan pembakaran kawasan terbuka atau sampah yang boleh mencetuskan kebakaran hutan dan tanah ketika musim kemarau.
Dalam laporannya, BNPB menambah Gunungkidul di Yogyakarta, Semarang di Jawa Tengah dan Jember di Jawa Timur ke dalam senarai kawasan mengalami kekurangan air.
Sekurang-kurangnya 700 keluarga terjejas, mendorong pengagihan air menggunakan lori tangki.
Laporan terbaru itu menambah kepada lebih 7,100 keluarga yang sudah sukar mendapatkan air bersih di kawasan paling teruk terjejas, termasuk Cilacap, Klaten dan Jepara di Jawa Tengah; Bantul di Yogyakarta; Karawang, Tasikmalaya dan Sukabumi di Jawa Barat; serta Seram di Maluku, di mana penghantaran air kecemasan juga sedang dijalankan.
Beberapa daerah mengisytiharkan amaran kemarau selama 90 hari bagi mempercepat tindak balas kecemasan.
Gunungkidul berada di bawah amaran itu sejak Jun, manakala Jawa Barat mengisytiharkannya pada Julai.
Lombok Barat mengisytiharkan darurat sejak Jun 15 selepas sekitar 3,600 keluarga terjejas.
Banten masih menilai keadaan pada 3 Julai sebelum memutuskan sama ada akan mengeluarkan amaran kemarau peringkat wilayah bagi membolehkan pengagihan air dilakukan segera.
Ketika El Nino, kejadian iklim ditandai suhu laut lebih panas di Pasifik bertambah kuat, Stesen Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) memberi amaran musim kemarau 2026 boleh melampau, meningkatkan risiko kemarau panjang dan kegagalan tanaman.
Pada pertengahan Jun, 37 peratus zon iklim Indonesia memasuki musim kemarau, sementara hampir separuh negara itu mencatatkan hujan di bawah paras biasa.
BMKG menjangka kemarau memuncak antara Julai hingga September, dengan keadaan kering meliputi 80 peratus kepulauan itu.
Agensi itu menyeru langkah segera mengurangkan kesan kemarau, termasuk menyesuaikan jadual penanaman, menggunakan jenis tanaman tahan kemarau dan cepat matang, serta mempelbagaikan tanaman makanan.
Pakar memberi amaran kemarau panjang boleh mengancam keselamatan makanan negara dan melonjakkan harga beras jika bekalan air serta prasarana tidak dijamin.
Menteri Pertanian, Encik Amran Sulaiman, berkata kementeriannya menjangkakan keadaan itu dan mempercepat langkah menanganinya, termasuk penggunaan pam pengairan bagi memastikan air tersedia dan pengeluaran makanan kekal mantap.
Pemerintah juga berusaha meyakinkan orang ramai mengenai bekalan makanan dengan Encik Amran berkata berulang kali bahawa simpanan beras negara berada pada “paras tertinggi dalam sejarah” dan mencukupi hingga 2027.
Suruhanjaya IX Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyelia pertanian dan pengeluaran makanan, menggesa pemerintah mempercepat bantuan di kawasan mudah terjejas, termasuk pengagihan benih, baja, peralatan pertanian dan makanan ternakan.
Walaupun usaha kini tertumpu pada pengagihan air kecemasan, penyelidik Encik Bagas Yusuf Kausan dari badan pemikir dasar air Yayasan Amerta Air Indonesia, berkata Indonesia memerlukan pelaburan jangka panjang dalam prasarana air di kawasan terdedah kepada kemarau.
“Penyelesaian jangka panjang ialah menyediakan perkhidmatan air paip berpatutan melalui syarikat bekalan air wilayah, malah dibiayai sebahagiannya oleh pemerintah,” katanya.
Encik Bagas berkata kesan kemarau berulang bukan hanya berpunca daripada iklim, sebaliknya kemerosotan alam sekitar akibat kegiatan manusia, termasuk penukaran guna tanah dan penyusutan simpanan air bawah tanah.
“Pemerintah harus melihat El Nino sebagai peluang mengetatkan sekatan terhadap penukaran guna tanah, khususnya tetapi tidak terhad kepada kawasan tadahan air.” – Agensi berita.
