KAHIRAH: Jawatankuasa Pentadbiran Gaza Nasional (NCAG) mengumumkan pihaknya sudah menetapkan keutamaan bagi proses pemulihan dan pembinaan semula Gaza serta bersedia memulakan operasi di lapangan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

Pengumuman itu dibuat selepas satu mesyuarat penyelarasan dipengerusikan Pengerusi NCAG, Encik Ali Shaath, bersama wakil Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia bagi membincangkan hasil penilaian pantas kerosakan serta keperluan di Gaza.

Menurut kenyataan jawatankuasa itu yang dimuat naik di wadah X pada 18 Jun, NCAG sudah menerima hasil penilaian tersebut sebagai rujukan utama dalam merangka pelan pemulihan dan pembinaan semula wilayah Palestin.

“Jawatankuasa sudah menyiapkan keutamaan sektor serta pelan pelaksanaan supaya kerja di lapangan boleh dimulakan sebaik sahaja syarat diperlukan dipenuhi,” kata Encik Shaath.

Beliau berkata beberapa sektor penting sudah dikenal pasti sebagai keutamaan termasuk kesihatan, perumahan, prasarana, ekonomi, pertanian, telekomunikasi dan perlindungan sosial.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan sumber bantuan dan pembiayaan disalurkan kepada keperluan paling mendesak rakyat Gaza.

Wakil EU, PBB dan Bank Dunia turut membentangkan dapatan utama penilaian kerosakan termasuk tahap kemusnahan dalam sektor penting serta keperluan segera untuk memulihkan perkhidmatan asas dan menghidupkan semula ekonomi Gaza.

Peserta mesyuarat menegaskan bahawa usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza mesti dipimpin rakyat Palestin sendiri, sambil mengiktiraf peranan NCAG dalam menyelaras usaha nasional dan antarabangsa.

Mereka turut mengulangi komitmen bagi meneruskan kerjasama teknikal dan penyelarasan bersama jawatankuasa itu dalam menyokong usaha pemulihan serta pembangunan mampan di Gaza.

NCAG ialah badan bukan politik yang ditubuhkan bagi mengurus hal ehwal awam harian di Gaza.

Jawatankuasa itu mula beroperasi dari Kahirah pada Januari lalu tetapi masih belum memulakan operasi rasmi di Gaza kerana keadaan keselamatan dan politik yang belum stabil.

Perkembangan itu berlaku ketika Hamas mengumumkan rundingan bersama pengantara dan wakil Lembaga Keamanan bagi melengkapkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza sudah mencapai “pemahaman luas” mengenai beberapa isu utama.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata perbincangan itu melibatkan isu kemasukan jawatankuasa pentadbiran ke Gaza, penempatan pasukan antarabangsa dan isu senjata Palestin.

“Perbincangan mengenai isu senjata dilakukan melalui kerangka logik yang boleh diterima semua pihak,” katanya.

Beliau menambah, Hamas masih meneruskan pertemuan dengan pengantara dan wakil Lembaga Keamanan termasuk Encik Nickolay Mladenov, bagi memuktamadkan rangka kerja pelaksanaan gencatan senjata.

Menurut Qassem, Hamas menunjukkan “fleksibiliti dan sikap positif” dalam rundingan bagi mencapai persetujuan yang mengutamakan kepentingan rakyat Palestin di Gaza.

Matlamat utama Hamas ujar beliau, ialah menamatkan genosid di Gaza, memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan serta memulakan usaha pembinaan semula wilayah itu.

Pada 14 Jun lalu, Hamas mengumumkan pihaknya sudah menyerahkan maklum balas kumpulan Palestin terhadap pelan hala tuju yang dikemukakan Encik Mladenov.

Bagaimanapun, Hamas terus menegaskan tuntutan supaya Israel berundur sepenuhnya dari Gaza.

Encik Mladenov sebelum ini mengemukakan pelan hala tuju 15 perkara pada 21 Mei lalu bagi melaksanakan rancangan Gaza yang diusul Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Pelan itu menggariskan beberapa mekanisme berkaitan masa depan Gaza termasuk pembinaan semula, pelucutan senjata, pengunduran Israel, peranan pasukan penstabil antarabangsa dan pembinaan semula pasukan polis.

Cadangan tersebut turut menekankan pelaksanaan komitmen yang dipersetujui sejak awal gencatan senjata seperti bantuan kemanusiaan, penghantaran bahan api, pembukaan lintasan sempadan dan penyediaan tempat perlindungan.

Encik Trump sebelum ini mengumumkan pelan 20 perkara pada 29 September 2025 bagi menamatkan perang di Gaza.

Pelan itu termasuk pembebasan tahanan Israel, pelucutan senjata Hamas, pengunduran Israel secara berperingkat, pembentukan pemerintah teknokrat dan penempatan pasukan penstabil antarabangsa.

Fasa pertama pelan itu mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Hamas mendakwa pihaknya sudah memenuhi komitmen di bawah perjanjian tersebut tetapi menuduh Israel melanggar beberapa syarat serta melengahkan peralihan kepada fasa kedua.

Keadaan di Gaza kekal rapuh selepas perang berbulan-bulan menyebabkan kemusnahan besar terhadap rumah, hospital, sekolah dan prasarana asas lain.

Agensi antarabangsa sebelum ini memberi amaran bahawa jutaan penduduk Gaza masih memerlukan bantuan kemanusiaan segera termasuk makanan, air bersih, ubat-ubatan dan tempat perlindungan.

Usaha pembinaan semula Gaza dijangka menjadi antara cabaran terbesar di Asia Barat dengan kos pemulihan dianggarkan mencecah berbilion dolar Amerika. – Agensi berita.

Laporan berkaitan