Jawatankuasa pentadbiran Gaza mula operasi
KAHIRAH: Jawatankuasa teknokratik Palestin yang baru ditubuhkan untuk mentadbir Gaza secara rasmi memulakan tugasnya pada 18 Januari, sejurus selepas mesyuarat sulung di Kahirah.
Ia berikrar untuk mengukuhkan keselamatan serta memulihkan perkhidmatan asas yang terjejas teruk akibat perang selama dua tahun.
Dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), ia ditubuhkan sebagai sebahagian daripada fasa kedua pelan damai Gaza yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengurus kehidupan harian penduduk Gaza sepanjang tempoh peralihan selepas konflik bersenjata Israel yang memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Dalam kenyataan misi yang diterbitkan sebaik pelancarannya, NCAG menegaskan komitmen untuk membina semula Gaza serta menjadikan tempoh peralihan ini sebagai asas kepada “kemakmuran Palestin yang berkekalan”.
Pengerusi Pesuruhjaya NCAG, Encik Ali Shaath, yang juga bekas timbalan menteri Penguasa Palestin (PA), menegaskan komitmen untuk memulihkan keselamatan serta perkhidmatan penting yang menjadi asas maruah manusia, termasuk bekalan elektrik, air, kesihatan dan pendidikan.
“Diberi kuasa oleh Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2803 dan Pelan Damai 20 Perkara Presiden Donald J. Trump, Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza bertujuan menjadikan tempoh peralihan ini sebagai asas kukuh ke arah kemakmuran Palestin dalam jangka panjang,” menurut kenyataan misi tersebut.
Menurut pelan Gaza Trump, badan teknokratik Palestin itu akan diselia oleh sebuah lembaga antarabangsa yang dinamakan Lembaga Keamanan (BoP), berperanan memantau tadbir urus Gaza sepanjang tempoh peralihan.
“Di bawah panduan Lembaga Keamanan yang dipengerusikan oleh Presiden Donald J. Trump, serta dengan sokongan Wakil Tinggi untuk Gaza, misi kami adalah untuk membina semula Gaza bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah semangat rakyatnya,” menurut kenyataan NCAG.
Peranan Wakil Tinggi untuk Gaza akan disandang oleh Encik Nickolay Mladenov, menurut kenyataan Rumah Putih yang dikeluarkan pada 16 Januari.
Encik Mladenov akan bertindak sebagai penghubung di lapangan antara BoP dan NCAG.
Beliau juga akan menyokong fungsi pemantauan lembaga itu terhadap semua aspek tadbir urus, pembinaan semula dan pembangunan Gaza, selain memastikan penyelarasan antara sektor awam dan keselamatan.
Jawatankuasa itu juga dipertanggungjawabkan untuk mengawasi keselamatan awam dan dalaman di Gaza, serta memastikan kestabilan, pemulihan dan pembinaan semula wilayah itu sehingga PA menamatkan program pembaharuan institusinya.
Encik Shaath berkata matlamat utama NCAG adalah untuk membina sebuah masyarakat berasaskan keamanan, demokrasi dan keadilan, di samping membangunkan ekonomi produktif yang menawarkan peluang saksama kepada semua penduduk.
“Kami mahu menggantikan realiti pengangguran meluas dengan ekonomi yang memberi peluang sama rata. Keamanan bukan sekadar pilihan, tetapi satu-satunya jalan untuk merealisasikan hak sebenar rakyat Palestin dan penentuan nasib sendiri,” katanya.
Selepas pelantikan anggota jawatankuasa, para pesuruhjaya dilaporkan terus memulakan perancangan untuk meluaskan bantuan kemanusiaan, memulihkan perkhidmatan awam, membina semula infrastruktur kritikal serta mereformasi institusi keadilan dan keselamatan.
Semua usaha ini, menurut kenyataan itu, akan dilaksanakan berlandaskan prinsip “satu autoriti, satu undang-undang, satu senjata”, yang bertujuan mengukuhkan kedaulatan dan tadbir urus tunggal di Gaza.
NCAG turut menyatakan komitmen untuk meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang, tadbir urus mampan serta pemerintahan sendiri yang berkesan di seluruh Gaza.
Mesyuarat pertama jawatankuasa itu ditutup dengan ikrar untuk berkhidmat kepada penduduk Gaza dan membina institusi yang mampu mengembalikan maruah, keadilan dan harapan kepada rakyat Palestin.
Encik Shaath menegaskan bahawa NCAG mendapat sokongan daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), PA serta pelbagai kumpulan Palestin lain.
Keanggotaan NCAG merangkumi Encik Abdel Karim Ashour sebagai pesuruhjaya pertanian; Encik Omar Shamali bagi komunikasi dan perkhidmatan digital; serta Encik A’ed Abu Ramadan bagi ekonomi, industri dan perdagangan.
Encik Jabr Al-Daour dilantik mengendalikan pendidikan; Encik Bashir Al-Rais bagi kewangan; Encik A’ed Yaghi untuk kesihatan; Encik Sami Nasman bagi keselamatan dalaman; Encik Adnan Abu Warda bagi keadilan, dan Encik Osama Al-Saadawi bagi tanah serta perumahan.
Cik Hanaa Tarzi pula bertanggungjawab terhadap keselamatan sosial, manakala Encik Ali Barhoum mengawasi air, utiliti dan pihak berkuasa tempatan.
Penubuhan BoP dan NCAG berlangsung seiring dengan perancangan untuk menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), yang masih belum diumumkan secara rasmi.
Di bawah Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada November 2025, pasukan itu akan bekerjasama dengan Mesir dan Israel, serta menyelaras tugas dengan pasukan polis Palestin yang telah dilatih dan disaring.
Pasukan pelbagai negara itu akan bertanggungjawab terhadap keselamatan sempadan, proses pelucutan senjata Gaza, serta pemusnahan infrastruktur ketenteraan sedia ada.
Fasa ini menandakan tempoh peralihan yang akan berterusan “sehingga PA berjaya melengkapkan program pembaharuannya secara memuaskan”, menurut resolusi tersebut. – Agensi berita.

