OSLO: Hasrat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk meraih Hadiah Nobel Keamanan pada bulan Oktober berdepan halangan besar apabila Jawatankuasa Nobel Norway menegaskan ia tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau kempen politik.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Encik Trump, 79 tahun, secara terbuka menyatakan bahawa beliau “layak” menerima anugerah berprestij itu. Beliau mendakwa telah “menamatkan enam peperangan,” walaupun konflik di Gaza dan Ukraine masih berlanjutan.
“Sebenarnya, kami perasan memang ada perhatian media terhadap calon tertentu. Tetapi itu langsung tidak mempengaruhi perbincangan dalam jawatankuasa,” kata Setiausaha Jawatankuasa, Encik Kristian Berg Harpviken, kepada AFP di Oslo.
“Jawatankuasa menilai setiap calon berdasarkan merit masing-masing,” tambahnya.
Hadiah Nobel Keamanan tahun ini dijadual diumumkan pada 10 Oktober.
Encik Trump berulang kali menyatakan dirinya patut diberi pengiktirafan. Beliau menegaskan pencalonannya disokong beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev.
Namun, Encik Harpviken menjelaskan, pencalonan untuk 2025 ditutup pada 31 Januari hanya 11 hari selepas Trump kembali ke pejabat presiden. “Untuk dicalonkan bukanlah pencapaian besar. Yang utama ialah menjadi penerima,” katanya.
Menurut peraturan, sesiapa sahaja daripada ahli parlimen, menteri kabinet, bekas pemenang Nobel, hingga profesor universiti di seluruh dunia boleh mengemukakan nama calon. Tahun ini, jawatankuasa menilai 338 calon individu dan organisasi, senarai yang hanya akan didedahkan selepas 50 tahun.
“Kami sangat sedar bahawa setiap tahun ada pelbagai kempen. Namun, proses ini diatur supaya kami tidak dipengaruhi oleh tekanan luaran,” tegas Encik Harpviken.
Media Norway melaporkan Encik Trump membangkitkan isu Nobel dalam perbualan telefon dengan Menteri Kewangan Norway, Encik Jens Stoltenberg, pada Julai lalu. Namun, kementerian hanya mengesahkan perbualan mengenai tarif, tanpa menyebut soal Nobel.
Sejarawan Nobel menegaskan jawatankuasa sentiasa bertindak bebas. Contoh paling jelas ialah apabila mereka memberikan Nobel Keamanan 2010 kepada pembangkang China, Encik Liu Xiaobo, walaupun pemerintah Norway ketika itu bimbang akan reaksi Beijing.
“Jawatankuasa Nobel bertindak sepenuhnya bebas dan tidak boleh mengambil kira pertimbangan politik kerajaan,” kata Encik Harpviken.
Penganalisis di Norway berpendapat peluang Encik Trump sangat tipis. Encik Halvard Leira, Pengarah Penyelidikan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Norway (NUPI), berkata: “Tekanan sebegini selalunya memakan diri. Jika jawatankuasa memberi hadiah kepada Trump sekarang, ia jelas akan dituduh tunduk dan menggadaikan prinsip kebebasannya.”
Malah, tiga ahli sejarah Nobel menulis rencana pendapat pada Ogos lalu yang menyenaraikan sebab-sebab Encik Trump tidak layak, termasuk kekagumannya terhadap Presiden Russia Vladimir Putin, yang terus melancarkan perang di Ukraine. “Mereka (ahli jawatankuasa) pasti sudah hilang akal jika memberikan anugerah itu kepada Trump,” tulis mereka.
Walaupun sebelum ini lantang, Trump cuba meredakan spekulasi ketika ditemu bual CBS News minggu lalu. “Saya tiada apa hendak dikatakan. Yang saya boleh buat hanyalah hentikan peperangan. Saya tidak cari perhatian, saya hanya mahu selamatkan nyawa,” katanya.
Namun, kenyataan itu bercanggah dengan ucapannya sebelum ini, apabila beliau menegaskan: “Mereka tidak akan sekali-kali beri saya Nobel. Saya layak, tapi mereka tidak akan beri.”
Di Pentagon minggu lalu, utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, menyifatkan Trump sebagai “calon Nobel terbaik dalam sejarah kerana kerja-kerja yang mengubah landskap dunia.” Setiausaha akhbar Cik Karoline Leavitt pula menegaskan pada Julai bahawa sudah “terlalu lama” Encik Trump menunggu pengiktirafan itu.
Sejak Nobel Keamanan diperkenalkan, empat presiden Amerika pernah menerimanya, termasuk Encik Barack Obama pada 2009 - lawan politik yang sering diperkecilkan Encik Trump.
Encik Trump pula mendakwa beliau berjaya meredakan ketegangan antara Pakistan dan India, selain terlibat dalam usaha menamatkan konflik antara Israel dan Iran. Namun, penganalisis menyatakan konflik-konflik itu ada yang hanya berlangsung beberapa hari dan belum tentu perjanjian damai yang dicapai mampu bertahan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg