PHNOM PENH: Selepas Pakistan dan Israel, Kemboja kini menjadi negara terbaru yang menyokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk Hadiah Nobel Keamanan.
Pada Khamis, 7 Ogos Perdana Menteri Encik Hun Manet secara rasmi mencalonkan Encik Trump bagi anugerah berprestij itu, memuji “diplomasi berwawasan dan inovatif” beliau yang berjaya menghentikan pertempuran di sempadan Kemboja–Thailand.
Konflik selama lima hari bulan Julai lalu meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa apabila pertikaian wilayah antara kedua-dua negara memuncak menjadi pertempuran rentas sempadan.
Gencatan senjata dicapai minggu lalu selepas panggilan telefon Encik Trump kepada pemimpin kedua-dua negara, di samping usaha pengantaraan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean, dan delegasi perunding China.
Dalam sepucuk surat kepada Jawatankuasa Nobel Norway, Encik Hun Manet menulis bahawa pencalonan itu adalah “pengiktirafan terhadap sumbangan bersejarah Trump dalam memajukan keamanan dunia.”
“Kepimpinan luar biasa Presiden Trump dengan komitmen menyelesaikan konflik dan mencegah peperangan besar melalui diplomasi berwawasan dan inovatif - baru-baru ini dibuktikan melalui peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata segera dan tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand,” tulis Encik Hun Manet.
Menurutnya, campur tangan itu “mengelakkan konflik yang berpotensi membawa kemusnahan besar, menyelamatkan banyak nyawa, dan membuka jalan kepada pemulihan keamanan.”
Jawatankuasa Nobel Norway tidak mendedahkan senarai pencalonan, yang ditetapkan pada 31 Januari setiap tahun, manakala pemenang biasanya diumumkan pada Oktober. Pencalonan boleh dibuat oleh puluhan ribu individu, termasuk ahli parlimen, menteri, profesor universiti tertentu, penerima Nobel terdahulu, dan ahli jawatankuasa sendiri.
Mencalonkan nama Hadiah Nobel sering dilihat sebagai isyarat diplomatik, dan dalam kes Encik Trump, ia turut menjadi peluang pemimpin luar negara mengiktiraf peranannya sebagai perunding keamanan global.
Ketika Encik Trump campur tangan, Kemboja dan Thailand sedang berdepan ancaman tarif tinggi Amerika terhadap eksport masing-masing. Campur tangan itu bukan sahaja membantu meredakan ketegangan ketenteraan, tetapi juga membawa kepada pengurangan tarif kepada 19 peratus, jauh lebih rendah daripada 36 peratus yang pernah diancam.
Encik Hun Manet turut mengumumkan pencalonan itu menerusi hantaran Facebook pada 7 Ogos malam, sambil berkongsi surat kepada Jawatankuasa Nobel yang memuji kejayaan Encik Trump meredakan ketegangan di beberapa rantau bergolak di dunia.
Panggilan telefon Encik Trump pada 26 Julai kepada pemimpin Kemboja dan Thailand dilaporkan menjadi pemecah kebuntuan dalam usaha menamatkan pertempuran terburuk antara jiran itu dalam sejarah terkini. Dua hari kemudian, pada 28 Julai, gencatan senjata dimeterai di Malaysia.
Pada 7 Ogos, kedua-dua negara bersetuju memastikan tiada pertempuran semula dan membenarkan pemerhati dari Asia Tenggara memantau keadaan.
Pertempuran bermula dengan tembakan senjata ringan sebelum meningkat kepada serangan artileri berat dan roket, diikuti penggunaan jet pejuang F-16 Thailand untuk serangan udara.
Akibatnya, 43 orang terkorban dan lebih 300,000 penduduk dipindahkan.
Pencalonan ini sudah dijangka selepas Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Encik Sun Chanthol, pada 1 Ogos lalu mengumumkan rancangan tersebut sambil berterima kasih kepada Encik Trump kerana mengurangkan tarif Amerika ke atas import Kemboja daripada 49 peratus yang diancam sebelum ini kepada 19 peratus langkah yang dilihat menyelamatkan sektor pembuatan pakaian negara itu.
Pada Jun lalu, Pakistan mengumumkan ia akan mencalonkan Encik Trump atas peranannya membantu meredakan konflik dengan India. Namun, India menafikan campur tangan pihak luar dalam persetujuan gencatan senjata dengan Pakistan selepas ketegangan pasca Operasi Sindoor.
Julai lalu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu pula secara rasmi mencalonkan Encik Trump ketika lawatannya ke Washington DC, menyerahkan surat sokongan kepada presiden Amerika itu sebagai tanda pengiktirafan.
Dengan pencalonan rasmi Kemboja, Encik Trump kini menerima sokongan terbuka daripada tiga negara Pakistan, Israel, dan Kemboja dalam usahanya untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg