GAZA: Lembaga Keamanan akan mengadakan mesyuarat khas di Cyprus minggu depan bagi menyusun semula strategi pengurusan Gaza pascaperang selepas enam bulan pertama pelaksanaannya berdepan pelbagai hambatan.

Wakil daripada pelbagai badan di bawah Lembaga Keamanan dijadual berhimpun di sebuah pusat peranginan di Cyprus bagi membincangkan hala tuju baharu usaha pentadbiran Gaza, termasuk peranan Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), iaitu kumpulan teknokrat Palestin yang dirancang menggantikan Hamas dalam mentadbir wilayah itu.

Turut menyertai pertemuan itu ialah pejabat Wakil Tinggi yang bertanggungjawab menyelaras hubungan antara Lembaga Keamanan dan NCAG.

Seorang diplomat Arab dari negara pengantara berkata pertemuan itu penting untuk “menetapkan semula hala tuju dan menyelaraskan semula pendekatan” selepas usaha sejak Januari lalu gagal membawa perubahan besar kepada rakyat Gaza.

“Banyak pelan telah diumumkan, tetapi realiti di Gaza masih amat sukar. Semua pihak perlu kembali berada pada landasan yang sama,” katanya.

Seorang pegawai Palestin yang arif mengenai perbincangan itu pula berkata tumpuan antarabangsa terhadap perang Iran baru-baru ini telah memperlahankan momentum inisiatif tersebut.

Menurutnya, rundingan mengenai pelucutan senjata Hamas masih menemui jalan buntu apabila Hamas menegaskan Israel perlu terlebih dahulu mematuhi syarat gencatan senjata Oktober lalu.

Antara syarat itu termasuk menghentikan serangan jauh ke dalam Gaza, mengundurkan tentera ke kawasan sempadan dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan.

Kebuntuan itu menyebabkan keadaan kemanusiaan di Gaza terus meruncing. Hampir separuh daripada lebih dua juta penduduk Gaza kini masih tinggal di khemah sementara selepas hampir tiga tahun konflik yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Israel pula dilaporkan enggan membenarkan kemasukan sebahagian struktur penempatan sementara selagi Hamas belum melucutkan senjata.

Walaupun persidangan penderma di Washington pada Februari lalu berjaya memperoleh ikrar bantuan bernilai AS$17 bilion ($21.8 bilion), hanya sebahagian kecil dana itu telah disalurkan.

Menurut diplomat Arab, beberapa negara Teluk yang menjanjikan sumbangan terbesar kini memberi keutamaan kepada keperluan keselamatan dan ekonomi domestik susulan ketegangan dengan Iran.

Dalam pada itu, NCAG yang terdiri daripada 15 anggota teknokrat Palestin masih belum memasuki Gaza sejak ditubuhkan Januari lalu.

Dua diplomat Arab dari negara pengantara berasingan berkata perkara itu berpunca daripada keengganan Hamas melucutkan senjata selain sekatan operasi yang semakin ketat dikenakan Israel.

Sejak enam bulan lalu, panel itu hanya beroperasi dari Kaherah bagi menyediakan pelan pentadbiran Gaza, mengadakan pertemuan dengan diplomat asing serta menjalani latihan yang dikendalikan Institut Tony Blair bagi Perubahan Global.

Bagaimanapun, rancangan mengadakan mesyuarat di sebuah pusat peranginan Cyprus turut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan beberapa anggota Palestin.

“Mengadakan pertemuan di pusat peranginan ketika rakyat Gaza masih menderita boleh menimbulkan persepsi negatif,” kata seorang pegawai Palestin.

Susulan itu, senarai jemputan bagi mesyuarat berkenaan dikurangkan.

Namun, seorang pegawai Lembaga Keamanan menolak tanggapan bahawa mesyuarat itu luar biasa atau menunjukkan krisis besar dalam organisasi tersebut.

Menurutnya, beberapa pertemuan serupa pernah diadakan tahun 2026 ini termasuk di Brussels dan Kaherah.

Beliau mengakui perang Iran telah memperlahankan beberapa proses, tetapi menegaskan inisiatif itu masih bergerak mengikut perancangan.

“Hamas kini mula menunjukkan sedikit kelonggaran dalam rundingan pelucutan senjata, walaupun proses itu masih sukar,” katanya.

Menurut sumber diplomatik, Hamas kini mencadangkan penyerahan senjata secara berperingkat, namun syarat itu bergantung kepada kemajuan ke arah penubuhan negara Palestin - sesuatu yang ditolak Israel.

Diplomat dari Qatar, Mesir dan Turkey pula dilaporkan tidak yakin rundingan akan mencapai kemajuan besar sebelum pilihan raya Israel pada musim luruh nanti.

Mereka mendakwa pemerintah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, terus meletakkan syarat tambahan menjelang pilihan raya.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Keamanan memaklumkan projek pembinaan penempatan sementara di Gaza tetap akan diteruskan walaupun rundingan pelucutan senjata belum selesai.

Projek pertama dijangka bermula di Rafah di selatan Gaza menerusi pembiayaan Amiriah Arab Bersatu dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Namun, seorang pegawai risikan Asia Barat berkata Israel dijangka tidak akan membenarkan kemasukan struktur penempatan sementara sebelum pilihan raya negara itu selesai.

Beliau berkata Encik Netanyahu mahu mengekalkan pendirian tegar terhadap Hamas bagi mengukuhkan sokongan politik domestik.

Walaupun begitu, pegawai Lembaga Keamanan tetap menegaskan Israel memberi kerjasama dalam aspek pembinaan semula Gaza.

“Kita perlu faham proses pembinaan semula selepas perang besar memang mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata Lembaga Keamanan sudah mengeluarkan lebih sedozen dokumen permintaan cadangan projek (RFP) bagi kerja membersihkan runtuhan, memusnahkan terowong Hamas, menghapuskan bahan letupan tidak meletup serta membina hospital, sekolah dan penempatan sementara.

Selain itu, proses pengambilan anggota polis Palestin juga sudah dimulakan dengan ribuan permohonan diterima.

Namun, menurut pegawai risikan Asia Barat itu, Israel enggan membenarkan rekrut keluar menjalani latihan selagi Hamas belum menerima pelan pelucutan senjata yang disokong Amerika Syarikat.

Empat negara juga dilaporkan bersetuju menyumbang tentera kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), tetapi penempatannya turut tertangguh dan dijangka hanya berlaku selepas pilihan raya Israel.

Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ditubuhkan secara rasmi Januari lalu selepas Majlis Keselamatan PBB meluluskan pelan 20 perkara bagi mengakhiri perang Gaza.

Badan antarabangsa itu kini dianggotai 28 negara pengasas dan diberi mandat mengurus Gaza sehingga 2027, termasuk menggantikan Hamas dan tentera Israel dengan pentadbiran Palestin serta pasukan keselamatan antarabangsa. - Agensi berita