WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, buat pertama kalinya memberikan sokongan paling jelas terhadap Naib Presidennya, JD Vance, sebagai calon yang paling berkemungkinan menggantikannya sebagai pemimpin gerakan “Make America Great Again” (MAGA) dalam pilihan raya 2028.
Kenyataan itu dibuat semasa satu acara di Auditorium South Court, Rumah Putih pada Selasa, apabila Trump ditanya sama ada beliau melihat Vance sebagai pewaris kepada gerakan MAGA.
“Saya rasa kemungkinan besar, secara adilnya. Beliau ialah naib presiden,” kata Encik Trump. “Masih terlalu awal untuk dibincangkan, tetapi beliau sedang melakukan tugas yang sangat baik dan kemungkinan besar akan menjadi calon pilihan pada ketika ini.”
Encik Trump turut mengusulkan idea kerjasama antara Encik Vance dan Setiausaha Negara Encik Marco Rubio dalam membentuk gandingan kuat bagi tiket Republikan.
“Saya fikir Marco juga seseorang yang mungkin akan bergandingan dengan JD dalam satu bentuk tertentu,” katanya lagi.
Kenyataan ini menandakan perubahan pendirian Encik Trump berbanding beberapa bulan lalu. Pada Februari lalu, dalam satu temu bual bersama Fox News, Encik Trump menyatakan bahawa walaupun Encik Vance “sangat berkemampuan”, terlalu awal untuk menentukan siapa yang layak menggantikannya.
Pada Mei, Trump menyebut kedua-dua nama Encik Vance dan Encik Rubio sebagai tokoh berpotensi untuk meneruskan legasi MAGA.
Spekulasi mengenai siapa yang akan menggantikan Encik Trump mula timbul sejak beliau mencetuskan kemungkinan mencabar had dua penggal yang ditetapkan oleh Perlembagaan Amerika. Namun begitu, dalam satu wawancara bersama CNBC Squawk Box pada hari sama, Encik Trump berkata beliau “mungkin tidak” akan bertanding untuk penggal ketiga.
“Saya mahu,” katanya secara berseloroh. “Saya mahu bertanding. Saya ada angka sokongan terbaik pernah saya peroleh.”
Walaupun Perlembagaan Amerika Syarikat melarang presiden daripada bertanding melebihi dua penggal, baju-T bertulis “Trump 2028” dan “Rewrite the rules” masih dijual di laman rasmi kempen beliau.
Encik Vance, bekas anggota marin dan peguam, kini memainkan peranan penting dalam pentadbiran Encik Trump sebagai jurucakap dasar domestik dan utusan diplomatik utama. Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya 2028, namun menegaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat selepas berunding dengan Encik Trump.
Sementara itu, Encik Rubio, bekas senator dari Florida, turut meningkat naik dalam pentadbiran. Beliau mencipta sejarah apabila menjadi pegawai pertama sejak era Henry Kissinger yang memegang dua jawatan utama secara serentak Penasihat Keselamatan Negara dan Setiausaha Negara.
Jika Trump benar-benar mengundur selepas penggal keduanya, seperti yang ditetapkan undang-undang, maka kenyataan terbarunya menandakan Encik Vance sebagai calon utama untuk mengambil alih kepimpinan Republikan dan gerakan MAGA.
“Buat masa ini, JD Vance adalah pilihan paling kuat,” ujar Trump, sambil mengakhiri dengan pujian bahawa pentadbirannya telah menunjukkan “gabungan hebat antara pengalaman dan semangat muda.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg