WASHINGTON: Isteri kepada Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Usha Vance, sepatutnya menghadiri perlumbaan tradisional anjing peluncur di Greenland minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik lembut Amerika.
Namun, lawatan berprofil tinggi itu terpaksa dibatalkan ekoran tekanan politik yang semakin memuncak berhubung hasrat Presiden Donald Trump untuk “memiliki” Greenland.
Sebaliknya, Cik Usha kini mengiringi suaminya, Encik JD Vance, ke Pangkalan Angkasa Pituffik — pangkalan Amerika yang terletak jauh di kawasan Artik pada 28 Mac.
Lawatan mereka turut digugurkan daripada sebarang program kebudayaan mahupun interaksi awam, termasuk penyertaan dalam acara lumba anjing salji yang telah dipromosikan sebelum ini.
Cik Usha, seorang bekas peguam dan pendatang keturunan India, mula mendapat perhatian media selepas mengetuai delegasi Amerika ke Sukan Olimpik Khas Musim Sejuk di Turin awal bulan Mac ini. Lawatan ke Greenland sepatutnya menjadi momen penting pertamanya sebagai “Wanita Kedua Negara” tetapi situasi menjadi tegang apabila kenyataannya dilihat sebagai menyokong retorik Presiden Trump yang mahu Greenland dikuasai Amerika atas faktor keselamatan negara.
“Saya amat teruja untuk menyertai perlumbaan anjing peluncur anda. Saya dan anak-anak sudah membaca banyak tentangnya,” kata Cik Usha dalam satu video rasmi yang dikeluarkan minggu lalu, menyuarakan kekaguman terhadap budaya tempatan dan “sejarah hubungan yang dihormati antara Greenland dan Amerika Syarikat”.
Namun, nada lunak itu gagal menutup maksud politik yang tersirat. Reaksi dari pemerintah Greenland dan Denmark sangat tegas — mereka menganggap lawatan tersebut sebagai “tekanan tidak boleh diterima”.
Perdana Menteri Greenland, Enck Mute Egede, dalam satu wawancara menyatakan:
“Kita kini berada di tahap di mana lawatan isteri seorang pemimpin tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak berbahaya.”
Presiden Trump sebelum ini berulang kali menyuarakan keinginannya untuk mengambil alih Greenland, wilayah autonomi milik Denmark yang kaya dengan sumber asli. Beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan kuasa untuk tujuan tersebut. Greenland merupakan lokasi strategik penting di Artik, bukan sahaja dari aspek perlombongan dan pelayaran, tetapi juga pertahanan.
Russia turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan di Artik. Presiden Vladimir Putin berkata, “Persaingan geopolitik di Artik semakin sengit, dan negara-negara NATO menjadikannya sebagai pangkalan operasi ketenteraan, termasuk mengundang anggota baharu seperti Finland dan Sweden.”
Tambah beliau, “Russia akan mempertahankan kedaulatan wilayahnya dan akan memperkukuh keupayaan ketenteraan kami di Artik.”
Menurut Encik Putin, walaupun Russia terbuka untuk kerjasama dalam projek ekonomi, isu Greenland adalah urusan antara AS dan Denmark, namun kesan geopolitiknya tetap diawasi.
Lawatan Cik Usha ke Sisimut dijangka mencetuskan protes, susulan demonstrasi di luar konsulat AS di Nuuk pada 15 Mac lalu. Untuk mengurangkan ketegangan, Rumah Putih memutuskan untuk mengehadkan lawatan pasangan Vance hanya kepada pangkalan ketenteraan AS di Artik.
JD Vance cuba meredakan situasi dalam satu video dengan berkata:
“Saya rasa saya tak mahu isteri saya berseronok seorang diri di sana, jadi saya akan ikut sekali.”
Namun, pengumuman rasmi Rumah Putih tidak menyebut langsung acara awam mahupun budaya — satu langkah yang disifatkan sebagai “pengurangan ketegangan” oleh pihak Denmark dan Greenland.
Walaupun lawatan ini dibayangi kontroversi, ramai percaya bahawa Cik Usha akan terus memainkan peranan penting dalam pentadbiran Trump, terutama ketika Wanita Pertama Melania Trump hampir tidak muncul di khalayak.
Encik Vance pula dilihat sebagai bintang politik yang sedang meningkat, tetapi gaya komunikasinya yang keras menjadikan Cik Usha sebagai penyeimbang imej beliau.
“Usha buat saya kembali berpijak di bumi nyata,” kata Encik Vance dalam satu temubual terdahulu.
Kini, dunia sedang menanti sama ada pentadbiran Trump akan benar-benar meneruskan hasrat “memiliki” Greenland atau sekadar menggunakan isu ini sebagai tekanan strategik di Artik.
“Kami tidak mahu jadi alat percaturan dalam persaingan kuasa besar,” kata seorang ahli politik muda Greenland yang menyertai protes di Nuuk.
“Kami mahu dihormati sebagai tanah air kami sendiri — bukan trofi geopolitik untuk dijadikan rebutan.’‘ - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg