PARIS: Usaha menjejak sekumpulan pencuri yang melarikan lapan barang perhiasan diraja yang sangat bernilai dari Muzium Louvre di Paris pada siang hari sedang berlangsung.
Menurut pihak berkuasa, sebuah pasukan yang terdiri daripada 60 penyiasat sedang menyiasat kemungkinan serangan tersebut dirancang dan dilaksanakan oleh kumpulan jenayah terancang.
Di Perancis, kejadian itu mencetuskan semula perbalahan mengenai kekurangan keselamatan di muzium-muzium negara, yang diakui oleh Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nunez pada 19 September.
Pencuri dikatakan tiba antara 9.30 pagi dengan 9.40 pagi (3.30 petang dengan 3.40 petang waktu Singapura) pada 20 Oktober, tidak lama selepas muzium dibuka kepada orang ramai pada 9 pagi.
Mereka menggunakan pengangkat perabot untuk memasuki Galeri Apollo, yang menempatkan koleksi diraja, dan alat pemotong untuk masuk melalui tingkap dan membuka kotak paparan.
Satu rakaman ringkas tentang kejadian itu, dipercayai dibuat seorang pengunjung muzium menggunakan telefon, telah disiarkan di saluran berita Perancis.
Pencuri yang bertopeng itu mencuri sembilan barang perhiasan abad ke-19, satu daripadanya – mahkota Empress Eugenie – terjatuh dan rosak semasa kumpulan pencuri itu melarikan diri.
Lapan barangan perhiasan yang “tidak ternilai” telah dicuri, kata kementerian kebudayaan pada 19 Oktober.
Senarai yang dikeluarkan mereka termasuk rantai zamrud-dan-berlian yang diberikan mendiang Napoleon kepada isterinya, Empress Marie Louise.
Juga dicuri adalah diadem yang pernah dimiliki oleh Empress Eugenie, yang mempunyai hampir 2,000 berlian; dan rantai yang pernah dimiliki oleh Marie-Amelie, ratu terakhir Perancis.
Ia mempunyai lapan nilam dan 631 berlian, menurut laman web Louvre.
Tempoh kecurian itu hanya mengambil masa tujuh minit dan dipercayai dilaksanakan oleh pasukan yang berpengalaman, mungkin “orang asing”, kata Encik Nunez.
Campur tangan kakitangan muzium memaksa pencuri melarikan diri dan meninggalkan peralatan yang digunakan, kata kementerian kebudayaan.
Hasil curian itu mustahil untuk dijual dalam keadaan sekarang, kata presiden pelelong utama Drouot Patrimoine, Encik Alexandre Giquello. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg