Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Topeng emas Firaun Tutankhamun dipindah ke muzium baru di Mesir

Jun 18, 2025 | 11:53 AM
Mesir, Firaun Tutankhamun, topeng emas, muzium
Keranda kayu bersadur emas milik Firaun Tutankhamun di Muzium Mesir. - Foto AFP

KAHIRAH: Selepas hampir satu abad dipamerkan di Muzium Mesir, Kahirah, topeng emas ikonik Firaun Tutankhamun dan khazanah lain bakal dipindahkan ke Muzium Besar Mesir (GEM) yang terletak berhampiran Piramid Giza.

Orang ramai hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk menyaksikan topeng pengebumian emas Raja Muda itu sebelum ia menyertai lebih 5,000 artifak lain dari makamnya di muzium baru bernilai AS$1 bilion ($1.29 bilion) itu, yang dijadual dibuka pada 3 Julai.

“Cuma 26 objek daripada koleksi Tutankhamun masih kekal di Tahrir, termasuk topeng emas dan dua keranda,” kata Pengarah Muzium, Encik Ali Abdel Halim.

“Kesemua artifak itu akan dipindahkan tidak lama lagi,” katanya kepada AFP tanpa memberikan tarikh tepat pemindahan.

Kerajaan Mesir juga belum mengumumkan secara rasmi bila dan bagaimana artifak terakhir itu akan dipindahkan.

Antara khazanah yang masih dipamerkan termasuk keranda emas paling dalam, keranda bersadur emas, belati emas, kotak solekan, keranda mini, mahkota diraja dan pektoral (hiasan dada).

Khazanah Tutankhamun, yang didaftarkan di Muzium Mesir di Dataran Tahrir sejak 1934, sudah lama menjadi tarikan utama muzium itu.

Namun, bangunan neoklasik itu – dengan kotak pameran pudar, tiada kawalan suhu dan infrastruktur usang – kini tampak jauh berbeza berbanding GEM yang moden dan berteknologi tinggi.

Apabila dibuka kelak, GEM dipercayai akan menjadi muzium terbesar di dunia yang didedikasikan kepada satu tamadun, menempatkan lebih 100,000 artifak – lebih separuh daripadanya dipamerkan kepada umum.

Dalam satu sayap khas, kebanyakan khazanah Raja Tutankhamun akan dipamerkan bersama buat pertama kali dalam sejarah sejak makamnya yang utuh ditemui ahli arkeologi British, Howard Carter pada 1922.

Mumianya bagaimanapun akan kekal di tempat persemadian asal di Lembah Raja-Raja, Luxor, kerana ia dianggap sebagai “komponen penting tapak arkeologi,” menurut pegawai Mesir.

Sebuah replika maya akan dipamerkan di GEM menggunakan teknologi realiti maya.

Pada 2021, Muzium Mesir di Tahrir juga kehilangan beberapa artifak utama lain apabila 22 mumia diraja, termasuk Ramses II dan Ratu Hatshepsut, dipindahkan ke Muzium Tamadun Mesir di Kahirah Lama dalam perarakan negara yang disaksikan seluruh dunia.

Namun begitu, muzium itu masih menyimpan kira-kira 170,000 artifak termasuk khazanah milik Yuya dan Thuya – nenek moyang Tutankhamun – serta barangan dari Tanis purba seperti topeng pengebumian emas Raja Amenemope.

Setakat ini, sebanyak 32,000 artifak sudah dipindahkan dari stor dan dewan pameran di Tahrir ke GEM.

Menurut pengarah muzium, ruang yang ditinggalkan oleh koleksi Tutankhamun kelak akan digantikan dengan pameran baru yang setara dari segi kepentingan sejarah. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg