SEOUL: Pesawat Jeju Air penerbangan 2216 yang terlibat dalam nahas maut dilaporkan hanya menjalani penyelenggaraan minimum selama 28 minit sebelum berlepas, selaras dengan masa minimum yang ditetapkan pemerintah Korea Selatan untuk pesawat B737.
Tempoh penyelenggaraan yang ketat itu mencetuskan persoalan sama ada keutamaan diberikan kepada kecekapan operasi berbanding keselamatan, lapor Korea Times.
Menurut laporan, pesawat itu mengendalikan jadual padat sehari sebelum nahas, termasuk lapan penerbangan antara Muan, Kota Kinabalu, Nagasaki, Taipei, dengan Bangkok tanpa masa henti yang mencukupi.
Pesawat Jeju Air Co yang terlibat dalam nahas maut yang meragut 179 nyawa didapati mengendalikan 13 penerbangan dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian.
Agensi Berita Yonhap yang memetik sumber industri pada 30 Disember, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penggunaan pesawat secara berlebihan dalam tempoh yang singkat.
Boeing B737-800, yang dipercayai mengalami kerosakan gear pendaratan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 29 Disember, didapati melakukan perjalanan antara Muan, Pulau Jeju dengan Incheon, barat Seoul, dalam tempoh 48 jam sebelum itu.
Teknisyen berpengalaman mengendali pesawat B737 berkata:
“Tempoh 28 minit hanya mencukupi untuk memeriksa lampu amaran di kokpit dan memeriksa bahagian luaran secara visual. Ini lebih kepada pemeriksaan pantas, bukan penyelenggaraan terperinci.”
Pesawat yang terlibat dalam nahas itu dibeli oleh Jeju Air pada 2017 selepas digunakan oleh Ryanair, syarikat penerbangan tambang rendah terkenal di Eropah.
Ryanair diketahui mengamalkan jadual penerbangan yang sangat ketat, yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pesawat itu telah digunakan secara berlebihan sebelum diserahkan kepada Jeju Air.
“Ryanair terkenal dengan tempoh pusingan cepat mereka. Pesawat ini mungkin telah mencapai had operasinya sebelum Jeju Air memperolehnya,” kata seorang pengamat industri.
Menurut data syarikat, purata penggunaan pesawat bulanan Jeju Air mencatatkan 418 jam pada Julai hingga September, tertinggi dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah domestik.
Sebagai perbandingan, Korean Air dan Asiana Airlines, yang merupakan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, mencatatkan purata 335 dengan 355 jam.
Pakar penyelenggaraan dan pengamat industri menyuarakan kebimbangan terhadap piawaian penyelenggaraan minimum pemerintah.
Mantan ketua penyelenggaraan sebuah syarikat penerbangan utama berkata:
“Pemeriksaan selama 28 minit hanyalah seperti meletakkan plaster pada luka. Ia tidak mencukupi untuk mengesan masalah tersembunyi. Pendekatan industri terhadap keselamatan seharusnya lebih proaktif.”
Jeju Air, yang terkenal dengan kadar operasi pesawat yang tinggi, dilaporkan bergantung pada jadual padat untuk memaksimumkan keuntungan, terutama dalam tempoh musim puncak seperti akhir tahun.
“Di lapangan terbang serantau, penerbangan sewa menjadi nadi utama operasi dan kebanyakannya dikendalikan oleh syarikat tambang rendah.
Ini memberi tekanan tambahan kepada pesawat dan kru,” kata seorang pegawai industri pelancongan.
Tragedi ini menghidupkan kembali perbahasan sama ada piawaian penyelenggaraan minimum pemerintah mencukupi bagi memastikan keselamatan.
Pengkritik berpendapat bahawa tempoh minimum itu tidak memberi ruang untuk mengenal pasti masalah berpotensi yang boleh membawa kepada tragedi.
Kejadian itu memberi amaran keras kepada industri penerbangan tambang rendah untuk memberi keutamaan kepada keselamatan penumpang di sebalik keperluan operasi.
“Keselamatan tidak boleh dikompromi demi keuntungan,” ujar seorang pakar penerbangan.
Dengan nahas ini, desakan untuk semakan semula dasar penyelenggaraan minimum semakin meningkat, menuntut perubahan mendalam dalam pendekatan terhadap keselamatan penerbangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg