SEOUL: Tragedi udara berlaku di Korea Selatan apabila sebuah pesawat jenis Boeing 737-800 terbakar selepas merempuh penghalang di hujung landasan, mengorbankan 179 daripada 181 penumpang telah mencetuskan persoalan besar mengenai punca kemalangan.
Rakaman kejadian video menunjukkan pesawat Jeju Air meluncur laju di landasan sebelum ia gagal berhenti dan akhirnya terbakar.
Para pakar penerbangan menyatakan bahawa banyak soalan perlu dijawab, termasuk mengapa roda pendaratan tidak dikeluarkan dan sama ada terdapat kerosakan sistem pada pesawat tersebut.
Pakar keselamatan penerbangan dan profesor di Universiti Negeri Ohio, Dr Shawn Prunchnicki, menyifatkan mkejadian itu masih menjadi misteri.
Beliau menekankan bahawa siasatan menyeluruh akan mengambil masa beberapa bulan untuk menentukan punca sebenar.
“Siasatan akan melibatkan pelbagai aspek, termasuk apakah yang dilakukan oleh juruterbang, keadaan cuaca serta penyelenggaraan pesawat,” katanya.
Pakar lain turut memberi amaran supaya tidak membuat kesimpulan awal kerana maklumat awal sering kali tidak tepat.
Bekas penyiasat nahas untuk Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat, Encik Jeff Guzzetti, menyatakan bahawa kemalangan udara biasanya berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.
Pegawai Korea Selatan mengesahkan bahawa kedua-dua kotak hitam pesawat iaitu perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit, telah ditemui.
Data itu dijangka memberikan maklumat penting mengenai tindakan juruterbang sebelum nahas berlaku serta sebarang masalah sistem.
“Apabila roda pendaratan tidak dikeluarkan, juruterbang seharusnya menerima amaran,” ujar pengasas firma keselamatan penerbangan Safety Operating Systems, Encik John Cox.
Beliau turut menyatakan bahawa sistem sokongan manual pada pesawat itu membolehkan roda pendaratan dilepaskan secara manual, namun keadaan kecemasan lain mungkin mengalihkan perhatian juruterbang.
Rakaman kejadian turut menunjukkan hanya satu enjin menggunakan penolak undur, yang sepatutnya berfungsi serentak.
Flap dan slat pada sayap pesawat, yang biasanya digunakan untuk memperlahankan pesawat semasa mendarat, juga tidak kelihatan digunakan.
Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan pesawat tersebut bertembung dengan burung besar, yang boleh merosakkan enjin.
Walaupun kejadian seperti itu jarang menyebabkan kemalangan besar, ia boleh menjadi faktor penyumbang.
Perunding penerbangan, Encik Philip Butterworth-Hayes, berkata:
“Ia mungkin melibatkan siri peristiwa malang yang membawa kepada kehilangan nyawa yang tinggi. Sistem perlindungan dalam pesawat biasanya sangat kukuh.”
Selain itu, penyelenggaraan pesawat juga menjadi tumpuan siasatan.
Pesawat berusia 15 tahun itu sepatutnya menjalani pemeriksaan berkala, termasuk pemeriksaan intensif, bagi memastikan keselamatannya.
Para pakar menegaskan bahawa reka bentuk Boeing 737-800, yang terkenal dengan rekod keselamatan cemerlang, mungkin bukan faktor utama.
Pesawat itu telah beroperasi selama lebih 25 tahun dan merupakan pilihan popular syarikat penerbangan kerana kecekapan dan kemampuan membawa ramai penumpang.
“Reka bentuk pesawat ini tidak diragui, tetapi gabungan faktor seperti penyelenggaraan, keadaan cuaca dan tindakan juruterbang perlu dianalisis secara mendalam,” kata Encik Guzzetti. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg