Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebuah lagi pesawat Jeju Air alami masalah gear pendaratan

Dec 30, 2024 | 1:48 PM
Biarawati memberikan penghormatan bersama untuk mangsa tragedi nahas pesawat Jeju Air yang diadakan di Pusat Sukan Muan, Korea Selatan, pada 30 Disember.
Biarawati memberikan penghormatan bersama untuk mangsa tragedi nahas pesawat Jeju Air yang diadakan di Pusat Sukan Muan, Korea Selatan, pada 30 Disember. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Sebuah pesawat milik Jeju Air mengalami masalah gear pendaratan pada 30 Disember sebelum berjaya kembali mendarat dengan selamat di Seoul.

Insiden itu merupakan kejadian kedua melibatkan masalah yang sama dalam tempoh dua hari, sehari selepas tragedi nahas udara terburuk di Korea Selatan yang meragut 179 nyawa.

Menurut jurucakap Jeju Air, isyarat amaran mengenai kerosakan pada gear pendaratan dikesan sejurus selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo pada 6.37 pagi waktu tempatan.

“Juruterbang berjaya mengaktifkan gear pendaratan semula selepas berkomunikasi dengan pusat penyelenggaraan kami, namun keputusan diambil untuk kembali ke lapangan terbang bagi pemeriksaan lanjut,” kata jurucakap tersebut dalam satu sidang media.

Menurut data penjejakan penerbangan Flightradar24, pesawat yang membawa 161 penumpang itu, selamat mendarat pada 7.20 pagi,

Para penumpang kemudian dipindahkan ke penerbangan alternatif untuk meneruskan perjalanan mereka ke Pulau Jeju.

Walaupun jurucakap Jeju Air tidak mengesahkan model pesawat yang terlibat, laporan awal daripada agensi berita Yonhap menyatakan bahawa pesawat itu adalah Boeing 737-800, model yang sama dengan pesawat yang terhempas sehari sebelumnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, sekitar 290 kilometer di barat daya Seoul.

Dalam kejadian tersebut, pesawat dilaporkan mengalami kegagalan gear pendaratan, menyebabkan ia mendarat tanpa roda, tergelincir dari landasan lalu merempuh dinding luar landasan sebelum terbakar.

Tragedi itu mengorbankan hampir semua penumpang dan anak kapal.

Industri penerbangan Korea Selatan secara keseluruhannya mempunyai rekod keselamatan yang kukuh.

Insiden itu adalah kemalangan maut pertama melibatkan Jeju Air sejak penubuhannya pada 25 Januari 2005.

Tragedi nahas udara yang terburuk di Korea Selatan sebelum ini berlaku pada 15 April 2002, apabila sebuah pesawat Air China Boeing 767 dari Beijing terhempas di sebuah bukit berhampiran Busan, mengorbankan 129 orang.

Kejadian maut terbaru melibatkan syarikat penerbangan Korea berlaku di San Francisco, Amerika Syarikat, pada 6 Julai 2013, apabila pesawat Asiana Airlines Boeing 777 gagal mendarat dengan sempurna, menyebabkan tiga kematian dan 182 cedera.

Pihak berkuasa Korea Selatan kini melancarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian yang berlaku pada 29 dan 30 Disember.

Mereka akan menumpukan perhatian kepada penyelenggaraan pesawat, keadaan cuaca dan tindakan anak kapal dalam kedua-dua kejadian.

“Kami sedang mengumpulkan semua maklumat termasuk data kotak hitam dan laporan penyelenggaraan untuk menentukan punca sebenar kejadian ini,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Encik Joo Jong-wan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg