MAKKAH: Lebih 1.6 juta jemaah haji meneruskan ibadah melontar jamrah di Mina pada 27 Mei dalam suasana cuaca panas terik serta ketegangan geopolitik yang masih menyelubungi Asia Barat ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha.

Sejak sebelum subuh, jutaan jemaah mula bergerak ke kawasan Jamrah di Mina, berhampiran kota suci Makkah, untuk melontar tujuh batu kecil ke arah tiga dinding konkrit yang melambangkan syaitan.

Ritual itu memperingati kisah Nabi Ibrahim as yang melontar syaitan di tiga lokasi selepas digoda agar tidak mematuhi perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as.

Jemaah yang kebanyakannya berpakaian ihram putih terpaksa berdepan suhu padang pasir yang mencecah 44 darjah Celsius ketika melaksanakan ibadah luar yang berlangsung selama beberapa hari.

Cuaca panas ekstrem terus menjadi cabaran utama musim haji tahun ini selepas lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia pada musim haji 2024 apabila suhu melebihi 50 darjah Celsius.

Susulan tragedi itu, pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan pelbagai langkah pencegahan haba termasuk memasang kipas gergasi, penyembur kabus air, lantai penyejuk dan trak pengagihan air minuman di kawasan tumpuan jemaah.

Walaupun berdepan keadaan fizikal yang mencabar, ramai jemaah melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

“Saya tidak percaya saya sudah menyelesaikan ibadah haji,” kata jemaah dari Iraq, Encik Adnan Hamad, 58 tahun, kepada AFP sambil ditemani anak-anak perempuannya yang memakai abaya putih.

Sebelum melontar jamrah, para jemaah terlebih dahulu berwukuf di Padang Arafah pada 26 Mei, lokasi di mana Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhir baginda.

Jemaah kemudian bermalam di Muzdalifah di bawah langit terbuka sambil mengutip batu kecil untuk digunakan dalam ibadah melontar.

Selepas selesai melontar di Jamratul Aqabah, jemaah kembali ke Masjidil Haram untuk menunaikan Tawaf Ifadah mengelilingi Kaabah.

Jemaah meneruskan baki ibadah di Mina sepanjang Hari Tasyrik dengan melontar di ketiga-tiga jamrah sebelum mengakhiri ibadah haji menerusi Tawaf Wida atau tawaf selamat tinggal.

Agensi berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Masjidil Haram menyaksikan kebanjiran besar jemaah yang melaksanakan tawaf di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa.

Menurut SPA, urusan jemaah dipermudahkan menerusi sistem menyeluruh yang melibatkan aspek keselamatan, kesihatan dan pengurusan pergerakan.

Sektor berkaitan turut menggerakkan tenaga kerja dan teknologi bagi memastikan kelancaran ibadah serta keselamatan jemaah sepanjang musim haji.

Musim haji tahun 2026 ini berlangsung ketika Asia Barat masih dibayangi konflik perang melibatkan Amerika Syarikat, Iran dan Israel yang memberi tekanan besar kepada rantau Teluk.

Serangan dron dan peluru berpandu Iran sebelum ini menyasarkan beberapa lokasi di Arab Saudi dan negara Teluk lain selama beberapa minggu.

Dalam masa sama, Selat Hormuz yang menjadi laluan hampir satu perlima perdagangan minyak dunia masih berdepan gangguan susulan konflik berterusan dan rundingan damai Amerika-Iran yang tidak menentu.

Namun, keadaan geopolitik itu tidak menghalang peningkatan jumlah jemaah haji tahun ini berbanding tahun lalu.

Pihak berkuasa Arab Saudi turut memperkukuh sistem kesihatan bagi memastikan keselamatan jemaah sepanjang musim haji.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Abdulaziz Abdulbaqi, berkata lebih 1.2 juta perkhidmatan kesihatan telah diberikan kepada jemaah sejak permulaan musim haji sehingga 10 Zulhijah.

Menurut beliau, langkah itu sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan serta memudahkan akses rawatan kepada jemaah.

“Usaha ini selaras dengan Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah Haji di bawah Visi 2030 Arab Saudi,” katanya.

Data kementerian menunjukkan hampir 50,000 jemaah menerima rawatan di pusat kesihatan dan klinik rawatan segera, manakala lebih 41,000 kes dikendalikan di jabatan kecemasan.

Selain itu, sebanyak 4,901 pesakit dimasukkan ke hospital dan 14,501 kunjungan direkodkan di klinik pesakit luar.

Kementerian turut memaklumkan sebanyak 29 pembedahan jantung terbuka, 251 prosedur kateter jantung dan 337 prosedur pembedahan lain berjaya dilakukan sepanjang musim haji.

Pasukan perubatan juga bertindak pantas mengendalikan 466 kes kelesuan haba di pelbagai lokasi ibadah.

Sementara itu, pusat panggilan kesihatan bersepadu 937 menerima lebih 1.08 juta panggilan daripada jemaah dan petugas haji.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata sistem kesihatan negara terus beroperasi pada tahap tinggi menerusi perancangan proaktif dan rangkaian penjagaan kesihatan bersepadu bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selamat dan tenang. - Agensi berita