MESIR: Ratusan anggota jemaah dipercayai meninggal dunia di tengah-tengah peningkatan suhu semasa menunaikan haji di Arab Saudi.
Mereka yang terkorban datang dari lebih 24 negara, dengan kebanyakan kematian merupakan warga Mesir.
Ramai jemaah haji Mesir berasal dari perkampungan miskin. Mereka menghabiskan wang simpanan mereka untuk perjalanan rohani ke kota paling suci dalam Islam.
Cik Effendiya, ibu kepada lima anak berusia 70 tahun dari wilayah utara Menoufiya, menjual barang kemasnya untuk membayar perjalanannya. Anak bongsunya, Encik Sayyed memberitahu BBC bahawa ibunya meninggal dunia ketika mengerjakan haji.
Cik Effendiya, pergi ke Makkah dengan visa pelancong, bukan dengan visa haji rasmi.
Beliau adalah antara ratusan ribu anggota jemaah haji tidak berdaftar yang berharap dapat menunaikan kewajipan agama mereka pada 2024 tanpa mendapat permit khas haji.
Pihak berkuasa Saudi menganggap lawatan tidak rasmi ini sebagai melanggar peraturan mereka. Tetapi proses mendapatkan permit haji rasmi kadangkala boleh menjadi mahal atau rumit.
Menyertai rombongan haji rasmi di Mesir – sebuah negara dalam krisis ekonomi yang mendalam – boleh menelan kos sekitar AS$6,000 ($8,120) setiap orang.
Perjalanan Cik Effendiya telah dianjurkan oleh pengendali tempatan, yang mengenakan bayaran separuh daripada jumlah tersebut, tetapi menjanjikan perkhidmatan lima bintang, kata keluarganya.
Realitinya sama sekali berbeza, kata mereka.
Pada Hari Arafah, pada 15 Jun, jemaah haji berada di Arafah sepanjang hari, sekitar 20 kilometer (km) dari Makkah – untuk solat dan mengikuti khutbah.
“Bas menurunkan mereka sekitar 12km dari Gunung Arafat. Beliau terpaksa berjalan kaki sejauh itu,” kata Encik Tariq, anak sulung Cik Effendiya.
“Setiap kali saya membuat panggilan video, beliau menyiram air ke atas kepalanya. Beliau tidak dapat menahan kepanasan.
“Dalam panggilan terakhir kami, beliau kelihatan letih,’‘ ujarnya.
Beberapa diplomat Arab memberitahu AFP bahawa 323 anggota jemaah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada 2024 di Makkah akibat panas terik yang menyebabkan bahang suhu melampau adalah warga Mesir. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg