Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebanyakan jemaah meninggal dunia akibat cuaca panas tidak punya permit

Kementerian Media Arab Saudi perjelas mereka bukan sebahagian delegasi haji rasmi negara masing-masing, sebaliknya tiba tanpa permit haji sah
Jun 21, 2024 | 12:32 PM
Jemaah haji menggunakan payung untuk melindungi diri dari bahang matahari ketika berada di Arafah, juga dikenali sebagai Jabal al-Rahma atau Gunung Rahmat, semasa ibadah haji pada 15 Jun 2024.
Jemaah haji menggunakan payung untuk melindungi diri dari bahang matahari ketika berada di Arafah, juga dikenali sebagai Jabal al-Rahma atau Gunung Rahmat, semasa ibadah haji pada 15 Jun 2024. - Foto AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bahawa kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia pada musim haji 2024 bukanlah sebahagian daripada delegasi haji rasmi negara mereka, sebaliknya tiba tanpa permit haji yang sah.

Kementerian Media Arab Saudi menjelaskan bahawa individu-individu tersebut memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancongan atau lawatan, beberapa bulan sebelum ibadah haji bermula.

“Individu ini terus berada di Makkah sehingga musim haji dan menunaikan haji tanpa kebenaran,” kata kementerian Arab Saudi seperti dalam kenyataan yang diterima pada 20 Jun.

Menurut diplomat Arab Saudi yang memberikan butiran itu, 630 daripada 658 jumlah kematian daripada negara itu adalah jemaah yang tidak berdaftar.

Setakat ini Arab Saudi tidak memberi maklumat mengenai jumlah kematian walaupun ada melaporkan lebih 2,700 kes membabitkan kematian disebabkan strok haba pada Ahad, 16 Jun. Angka kematian jemaah haji berkaitan cuaca panas setakat data dikumpulkan agensi berita AFP pada 20 Jun melebihi 1,000 orang.

Kementerian Luar Tunisia mengesahkan bahawa kebanyakan anggota jemaah haji mereka yang meninggal dunia ketika menunaikan haji tahun ini tiba di Arab Saudi bukan dengan visa haji tetapi hanya dengan visa pelancongan lawatan, atau umrah.

Begitu juga, Kementerian Luar Jordan juga melaporkan bahawa semua jemaah haji Jordan yang meninggal dunia atau hilang bukan sebahagian daripada delegasi rasmi haji Jordan, menurut kementerian Arab Saudi.

Menurut jurucakap kementerian, Encik Sufian Qudah, 84 daripada keseluruhan 106 jemaah haji Jordan yang dilaporkan hilang di Arab Saudi telah ditemui. Encik Sufian berkata, pihak berkuasa Arab Saudi memberikan rawatan perubatan yang diperlukan kepada 84 jemaah berkenaan, iaitu beberapa di antaranya berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bahawa musim haji tahun ini berlangsung di tengah-tengah peningkatan ketara suhu di Makkah, yang suhu purata mencecah antara 45 hingga 47 darjah Celsius.

Memandangkan jemaah haji yang mengerjakan haji tanpa kebenaran, mereka tidak dapat mengakses penginapan, makanan atau perkhidmatan pengangkutan yang diberikan kepada jemaah haji rasmi bagi membantu mereka mengurangkan kesan suhu tinggi.

“Akibatnya, mereka terdedah kepada risiko keletihan haba, pendedahan matahari dan (tempoh) lama berjalan di laluan lasak dan tidak berturap yang tidak ditetapkan untuk pejalan kaki,” menurut kementerian Arab Saudi.

“Keadaan ini membawa kepada ramai yang meninggal dunia. Semoga roh mereka dirahmati,” kata kementerian itu.

Kira-kira 323 daripada jumlah korban dilaporkan adalah warga Mesir. Lebih 40 jemaah dari Jordan dan 35 dari Tunisia turut meninggal dunia akibat panas terik pada musim haji tahun ini.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah melaporkan pada 17 Jun bahawa sekurang-kurangnya 138 jemaah haji negara itu telah meninggal dunia ketika menunaikan haji. Konsul Urusan Haji Indonesia di Jeddah, Encik Nasrullah Jasam, mengesahkan kematian berkenaan membabitkan pelbagai faktor, termasuk strok haba.

“Walaupun strok haba adalah antara faktor penyumbang, ia tidak secara langsung menyebabkan sebarang kematian, setakat ini,” katanya kepada CNN Indonesia.com. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg