Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah haji mula bergerak ke Mina sempena hari Tarwiyah
Jemaah haji mula bergerak ke Mina sempena hari Tarwiyah
Dijadual wuquf di Arafah pada 26 Mei
Jemaah haji mula bergerak ke Mina sempena hari Tarwiyah
MAKKAH: Hampir 1.5 juta umat Islam mula bergerak menuju ke Mina pada Isnin, 25 Mei bagi menunaikan hari Tarwiyah, menandakan permulaan rasmi kemuncak ibadah haji 2026.
Pergerakan jemaah dilakukan secara berperingkat dari penginapan masing-masing di Makkah sebelum mereka dijadual berwuquf di Arafah pada 26 Mei, iaitu rukun terpenting dalam ibadah haji.
Hari Tarwiyah yang jatuh pada 8 Zulhijah (25 Mei) merupakan amalan sunah Rasulullah saw, di mana para jemaah akan bermalam di Mina sebelum bergerak ke Arafah keesokan harinya.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi (NCM) meramalkan suhu maksimum di Mina pada hari Tarwiyah boleh mencapai 45 darjah Celsius dengan cuaca berdebu dan angin aktif sehingga 35 kilometer sejam.
Keadaan panas melampau itu menjadi antara cabaran terbesar musim haji 2026 ini, terutama selepas lebih 1,300 anggota jemaah dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba ketika musim haji 2025.
Bagi mengurangkan risiko kesihatan, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengeluarkan panduan khas kepada jemaah supaya menggunakan payung dengan betul, memperbanyakkan minum air dan mengelakkan pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Encik Fahad Abdulrahman Al-Jalajel, berkata setakat ini tiada wabak penyakit atau virus dikesan dalam kalangan jemaah haji.
“Tiada sebab untuk panik dan jemaah berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan pihak berkuasa kesihatan bersedia menghadapi sebarang kecemasan sepanjang musim haji.
Pihak berkuasa Saudi memaklumkan semua persiapan operasi dan logistik untuk membawa jemaah ke Mina telah selesai sepenuhnya.
Kawasan Mina yang dikenali sebagai “kota khemah” dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk sistem penyaman udara, laluan pejalan kaki khas dan pengangkutan awam berkapasiti tinggi.
Masjid Al-Khayf di Mina, antara masjid utama sepanjang musim haji, turut dilengkapi 410 unit penyejuk udara menggunakan sistem kawalan suhu pintar.
Menurut agensi berita, Saudi Press Agency (SPA), masjid itu mempunyai keluasan binaan 23,500 meter persegi dan ruang permaidani melebihi 27,000 meter persegi bagi menampung ribuan anggota jemaah.
Sebanyak 54 alat penyalur air sejuk turut dipasang dengan kapasiti pengeluaran lebih 81,000 cawan air sejam.
Selain itu, stesen pengecas telefon bimbit dan 79 skrin digital pelbagai bahasa turut disediakan bagi membantu jemaah mendapatkan maklumat berkaitan ibadah haji.
Lebih 50 kamera pemantauan keselamatan serta sembilan pintu utama dan enam laluan kecemasan turut ditempatkan di sekitar masjid untuk melancarkan pergerakan jemaah.
Ribuan anggota keselamatan ditempatkan di lapangan bagi memastikan pergerakan jemaah ke Mina berjalan lancar dan selamat.
Laluan khas pejalan kaki, terowong dan rangkaian jalan raya di sekitar Tanah Suci turut digunakan untuk mengelakkan kesesakan besar.
Pada masa sama, perkhidmatan Metro Al-Mashaaer Al-Mugaddassah mula beroperasi bagi menghubungkan Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Setiap tren mampu membawa kira-kira 3,000 penumpang dan sistem itu dijangka mengendalikan lebih dua juta penumpang menerusi 2,000 perjalanan sepanjang musim haji.
Pihak berkuasa berkata penggunaan tren itu membantu mengurangkan kesesakan jalan raya selepas lebih 50,000 perjalanan bas dibatalkan dan digantikan dengan sistem metro.
Selepas bermalam di Mina, jemaah akan bergerak ke Arafah pada 9 Zulhijah bagi menunaikan wuquf, iaitu kemuncak ibadah haji.
Wuquf bermula dari waktu zuhur hingga subuh malam Aidiladha.
Selepas matahari terbenam di Arafah, jemaah akan bergerak ke Muzdalifah untuk menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak serta mengutip batu kecil bagi melontar jamrah.
Mereka kemudian kembali ke Mina untuk melaksanakan ibadah melontar Jamrah Al-Aqabah sebelum meneruskan tawaf ifadah di Masjidil Haram.
Ibadah melontar jamrah dan mabit di Mina akan diteruskan sehingga 12 Zulhijah bersamaan 29 Mei.
Pihak berkuasa Saudi berkata semua agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan ibadah haji 2026 berjalan lancar, selamat dan teratur meskipun cuaca panas ekstrem terus menjadi cabaran utama. – Agensi berita.
