Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah kongsi pengalaman harungi banjir di Makkah, Madinah

Banjir yang landa Makkah jejas teruk perkampungan Melayu di Bukit Ajyad; suhu di Madinah lebih dingin
Jan 14, 2025 | 8:00 PM
Banjir yang melanda Makkah menjejas teruk jalanan, terutama sekali kawasan perkampungan Melayu di Bukit Ajyad, Makkah Al-Mukarramah.
Banjir yang melanda Makkah menjejas teruk jalanan, terutama sekali kawasan perkampungan Melayu di Bukit Ajyad, Makkah Al-Mukarramah. - Foto tangkap layar video ISMAIL SAPARI

Langit gelap yang menyelimuti kota Makkah, diiringi dengan hujan lebat tanpa henti sepanjang minggu sejak 6 Januari membimbangkan anggota jemaah umrah Singapura dan pegawai mereka.

Air bah yang mengalir deras di jalanan membentuk genangan dan lopak di beberapa jalanan di tanah suci sehingga kekhuatiran tentang keselamatan mereka yang mengerjakan ibadah muncul di fikiran.

Di tengah suasana yang mencemaskan, anggota jemaah umrah ini kekal tabah mengharungi cabaran ini demi menunaikan ibadah mereka dengan tenang dan berserah.

Begitulah yang dialami pegawai Halijah Travels, Cik Rokiah Ali, 59 tahun, mengenang semula peristiwa banjir yang berlaku di beberapa bahagian Arab Saudi terutama di Makkah, Jeddah, selain di Madinah menyusuli hujan lebat.

Beliau yang bersama rombongan jemaah Halijah Travels berada di tanah suci antara 26 Disember 2024 hingga 6 Januari 2025.

Menurutnya, kedudukan hotel yang berhampiran membenarkan anggota jemaah untuk meneruskan ibadah tanpa banyak gangguan. 

Namun, Cik Rokiah menjelaskan anggota jemaah yang menginap di kawasan hotel yang terletak lebih jauh dari Masjidil Haram perlu berhadapan dengan cabaran akibat banjir, termasuk melalui kawasan yang dipenuhi air bertakung atau menghadapi kesesakan jalan raya.

Beliau yang dihubungi Berita Harian (BH) pada 13 Januari berkata:

“Apabila kami melakukan tawaf widak (dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Makkah dengan jarak 91 kilometer atau lebih) pada hari terakhir iaitu 6 Januari, angin bertiup begitu kencang.

“Habis berterbangan tudung kami. Namun, alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan kami sehingga selesai melakukan tawaf widak.

“Hujan pun mula turun selepas selesai tawaf menyebabkan semua jemaah bergegas balik ke hotel. Pada saat itu, awan hitam jelas kelihatan. 

“Kawasan jemaah melakukan sembahyang pun telah dipenuhi dengan air hujan.

“Jadi saya dan anggota jemaah wanita lain berjalan tanpa kasut (hanya dengan mengenakan stoking) untuk ke hotel.”

Perjalanan menuju ke lapangan terbang di Jeddah turut mengambil masa lebih lama daripada biasa, tambah Cik Rokiah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syukran Travel, Encik Ismail Sapari, berkongsi bahawa banjir yang melanda Makkah memberi kesan teruk terutama di kawasan perkampungan Melayu di Bukit Ajyad.

Meskipun tidak berada di tanah suci, beliau sering mendapat maklum balas dan perkongsian pegawai yang ditugaskan membawa rombongan ‘VIP’ atau pakej eksklusif bagi keluarga.

Beliau mengulas:

“Akibat banjir yang sedang berlaku, kami menasihati jemaah agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan ibadah, termasuk tawaf.  

“Terutama bagi jemaah lelaki yang mengenakan ihram. 

“Memandangkan jemaah lelaki tidak memakai pakaian dalam ketika mengenakan ihram, ini menimbulkan cabaran tersendiri bagi mereka, kerana keadaan basah dek hujan kadangkala akan menyebabkan aurat terlihat.”

Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Arab, hujan sering dianggap sebagai rahmat bagi umat Islam, jelas Encik Ismail.

Justeru itu, jemaah digalakkan agar meneruskan ibadah walau dalam keadaan hujan.

Namun apabila terlalu lebat, ia juga boleh mendatangkan kemudaratan sehingga jemaah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan ibadah, terutamanya dalam keadaan basah dan licin di kawasan sekitar Masjidil Haram.  

Dalam pada itu, pergerakan dari Jeddah menuju ke Makkah juga menjadi lebih sukar akibat keadaan jalan raya yang sesak dan banjir.  

Di Madinah pula, cuaca yang biasanya sejuk menjadi lebih dingin dan mencabar dengan hujan lebat sehingga mencetus ketidakselesaan bagi sesetengah jemaah.

“Biasanya, cuaca sejuk di Madinah boleh menyebabkan suhu turun serendah 12 hingga lapan darjah Celsius. Namun, angin agak kering.

“Ini membuatkan jemaah mudah jatuh sakit dan terkena jangkitan kuman pada paru-paru atau bronkitis. Walau apa pun cabarannya, pihak kami sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan jemaah. 

“Selain itu, kami juga memastikan komunikasi berterusan dengan anggota keluarga di Singapura untuk memberikan maklumat terkini mengenai keadaan mereka di tanah suci.”

Encik Mohamed Syawal Ludin Mohamed Yasin, 44 tahun, yang kini mengerjakan umrah pula berkata: “Melakukan tawaf dalam keadaan hujan lebat adalah pengalaman luar biasa seperti simbol penyucian walau kami berhati-hati agar tidak tergelincir di lantai marmar yang licin. Mujur, ibu bapa saya yang berkerusi roda tawaf di tingkat dua yang ada ruang atap agar dilindungi dari hujan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg