MAKKAH: Banjir dilaporkan berlaku di beberapa bahagian di Arab Saudi terutama di Makkah, Jeddah, selain di Madinah sepanjang minggu ini berikutan hujan lebat yang bermula pada 6 Januari.
Menurut agensi berita, beberapa kawasan kejiranan di Makkah dilihat dinaiki air.
Sebilangan penduduk pula kelihatan cuba menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam air bah.
Selain itu, beberapa kereta dan bas pelancong turut terkandas di tengah jalan susulan banjir berkenaan. Pokok juga dilihat dihanyutkan air deras.
Saudi Gazette melaporkan sebahagian besar wilayah Makkah dan juga Jeddah merekodkan hujan lebat pada 6 Januari lalu, yang telah menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan terjejas.
Banyak jalan raya dan dataran dibanjiri air hujan, menjejas lalu lintas di lebuh raya dan jalan raya di bandar Makkah, Jeddah dan Madinah.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC) Saudi meramalkan hujan sederhana hingga lebat, ribut petir dan ribut debu akan melanda sepanjang minggu.
Banjir jarang berlaku di negara itu yang biasanya mengalami cuaca kering, dan prasarana sedia ada sukar menangani jumlah air yang banyak apabila hujan lebat turun berterusan.
Menurut Saudi Press Agency, pihak berkuasa Saudi telah memberi amaran kepada rakyat negara itu supaya sentiasa berhati-hati dan mengikut panduan keselamatan terutama di kawasan yang telah diberi amaran kemungkinan besar berlakunya banjir.
Sementara itu, kematian 1,300 anggota jemaah haji semasa musim 2024 di Saudi pula menggariskan keperluan mendesak untuk mengurangkan bahaya yang ditimbulkan haba berlebihan.
Menurut penganalisis, pengurusan orang ramai merupakan langkah pertama yang penting.
Suhu melonjak hingga 51.8 darjah Celsius di kota suci Makkah pada Jun 2024, apabila 1.8 juta anggota jemaah menunaikan ibadah tahunan itu.
Pegawai Saudi berkata 83 peratus daripada 1,300 kematian yang direkodkan adalah mereka yang tidak mempunyai permit rasmi haji dan oleh itu tidak dapat mengakses kemudahan yang bertujuan menjadikan ibadah haji lebih selesa, termasuk khemah berhawa dingin.
Ini merupakan contoh berprofil tinggi bagi malapetaka yang ditimbulkan oleh haba pada 2024, dengan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus menyatakan pada 10 Januari bahawa 2024 adalah tahun paling panas pernah direkodkan.
Diplomat yang terlibat dalam tindak balas negara mereka terhadap krisis 2024 itu memberitahu AFP pada masa itu bahawa kebanyakan kematian adalah berkaitan haba berlebihan.
Walaupun Riyadh belum membuat persiapan terperinci bagi haji 2025 – masih lima bulan lagi – pihak berkuasa Saudi pastinya mahu berusaha mengelak perkara itu daripada berulang, kata Dr Abderrezak Bouchama, daripada Pusat Penyelidikan Perubatan Antarabangsa Raja Abdullah di Arab Saudi.
Langkah lain untuk menjadikan haba kurang berbahaya adalah seperti memperkenalkan sensor yang boleh dipakai untuk mengesan tekanan haba dengan cepat, dan ini adalah projek jangka panjang yang mungkin tidak sempat dilancarkan menjelang Jun ini, kata Encik Bouchama.
Selain itu, sejak 2023, jalan yang digunakan oleh jemaah haji juga telah menggunakan bahan penyejuk putih yang menurut pegawai Saudi mengurangkan suhu jalan itu sebanyak 20 peratus.
Sukarelawan turut mengagihkan air dan payung serta menawarkan nasihat kepada jemaah haji tentang cara mengelakkan hipertermia.
Hipertemia adalah keadaan apabila suhu badan meningkat jauh lebih tinggi daripada biasa.
Sistem berwap dan pusat beli-belah berhawa dingin turut memberikan kelegaan kepada jemaah sementara menunggu waktu solat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg