MAKKAH: Ratusan ribu anggota jemaah haji, berpakaian ihram serba putih, memulakan perjalanan ke kota Mina pada 12 Jun malam dalam pusingan pertama ibadah haji mereka.
Kota suci Makkah pula berkumandang dengan laungan, ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ (Ya Allah, di sini saya menyahut seruan-Mu) apabila lebih 1.5 juta anggota jemaah haji dari seluruh dunia mempersiapkan diri bagi apa yang digambarkan sebagai perjalanan iman sekali seumur hidup.
Jemaah tempatan yang besar jumlahnya menyertai mereka dalam mencari keredaan Ilahi dengan menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu.
Jemaah haji menghabiskan Hari Tarwiyah, iaitu pada 8 Zulhijah (pada 14 Jun di Arab Saudi), di kota khemah Mina yang luas, menandakan permulaan ibadah haji 2024.
Mereka mengisi hari itu dengan solat dan berzikir di dalam khemah mereka, sebagai persiapan untuk berwuquf di Arafah pada 9 Zulhijah (15 Jun di Aab Saudi), iaitu puncak ibadah haji.
Di Mina, yang terletak tujuh kilometer ke timur laut Masjidil Haram, jemaah menunaikan solat wajib lima waktu, dengan memendekkan, atau mengqasarkan, solat fardu empat rakaat zuhur, asar dan isyak menjadi dua rakaat, mengikut amalan Rasulullah saw.
Mina terletak di antara Makkah dengan Muzdalifah di dalam sempadan Masjidil Haram dan adalah sebuah lembah yang dikelilingi gunung-ganang di utara dan selatan.
Ia hanya didiami semasa musim haji, dan bersempadan Jamrat Al-Aqabah di sisi Makkah dan Wadi Muhasser di sisi Muzdalifah.
Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengerahkan semua sumber manusia dan material mereka untuk memastikan ibadah haji dapat dijalankan tanpa kerumitan.
Mengikut arahan raja Arab Saudi, iaitu Raja Salman, dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri, semua kementerian, jabatan kerajaan, agensi keselamatan dan pertubuhan penyedia perkhidmatan haji relevan bersedia menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji.
Logistik yang diperlukan untuk menyokong anggota jemaah haji yang berjumlah lebih 1.5 juta orang itu menakjubkan.
Pihak keselamatan telah menyelesaikan segala persiapan yang sempurna bagi memastikan keselamatan jemaah dan keselamatan operasi haji.
Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Arab Saudi juga telah menyelesaikan semua persiapan mereka, untuk memberikan perkhidmatan perubatan dan kecemasan terbaik untuk jemaah haji.
Kementerian itu menyediakan Hospital Mina yang baru dengan kapasiti 50 katil dan sebuah jabatan bagi keletihan dan strok haba.
Katil khas disediakan di dalam ambulans dan jabatan kecemasan, dengan peralatan moden untuk menerima kes kecemasan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg