MAKKAH: Jemaah telah mula membanjiri tanah suci Makkah di Arab Saudi menjelang permulaan ibadah haji.
Pegawai Arab Saudi berkata sehingga 11 Jun, lebih 1.5 juta anggota jemaah telah tiba di negara itu, sebahagian besarnya melalui udara dari seluruh dunia.
Ramai lagi dijangka tiba dan ratusan ribu rakyat Arab Saudi serta penduduk lain di negara itu akan menyertai mereka apabila ibadah haji secara rasmi bermula pada 14 Jun.
Pegawai Arab Saudi berkata mereka menjangka jemaah haji 2024 melebihi jumlah pada 2023, apabila lebih 1.8 juta orang menunaikan haji, menghampiri tahap prapandemik Covid-19.
Pada 2019, lebih 2.4 juta Muslim menunaikan haji. Pihak berkuasa Arab Saudi mengawal aliran jemaah melalui kuota, membenarkan bagi setiap negara seorang jemaah bagi setiap 1,000 warga Islam.
Anggota jemaah haji kali ini termasuk 4,200 rakyat Palestin dari Tebing Barat, yang diduduki Israel. Mereka tiba di Makkah awal Jun, lapor Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin.
Rakyat Penduduk Palestin di Jaluran Gaza tidak dapat pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji musim ini kerana perang yang sudah berlarutan selama lapan bulan antara Israel dengan Hamas.
“Kami berdoa agar Palestin bebas dan (untuk rakyat Palestin) membebaskan tanah air mereka dan menjadi seperti negara lain, untuk hidup dalam aman dan tidak selalu berperang,” kata Encik Ibrahim al-Hadhari, seorang anggota jemaah dari Algeria, sambil berdiri di halaman Masjidil Haram menunggu waktu solat maghrib.
Pada 11 Jun, jemaah memenuhi Masjidil Haram di Makkah, melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dengan mengenakan ihram.
Ramai dilihat berpeluh dek terik matahari, sementara yang lain membawa payung kerana suhu mencecah 42 darjah Celsius dan 45 darjah Celsius pada siang hari 11 dan 12 Jun.
Sebelum ini, pasukan keselamatan Arab Saudi melakukan “tindakan pembersihan” ke atas ratusan ribu anggota jemaah tanpa permit haji yang berada di Makkah, sebelum ibadah itu bermula.
Pengurusan jemaah menjadi tumpuan utama Arab Saudi setiap kali musim haji.
Menurut perangkaan rasmi 2023, lebih 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Agensi berita, Saudi Press Agency, berkata sepanjang beberapa hari lalu, individu yang dikesan tiada permit haji termasuk 153,998 warga asing yang memasuki Makkah dengan visa pelancong.
Di samping itu, 171,587 individu dikenal pasti berada di Arab Saudi walaupun mereka bukan dalam kalangan penduduk Makkah dan tidak mempunyai permit haji. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg