Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi laksana langkah tangani cuaca panas jelang wuquf di Arafah

Jemaah dinasihat kekal dalam khemah antara 10 pagi dengan 4 petang pada hari Arafah; lebih 250,000 pegawai dikerah pergiat kawalan keselamatan, kesihatan
Jun 5, 2025 | 1:19 PM
haji, Makkah, Mina, Arab Saudi
Jemaah haji berjalan menuju ke kawasan khemah di Mina bagi memulakan ibadah haji 2025 di Makkah pada 4 Jun. - Foto EPA-EFE

MAKKAH: Lebih 1.4 juta umat Islam dari seluruh dunia telah tiba di Makkah, Arab Saudi bagi kemuncak ibadah haji, iaitu berwuquf di Arafah.

Namun, dengan suhu yang dijangka melebihi 40 darjah Celsius, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengambil pelbagai langkah luar biasa bagi memastikan jemaah kekal selamat dan selesa sepanjang lima hari pelaksanaan ibadah itu.

Menurut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, kerajaan telah menasihatkan jemaah agar kekal berada dalam khemah masing-masing antara 10 pagi dengan 4 petang pada hari Arafah, 5 Jun, demi mengelakkan keletihan ekoran haba yang boleh membahayakan nyawa.

“Suhu tinggi pada hari Arafah memerlukan jemaah berlindung dalam khemah untuk menjaga kesihatan mereka dan mengelakkan risiko strok haba,” ujar beliau lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Langkah itu diambil susulan kejadian musim haji 2024 yang menyaksikan lebih 1,300 anggota jemaah maut akibat suhu mencecah 47 darjah Celsius.

Dengan ramalan suhu boleh melebihi 50 darjah Celsius pada 2025, pihak berkuasa telah mempergiat kawalan keselamatan dan kesihatan melalui penglibatan lebih 250,000 pegawai dari 40 agensi kerajaan.

Antara usaha terbesar ialah pelancaran sistem penyejukan terbesar di dunia di Masjidil Haram.

Sistem itu mempunyai kapasiti penyejukan 155,000 tan dan berupaya mengekalkan suhu dalam lingkungan 22 hingga 24 darjah Celsius, sekali gus memberi keselesaan kepada jutaan anggota jemaah yang beribadah.

“Arab Saudi beriltizam untuk memastikan pengalaman haji bukan sahaja sah dari segi ibadah, bahkan juga selamat dan selesa bagi semua jemaah,” kata Dr Al-Rabiah kepada agensi berita, AFP.

Pada hari Arafah, jemaah berkumpul di Padang Arafah dan mendaki Jabal Rahmah setinggi 70 meter untuk berdoa dan membaca Al-Quran.

Namun kawasan itu hampir tiada teduhan, menyebabkan jemaah terdedah kepada matahari padang pasir yang terik.

Kementerian Kesihatan turut memberi amaran agar jemaah tidak mendaki bukit atau kawasan tinggi pada hari tersebut kerana ia boleh menyebabkan keletihan fizikal dan meningkatkan risiko strok haba.

Dalam pada itu, kerajaan turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mengurus pergerakan jemaah.

Di pusat kawalan, pegawai bekerja sepanjang masa bagi memantau data, peta dan kamera untuk memastikan aliran pergerakan jemaah lancar dan selamat.

Satu lagi perubahan besar adalah pelancaran projek khemah moden dua tingkat di Mina, yang dilaksanakan oleh Syarikat Pembangunan Kidana bersama sektor swasta.

Projek itu merangkumi lebih 40 bangunan, lebih 550 bilik air dan ruang penginapan melebihi 20,000 meter persegi.

Ia boleh menempatkan 8,000 anggota jemaah dari dalam dan luar negara.

“Matlamat kami adalah untuk memperkaya pengalaman jemaah serta meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan penginapan di Mina,” kata wakil Kidana dalam kenyataan rasmi.

Di samping itu, Angkatan Darat Diraja Arab Saudi (RSLF), turut memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan.

Pasukan Polis Tentera dikerah untuk membantu pengurusan kemasukan jemaah ke Masjidil Haram serta memastikan kelancaran pergerakan dan kawalan orang ramai.

Selain itu, pasukan khas pertahanan senjata pemusnah besar-besaran turut menyokong Pasukan Pertahanan Awam dalam menjalankan operasi pengesanan bahan berbahaya, termasuk menghapuskan pencemaran radioaktif dan kimia menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Masjidil Haram kini menempatkan lebih 120,000 unit lampu, termasuk kira-kira 6,900 candelier besar dan lebih 500 unit pelbagai saiz yang menampilkan seni kaligrafi dan ukiran Islam yang mengagumkan.

Pihak Lembaga Umum Penjagaan Hal Ehwal Dua Masjid Suci mengesahkan bahawa sistem pencahayaan dikawal melalui stesen khas yang menggunakan teknologi pencahayaan terkini.

“Keindahan seni bina dan pencahayaan Masjidil Haram mencerminkan dedikasi kerajaan Arab Saudi dalam memelihara warisan Islam sambil menawarkan kemudahan terbaik kepada jemaah,” kata kenyataan rasmi lembaga itu.

“Kami akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan ibadah haji tahun ini (2025) berjalan dengan aman dan selamat,” tegas Dr Tawfiq. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg