JEDDAH: Jemaah yang mengerjakan umrah dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat tukang gunting rambut yang berlesen pada akhir ibadah di Masjidil Haram, Makkah, atas alasan kesihatan.
Kementerian Haji Arab Saudi menekankan peri pentingnya jemaah umrah memotong rambut mereka di kedai gunting rambut yang ditetapkan di sekitar Masjidil Haram bagi melindungi kesihatan mereka dan alam sekitar.
“Tempat yang ditetapkan di sekitar Masjidil Haram menjamin anda (jemaah haji) potongan rambut yang selamat dan sihat, peralatan yang bersih dan disterilkan serta tukang gunting rambut berlesen yang diiktiraf dari segi perubatan,” kata kementerian itu dalam hantaran di media sosial X.
Setelah selesai mengerjakan umrah, jemaah lelaki wajib mencukur atau menggunting sebahagian rambut untuk bertahalul.
Jemaah wanita pula diwajibkan memotong rambut sepanjang hujung jari sahaja.
Sebelum ini, terdapat tukang gunting rambut tanpa lesen yang menyediakan khidmat tersebut di luar Masjild Haram.
Umrah musim semasa, yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun, bermula pada akhir Jun selepas berakhirnya ibadah haji tahunan yang dihadiri kira-kira 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia.
Kira-kira 13.5 umat Islam menunaikan umrah pada 2023.
Kerajaan Saudi merancang mengalu-alukan 15 juta anggota jemaah umrah pada 2025.
Arab Saudi telah memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk umat Islam mengerjakan umrah seperti melanjutkan visa umrah dari 30 hari ke 90 hari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg