Topik diikuti
Pergi ke BHkuJenazah Khamenei tiba di Qom menjelang perarakan pengebumian
Jenazah Khamenei tiba di Qom menjelang perarakan pengebumian
Laporan: Iran lepaskan peluru berpandu ke arah kapal dagang di Selat Hormuz
Jenazah Khamenei tiba di Qom menjelang perarakan pengebumian
QOM, Iran: Ratusan ribu rakyat Iran membanjiri bandar suci Qom pada 7 Julai bagi menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, ketika ketegangan antara Teheran dan Amerika Syarikat terus memuncak selepas perang berdarah awal tahun 2026 ini.
Upacara besar-besaran itu berlangsung ketika Iran terus mempamerkan sikap menentang tekanan Barat, manakala ancaman keselamatan di Selat Hormuz kembali mencetuskan kebimbangan dunia terhadap laluan perdagangan minyak global.
Menurut agensi berita Tasnim, solat jenazah bermula di Masjid Jamkaran pada jam 6 pagi waktu tempatan, dipimpin agamawan kanan Ayatollah Abdullah Javadi Amoli sebelum perarakan bergerak menuju ke makam Fatima Masumeh melalui Boulevard Nabi Muhammad.
Gambar udara yang disiarkan media pemerintah menunjukkan lautan manusia berpakaian hitam memenuhi jalan-jalan utama di Qom bagi memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.
Jenazah Khamenei tiba di Qom pada malam 6 Julai, beberapa jam selepas jutaan rakyat menghadiri perarakan pengebumian besar-besaran di Teheran.
Perarakan itu turut disertai pegawai kanan pemerintah Iran dan anggota keluarga Khamenei yang terbunuh dalam serangan tersebut.
Sebuah trak yang membawa keranda Khamenei dan empat anggota keluarganya bergerak perlahan menuju ke Dataran Azadi di Tehran ketika orang ramai melemparkan bunga dan melaungkan slogan anti-Amerika serta anti-Israel.
Media pemerintah turut melaporkan keranda kecil cucu perempuan Khamenei yang berusia 14 bulan ketika terbunuh menjadi antara simbol paling menyentuh hati sepanjang upacara itu.
Orang ramai dilihat mengibarkan bendera merah yang menjadi simbol pembalasan dalam mazhab Syiah selain membawa poster pengganti Khamenei, Mojtaba Khamenei, serta melaungkan slogan “Bunuh Trump”.
“Kami akan membalas darah para syuhada dan imam kami daripada penjenayah ini,” kata seorang peserta perarakan berusia 63 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Kazemi.
Pengebumian besar-besaran itu dijadual diteruskan di bandar suci Najaf dan Karbala di Iraq pada 8 Julai sebelum Khamenei dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad pada 9 Julai.
Bagaimanapun, perhatian turut tertumpu kepada Encik Mojtaba Khamenei yang masih belum muncul di khalayak ramai sejak dilantik menggantikan bapanya minggu lalu.
Ketiadaan beliau terus mencetuskan spekulasi mengenai situasi politik dalaman Iran selepas perang dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Pemerintah Iran dilihat mahu menggunakan mobilisasi besar-besaran rakyat itu sebagai simbol perpaduan nasional selepas perang dan siri bantahan besar-besaran awal tahun ini yang menurut kumpulan hak asasi manusia mengorbankan ribuan nyawa akibat tindakan keras pihak keselamatan.
Dalam pada itu, ketegangan di rantau Teluk kembali meningkat selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) didakwa melancarkan serangan terhadap kapal dagang di Selat Hormuz.
Laporan Axios yang memetik pegawai Amerika Syarikat menyebut sekurang-kurangnya dua peluru berpandu dilepaskan ke arah kapal komersial yang melalui laluan strategik itu pada malam 6 Julai.
Dua kapal dilaporkan mengalami kerosakan besar, namun tiada kematian dilaporkan.
Secara berasingan, Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata sebuah kapal tangki minyak turut terbakar selepas terkena objek tidak dikenali berhampiran Limah di Oman awal 7 Julai.
Menurut UKMTO, kapal itu terkena serangan di bahagian kiri ketika belayar kira-kira 15 kilometer di timur Limah sebelum kebakaran tercetus.
Tiada kecederaan atau pencemaran alam sekitar dilaporkan setakat ini.
Insiden terbaru itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Selat Hormuz yang menjadi laluan hampir satu perlima bekalan minyak dunia.
Laporan Wall Street Journal pula mendakwa IRGC memberi amaran kepada kapal-kapal dagang menerusi radio maritim bahawa “peluru berpandu dan dron kami bersedia menembak anda”.
Ketegangan itu berlaku ketika rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat dan Iran minggu lalu gagal mencapai kemajuan jelas ke arah perdamaian berkekalan walaupun kedua-dua pihak masih terikat dengan gencatan senjata selama 60 hari.
Pemerhati antarabangsa berkata situasi semasa menunjukkan Timur Tengah masih berada dalam keadaan sangat rapuh dengan risiko konflik lebih besar boleh tercetus semula pada bila-bila masa. - Agensi berita
