Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Rundingan AS-Iran disambung semula 11 Julai selepas pengebumian Khamenei
Laporan: Rundingan AS-Iran disambung semula 11 Julai selepas pengebumian Khamenei
Pakistan bakal jadi tuan rumah rundingan baharu mengenai sekatan, dana beku dan program nuklear Iran
Laporan: Rundingan AS-Iran disambung semula 11 Julai selepas pengebumian Khamenei
TEHERAN: Rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dijangka disambung semula pada 11 Julai ini selepas selesai upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, menurut laporan saluran berita milik Arab Saudi, Al Arabiya.
Laporan itu menyebut Pakistan akan menjadi tuan rumah rundingan baharu yang dijangka memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk sekatan Amerika terhadap Teheran, dana Iran yang dibekukan serta program nuklear republik Islam itu.
Rundingan berkenaan berlangsung ketika ketegangan di Asia Barat masih rapuh susulan perang lima minggu melibatkan Iran, Israel dan Amerika sebelum gencatan senjata dicapai bulan lalu.
Menurut sumber yang dipetik Al Arabiya, tahap perwakilan delegasi Iran hanya akan diputuskan selepas tamat upacara pengebumian Khamenei yang dijadual berakhir pada 9 Julai di Mashhad.
Iran dan Amerika sebelum ini mengadakan rundingan teknikal tidak langsung di Doha pada 1 Julai lalu.
Presiden Amerika Syarikat , Donald Trump, menyifatkan rundingan itu sebagai “sangat baik”.
Menurut Iran, kedua-dua pihak mencapai persetujuan awal mengenai pembebasan sebahagian dana Iran bernilai berbilion dolar yang dibekukan di luar negara.
Namun, pegawai Amerika dilaporkan menafikan bahawa sebarang persetujuan rasmi telah dicapai mengenai perkara itu.
Rundingan terbaru itu berlangsung selepas Iran dan Amerika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 18 Jun lalu bagi menamatkan konflik di rantau Asia Barat termasuk di Lebanon.
MoU itu turut menetapkan tempoh 60 hari untuk kedua-dua pihak mencapai perjanjian muktamad berkaitan program nuklear Iran dan isu keselamatan serantau.
Pada 22 Jun lalu, rundingan teknikal antara Iran dan Amerika diadakan di Switzerland selepas konsultasi peringkat tinggi sehari sebelumnya dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, pada 1 Julai mengesahkan bahawa pengantara Qatar dan Pakistan telah mengadakan beberapa pertemuan berasingan dengan wakil Amerika dan Iran.
Menurut beliau, rundingan tersebut menunjukkan perkembangan positif berkaitan pelaksanaan MoU berkenaan.
“Pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk meneruskan perbincangan dalam tempoh terdekat dan mesyuarat seterusnya akan diadakan secepat mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, delegasi kanan Pakistan yang menghadiri upacara pengebumian Khamenei di Teheran menerima pujian meluas daripada Iran.
Duta Besar Iran ke Islamabad, Encik Reza Amiri Moghadam, menyifatkan kehadiran delegasi Pakistan sebagai simbol hubungan persaudaraan yang mendalam antara kedua-dua negara.
“Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Pakistan menyertai upacara pengebumian ini pada peringkat tertinggi yang mungkin,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata delegasi Pakistan juga merupakan yang terbesar antara semua negara yang hadir pada upacara tersebut.
“Kehadiran delegasi yang begitu terkemuka, berprofil tinggi dan besar ini menjadi bukti kepada persahabatan yang berkekalan, saling menghormati dan ikatan persaudaraan antara dua negara bersaudara,” katanya.
“Isyarat penuh bermakna dan bersejarah ini mencerminkan hubungan mendalam serta nilai bersama yang telah menyatukan Iran dan Pakistan ketika menghadapi cabaran dan detik kejayaan,” tambah beliau.
Delegasi Pakistan diketuai Perdana Menteri, Encik Shehbaz Sharif.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Ishaq Dar, Panglima Tentera Darat Fil Marsyal Syed Asim Munir, Pengerusi Parti Rakyat Pakistan (PPP) Bilawal Bhutto Zardari, Speaker Perhimpunan Kebangsaan Sardar Ayaz Sadiq, Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi dan Menteri Penerangan Attaullah Tarar.
Encik Shehbaz turut memberikan penghormatan kepada Khamenei dan menyifatkan beliau sebagai tokoh penting dunia Islam.
“Kebijaksanaan, kepimpinan dan pengaruh besar beliau terhadap Iran serta rantau ini akan terus dikenang oleh generasi akan datang,” katanya.
Orang kenamaan dan pegawai dari hampir 100 negara termasuk Malaysia, Bangladesh, Arab Saudi, Turkey, Qatar, Oman, Mesir, Russia, Iraq, China dan India turut berada di Teheran bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Khamenei.
Khamenei terbunuh bersama beberapa anggota keluarganya dalam serangan udara AS-Israel ke atas kediamannya di Tehran pada 28 Februari lalu.
Beliau memimpin Iran sejak 1989 dan dianggap antara tokoh paling berpengaruh di Asia Barat sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya.
Iran memulakan upacara pengebumian awam pada Sabtu lalu dengan jutaan rakyat dijangka menyertai perarakan besar-besaran di Tehran, Qom, Najaf dan Karbala sebelum pengebumian terakhir di Mashhad.
Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, Washington dan Tehran masing-masing memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh disambung semula jika rundingan gagal mencapai kemajuan.
Pemerhati melihat rundingan 11 Julai nanti sebagai ujian penting bagi menentukan sama ada kedua-dua negara benar-benar mampu bergerak ke arah perdamaian kekal selepas konflik yang menggegarkan Asia Barat sejak Februari lalu. - Agensi berita
