DUBAI: Iran mungkin mengambil masa yang lama untuk melancarkan tindak balas terhadap Israel, kata jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Alimohammad Naini, ada 20 Ogos.
Timur Tengah telah bersiap sedia untuk membalas dendam yang diakui Iran atas pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 31 Julai.
Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan bahawa ia terlibat di sebalik pembunuhan itu.
“Masa memihak kepada kami dan tempoh menunggu untuk respons ini mungkin panjang,” kata Encik Naini, merujuk kepada kemungkinan tindak balas terhadap Israel.
Beliau berkata “musuh” harus menunggu tindak balas yang dikira dan tepat.
Menurut media Iran, pemimpin Iran sedang menimbang keadaan dan tindak balas Republik Islam itu mungkin tidak mengulangi operasi sebelumnya.
Iran dan Hamas menuduh Israel melakukan serangan yang mengorbankan Encik Haniyeh beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis pelantikan presiden baru Iran, Encik Masoud Pezeshkian.
Kematian beliau berlaku beberapa jam selepas serangan Israel di Beirut membunuh seorang komander kanan Hezbollah, kumpulan yang disokong Iran di Lebanon.
Amerika Syarikat telah meminta sekutu yang mempunyai hubungan dengan Iran supaya memujuknya meredakan ketegangan di Timur Tengah kerana Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berada di rantau itu untuk mendorong kemajuan ke arah mencapai gencatan senjata Gaza.
Encik Blinken mengakhiri lawatannya ke Timur Tangah tanpa menghasilkan perjanjian gencatan senjata.
Negara perantara, Amerika, Mesir dan Qatar merancang untuk menyambung rundingan gencatan senjata minggu ini.
Encik Naini berkata bahawa Teheran menyokong sebarang langkah yang membawa kepada penamatan perang di Gaza dan membantu rakyat Palestin memulihkan negara mereka.
Beliau menambah: “Kami tidak menganggap tindakan Amerika itu penuh ikhlas. Kami menganggap Amerika sebagai pihak yang terlibat dalam perang di Gaza.”
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, sebelum ini berkata bahawa perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh menghalang Iran daripada menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Encik Haniyeh yang menyebabkan ketegangan serantau meningkat.
Kenyataannya dibuat selepas Iran menolak gesaan Barat agar “mengendurkan” ancaman pembalasannya terhadap Israel. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg