Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwa raya, polis siasat Presiden Korea Selatan atas pengisytiharan darurat

Kes disiasat atas dakwaan ‘pemberontakan’
Dec 5, 2024 | 2:37 PM
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan dalam satu perhimpunan di Seoul, Korea Selatan, pada 5 Disember bagi mengecam pengisytiharan mengejut undang-undang tentera oleh Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dan beliau digesa supaya meletakkan jawatannya.
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan dalam satu perhimpunan di Seoul, Korea Selatan, pada 5 Disember bagi mengecam pengisytiharan mengejut undang-undang tentera oleh Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dan beliau digesa supaya meletakkan jawatannya. - Foto REUTERS

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan telah memulakan siasatan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol, Menteri Dalam Negeri dan mantan Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun berhubung peranan mereka dalam cubaan menguatkuasakan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap pada 5 Disember.

Encik Yong-hyun, yang meletakkan jawatan susulan penglibatannya dalam perintah undang-undang tentera pada 3 Disember, kini dikenakan larangan perjalanan sementara siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, Presiden Yoon dan Menteri Dalam Negeri tidak dikenakan sekatan sedemikian.

Presiden Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera selama kira-kira enam jam pada 3 Disember dengan alasan ancaman daripada “kuasa antinegara” dan tekanan politik. Namun, langkah itu dibatalkan selepas Parlimen dengan pantas mengundi menentangnya.

Pengisytiharan undang-undang tentera itu mencetuskan kemarahan rakyat dan menyaksikan tentera bersenjata memenuhi jalan-jalan di Seoul, meningkatkan ketegangan politik di negara itu.

Ketua Agensi Siasatan Kebangsaan Polis, Encik Woo Jong-soo, mengesahkan bahawa kes tersebut telah mula disiasat atas dakwaan “pemberontakan” – jenayah serius yang boleh membawa hukuman mati.

Parti Demokratik, parti pembangkang utama, bersama beberapa parti kecil pembangkang lain telah mengemukakan usul bersama untuk memecat Presiden Yoon pada 4 Disember.

Usul tersebut dijadualkan diundi di Parlimen pada 7 Disember, dengan had masa 72 jam untuk diluluskan sebelum ia luput. Sekiranya usul itu ditolak atau tidak diundi, pembangkang boleh mengemukakan usul baru.

Seorang ahli Parlimen Parti Demokratik menyatakan “langkah Presiden Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera adalah tidak berperlembagaan dan melanggar prinsip asas demokrasi”.

Parti pemerintah Parti Kuasa Rakyat (PPP) menerusi Ketuanya, Encik Han Dong-hoon, telah meminta Presiden Yoon agar meninggalkan parti tersebut.

“Saya telah menuntut peletakan jawatan Presiden daripada parti, tetapi kami tetap akan bersatu untuk menolak usul pemecatan yang tidak adil ini,” katanya kepada media.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan darurat yang dilakukan oleh presiden adalah satu kesilapan yang tidak dapat dipertahankan. Encik Han juga memberi jaminan bahawa semua 108 ahli Parlimen parti tersebut akan bersatu untuk menolak usul pemecatan.

Krisis politik ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa dan rakyat Korea Selatan. Pejabat Presiden Yoon mengumumkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan awam, mencerminkan tekanan yang dihadapinya akibat situasi ini.

Langkah undang-undang tentera yang gagal ini merupakan peristiwa politik besar yang telah menggegarkan Korea Selatan, menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan Presiden Yoon yang baru memegang jawatan sejak 2022.

Keputusan undian pemecatan pada 7 Disember dijangka menjadi penentu sama ada beliau dapat meneruskan mandatnya atau perlu meletakkan jawatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg