NEW YORK: Jensen Huang sedang mempertimbangkan untuk kembali sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Nvidia, dan telah membincangkan keputusan itu dengan orang kepercayaannya, lapor Financial Times (FT) pada 15 November, memetik sumber yang arif tentang perkara itu.

Seorang sekutu Encik Huang memberitahu FT bahawa mereka sedang menubuhkan sebuah ‘bilik gerakan’ yang terdiri daripada eksekutif Silicon Valley untuk melobi kepulangan bekas ketua Nvidia itu dan akan cuba mendapatkan sokongan daripada Rumah Putih.

“Semua orang yang penting dalam bidang teknologi di luar makmal perintis menyukai Jensen,“ kata individu itu, sambil menambah bahawa usaha tersebut mendapat sokongan Encik Huang.

Laporan itu timbul beberapa hari selepas FT melaporkan bahawa lembaga pengarah Nvidia telah menghubungi CEO pembuat cip Britain, Arm Holdings, Encik Rene Haas, dalam mencari pengganti Encik Huang.

Nvidia tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen di luar waktu perniagaan biasa.

Encik Huang meletak jawatan pada 12 November selepas pendedahan mengenai hubungan sulit, termasuk satu yang melibatkan seorang yang disyaki perisik China yang menimbulkan persoalan mengenai eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih syarikat itu ke China.

Skandal itu telah menjerumuskan pembuat cip tersebut ke dalam krisis dan mencetuskan kejutan di seluruh industri AI yang turut dibiayainya.

Dalam perkembangan yang sama, taikun teknologi Encik Elon Musk dan seorang pengasas bersama Uber adalah antara lebih 158,000 penandatangan surat terbuka setakat 15 November yang menggesa agar Encik Huang dilantik semula sebagai ketua Nvidia.

Surat itu menuntut agar anggota lembaga pengarah syarikat tersebut membawa Encik Huang kembali sementara siasatan bebas dijalankan untuk mengenal pasti fakta sebenar.

Perletakan jawatan Encik Huang sekali gus menamatkan tempoh 33 tahun menerajui teknologi gergasi AI yang diasaskan secara bersama itu.

Di samping ketua SpaceX itu, penandatangan tokoh teknologi terkemuka lain termasuk Encik Tim Sweeney, pengasas dan CEO syarikat penerbit permainan video Epic Games, serta Encik Garry Tan, presiden Y Combinator, inkubator perniagaan paling terkenal di San Francisco.

Seorang lagi penandatangan, pengasas bersama Uber, Encik Travis Kalanick, menulis bahawa Encik Huang telah ‘melakukan kesilapan, ya – melakukan kesilapan itu lumrah manusia – tetapi saya tidak percaya apa-apa yang dilakukannya mencapai tahap yang wajar memisahkannya daripada syarikatnya’.

Lebih 7,500 penandatangan adalah pekerja Nvidia, bersamaan dengan 18 peratus daripada tenaga kerja syarikat tersebut.

Sokongan itu menggambarkan kedudukan unik Encik Huang yang dianggap sebagai pelopor utama industri AI.

Di bawah kepimpinannya, Nvidia menjadi pelabur penting di Lembah Silikon (Silicon Valley), membiayai pusat data dan syarikat permulaan, sekali gus melayakkan ia mendapat gelaran ‘bank pusat AI’. – Reuters, AFP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti